Friday, January 7, 2011

Bekalan minyak masak meruncing




MANJUNG – Penduduk di sekitar daerah ini dikejutkan dengan krisis kekurangan minyak masak selepas tidak sampai satu minggu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memaklumkan bekalan berkenaan diyakini mencukupi.

Seorang pembeli, Noraini Mahamad, 38, berkata, dia telah ke beberapa kedai sebelum akhirnya ke Pasaraya Giant Seri Manjung untuk mencari minyak masak.

Menurutnya, dia terkejut kebanyakan kedai runcit kehabisan bekalan minyak masak, manakala di Pasaraya Giant, pembelian terpaksa dihadkan kepada dua unit minyak masak seberat lima kilogram bagi seorang pembeli.

“Sementara itu, bekalan minyak masak dalam paket sudah kehabisan di kedai runcit termasuk di pasar raya ini.

“Keadaan ini secara tidak langsung menimbulkan kerunsingan bagi pengguna kerana minyak masak adalah satu keperluan harian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Noraini berkata, dia meminta agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, pengguna, Idris Sulaiman, 44, berkata, dia terpaksa memandu dari Seri Iskandar hingga ke Manjung untuk mencari bekalan minyak masak.

Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan bekalan minyak masak mencukupi terutamanya menjelang Tahun Baru Cina ini.

“Keadaan kini berada dalam tahap kritikal berikutan bukan hanya di Manjung, malah Seri Iskandar juga menghadapi masalah kehabisan bekalan minyak masak.

“Paling merunsingkan apabila memikirkan kehadiran Tahun Baru Cina tidak lama lagi, dengan keadaan kini, saya risau bekalan ini tidak cukup untuk menampung keperluan rakyat nanti,” katanya.

Sementara itu, jurucakap KPDNKK Cawangan Manjung ketika dihubungi menjelaskan bahawa masalah bekalan minyak masak di sekitar daerah ini termasuk Perak Tengah sebenarnya masih terkawal dan belum mencapai tahap kritikal.

Katanya, keadaan itu terjadi mungkin kerana berlaku kelewatan dalam pengedaran bekalan minyak masak dan turut mempunyai kaitan dengan cuti umum selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Tinjauan Sinar Harian di salah sebuah pasar raya sekitar Seri Manjung mendapati terdapat masalah kekurangan minyak masak sehingga pembelian terpaksa dihadkan kepada dua unit sahaja bagi minyak masak lima kilogram bagi setiap pembeli.

http://www.sinarharian.com.my/sh/perak/content/story8588206.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...