Friday, January 7, 2011

Pendirian Makaf tidak berubah


MOHD. ALI (tengah) mendengar penjelasan daripada atlet karate negara mengenai kontrak jurulatih, P. Arivalagan yang tidak disambung oleh Makaf di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka semalam.


PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) tetap meneruskan hasrat untuk melantik jurulatih luar dari Iran bagi melatih atlet karate senior negara.

Situasi itu hampir pasti menyebabkan jurulatih negara ketika ini, P. Arivalagan membimbing skuad junior.

Bagaimanapun, Presiden Makaf, Datuk Wira Mohd. Ali Rustam berkata, keputusan rasmi mengenai perkara itu akan diputuskan selepas Makaf mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada 25 Januari ini.

"Kita bersetuju dengan ketetapan Jawatankuasa Teknikal Makaf bagi melantik Vahid Khajeh Hosseini sebagai jurulatih negara untuk melonjakkan prestasi atlet karate di peringkat dunia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Makaf di Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka semalam.

Mesyuarat selama dua jam yang berakhir pada pukul 2.30 pagi semalam turut dihadiri Timbalan Presiden 1 Makaf, Datuk Mohd. Noor Nordin Abdullah dan Setiausaha Agung. Clement Soo.

Mohd. Ali berkata, beliau berpuas hati dengan laporan teknikal yang dibentangkan pada mesyuarat itu untuk melantik jurulatih luar manakala kontrak Arivalagan tamat pada 31 Disember lalu.

"Kita menghargai sumbangan beliau (Arivalagan) selama tujuh tahun bersama Makaf sebagai seorang jurulatih yang bagus tetapi kita mahu lebih bagus lagi dengan melantik Vahid kerana matlamat kita selepas ini ialah memenangi pingat pada Kejohanan Dunia," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan keputusan Makaf untuk tidak menyambung kontrak Arivalagan tidak dipersetujui oleh majoriti atlet karate.

Ketika diminta mengulas isu tersebut, Mohd. Ali berkata, kesemua atlet dan jurulatih sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan diminta tidak mengulas kontrak Arivalagan sehingga 25 Januari ini.

Pada Sukan Asia di Guangzhou, China, November lalu, Arivalagan menerima pujian kerana anak didiknya, R. Puvaneswaran memenangi pingat emas dalam acara kumite lelaki bawah 55 kilogram. Satu lagi pingat emas disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara kata lelaki.

Menurut Mohd. Ali, MSN telah mengurangkan peruntukan tahunan Makaf sebanyak 30 peratus tahun ini dan atas sebab itu, ia tidak berupaya menampung dua jurulatih sekali gus.

"Oleh itu, sekiranya MSN bersetuju, Arivalagan yang menerima RM7,000 sebulan sebagai jurulatih akan disambung kontrak setahun sekiranya dibiayai oleh MSN untuk melatih skuad junior," katanya.

Vahid, 48, jurulatih skuad kebangsaan Iran ketika ini, ditawarkan gaji sebanyak US$5,000 sebulan untuk tempoh kontrak selama dua tahun.

Beliau dijangka memulakan tugas sebagai jurulatih kebangsaan bermula 1 Februari ini sekiranya diluluskan oleh MSN.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat pada Kejohanan Dunia ialah pada 2002 iaitu ketika di bawah bimbingan jurulatih dari Iran, Ali Reza.

"Kita tidak boleh jamin untuk mendapat pingat pada Kejohanan Dunia di Paris, Perancis pada tahun depan tetapi peluang lebih besar sekiranya skuad negara dibimbing oleh Vahid," katanya.

Mohd. Ali berkata, Malaysia mensasarkan memenangi pingat pada Kejohanan Dunia di Belgrade, Serbia pada Oktober tahun lalu tetapi gagal meraih sebarang pingat.

Sementara itu, beliau berkata, Melaka akan menganjurkan Kejohanan Karate Dunia peringkat junior dan kadet di MITC Ayer Keroh pada November tahun ini. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0107&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...