anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Krisis kekurangan bekalan kelapa di pasaran diambil kesempatan segelintir peniaga licik yang sengaja mencampurkan air paip dan tepung bagi menipu pengguna yang menyangka santan dibeli adalah segar.
Difahamkan, penipuan terancang itu dilakukan segelintir peniaga yang cuba meraih keuntungan sebanyak mungkin termasuk dengan menjual santan yang dicampurkan serbuk khas bagi memekatkan kandungan cecairnya.
Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, Othman Nawang berkata, taktik itu dibongkar selepas pihaknya mengesan tindakan dua peniaga yang melakukan penipuan berkenaan di Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, di sini, kelmarin.
Dalam operasi itu, pihaknya menyerbu dua premis kerana disyaki mencampurkan bendasing dalam santan yang dijual kepada pengguna.
Menurutnya, pihaknya sebelum ini pernah menerima aduan daripada beberapa orang awam yang mengesyaki berlaku penipuan berikutan rasa dan kandungan santan dibeli berbeza dengan santan asli yang digunakan sebelum ini.
“Pihak KPDNKK tidak memandang remeh aduan itu, sebaliknya segera melakukan risikan dan pemantauan di beberapa pasar utama di ibu kota membabitkan syarikat pengeluar santan pekat atau santan segar.
“Sebanyak 10 premis menjual santan dipantau dan disiasat petugas KPDNKK sebelum mendapati dua premis itu mencurigakan,” katanya.
Beliau berkata, salah sebuah premis yang juga milik seorang warga Indonesia didapati mencampurkan air dan sejenis tepung putih yang digunakan khusus untuk memekatkan kandungan cecair santan yang diperah.
“Dalam pemeriksaan mengejut itu, pemilik premis berusia 30-an itu tidak dapat memberikan maklumat jenis serbuk tepung yang digunakan untuk memekatkan santan berkenaan.
“Ketika diajukan soalan, peniaga berkenaan hanya mendakwa serbuk putih berkenaan adalah ubat pekat tanpa mengetahui apa sebenar kandungan kimia di dalamnya. “Paling dibimbangi jika tepung berkenaan adalah bahan pengawet yang boleh memudaratkan pengguna,” katanya.
“Dalam serbuan kedua di sebuah premis di kawasan sama, seorang lagi peniaga melakukan aktiviti sama dengan mencampurkan santan dengan air bagi menambah kuantiti,” katanya.
Menurutnya, pihaknya berusaha membanteras penipuan ini dengan bekerja sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan santan itu selamat kepada pengguna.
“Setakat ini, pihak kami sudah mengambil sampel santan itu dan dihantar ke Jabatan Kimia,” katanya. nya.
Berdasarkan siasatan, santan campuran itu dijual dengan harga hampir separuh lebih murah dari harga pasaran iaitu kira-kira RM3 sekilogram.
http://www.hmetro.com.my/articles/2011012002324520110120023245/Article
No comments:
Post a Comment