Friday, January 7, 2011

Shabery jamin isu peletakan jawatan Misbun boleh selesai

ADA nada positif hasil pertemuan rahsia Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek, malam kelmarin.

Jodoh jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin dapat diselamatkan sekiranya rancangan Ahmad Shabery mengatur pertemuan enam mata antara beliau, Misbun dan Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, menjadi kenyataan.


Misbun yang ‘bercerai’ dengan BAM selepas didakwa tidak berpuas hati dengan badan induk badminton negara itu, menjelaskan perkara sebenar kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengadakan pertemuan empat mata tanpa kehadiran pegawai BAM.

Namun, usaha mengurangkan suhu dalam BAM masih buntu sehingga memaksa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merencana satu pertemuan yang dijangka diadakan hujung minggu ini.


“Saya dimaklumkan sebab utama Misbun meletak jawatan. Beliau (Misbun) menjelaskan terpaksa meletak jawatan kerana wujud perbezaan pendapat antaranya dengan pegawai BAM terutama dalam pelbagai aspek.


“Saya hanya boleh beri jaminan perkara ini mampu diselesaikan sekiranya pertemuan antara (Misbun dan BAM) menjadi kenyataan,” katanya yang turut menghubungi BAM mengenai perkara dijelaskan Misbun.

Meskipun banyak perkara mencetuskan rasa tidak puas hati Misbun diluahkan pada pertemuan turut disertai pegawai KBS, Ahmad Shabery tetap mengambil pendekatan menutup mulut.


“Memang ada beberapa perkara yang disebut Misbun (dalam pertemuan itu) tapi, saya tidak mahu mendedahkan semuanya. Cukuplah saya katakan salah satu daripadanya disebabkan perbezaan pendapat,” katanya.

Tanpa menyatakan tempat dan masa pertemuan itu, Ahmad Shabery memberi jaminan ia bakal diadakan sekembalinya dari menghadiri lawatan ke Sarawak.


“Saya akan mengatur pertemuan tiga pihak dengan Misbun dan Datuk Nadzmi sebaik saja saya pulang ke ibu negara,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Akuatik Negeri Sarawak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, semalam.


Beliau mengakui Misbun ada memberi bayangan pegawai dikatakan menyebabkan berlaku salah faham dan menerbitkan rasa tidak puas hati beliau sehingga meletak jawatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ShaberyjaminisupeletakanjawatanMisbunbolehselesai/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...