Friday, January 7, 2011

Enggan ikut emosi

Oleh Mohd Hilmie Hussin dan Alias Ab Rani

JANGAN KACAU...Misbun tak  mahu dedahkan masalahnya kepada umum.
JANGAN KACAU...Misbun tak mahu dedahkan masalahnya kepada umum.

“SAYA bukan mengelak media, tapi tidak mahu membuat sebarang kenyataan mengikut emosi,” kata jurulatih perseorangan badminton negara Datuk Misbun Sidek ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatannya.

Sejak beliau menghantar surat peletakan jawatan menerusi emel kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 31 Disember lalu, Misbun langsung tidak bersuara memberi alasan sebenar peletakan jawatan beliau.


Selepas BAM membuat kenyataan presidennya, Datuk Mohd Nadzmi Salleh akan bertemu Misbun sendiri bagi menyelesaikan kemelut itu, sehingga hari ini pertemuan itu masih gagal menjadi kenyataan.

Namun sudah ada nada positif masalah ini akan berakhir, tidak kira sama ada Misbun kembali atau meninggalkan BAM kerana jurulatih itu sudah mula bersuara.


“Saya tidak akan beritahu apa masalahnya kepada umum, ini masalah dalaman biarlah diselesaikan secara dalaman bukan di dada media.


“Tapi ini bukan masanya untuk saya bertemu sesiapa. Saya perlukan lebih masa untuk bertenang kerana saya mahu pertemuan dengan Nadzmi tidak dipengaruhi kenyataan beremosi,” kata jurulatih itu yang berjaya melahirkan dua juara Seluruh England iaitu Muhd Hafiz Hashim dan Datuk Lee Chong Wei.

Misbun bukan hanya tidak mahu menjelaskan punca sebenar masalah itu kepada media, malah enggan mendedahkan butiran perbincangan antara beliau dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sebuah restoran di Ampang, malam semalam.


Dalam pada itu, Ahmad Shabery di Kuching, Sarawak berkata beliau akan mengatur pertemuan enam mata antara Misbun, Nadzmi dan beliau sendiri.

Pertemuan antara Misbun dan Nadzmi dijangka dapat menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan seminggu itu.

http://www.hmetro.com.my/articles/Engganikutemosi/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...