Friday, January 7, 2011

Harga barang naik mendadak

BANDAR BARU SELAYANG – Penduduk Selayang dan pengguna melahirkan rasa kesal dengan kenaikan harga barangan keperluan asas yang didakwa naik secara mendadak sejak akhir-akhir ini, terutamanya di pasar basah dan pasaraya sekitarnya.

Peniaga pasar malam yang ditemui, Sapuan Sahar, 58, berkata, rakyat dikejutkan dengan pengisytiharan kenaikan harga petrol RON95, gula, diesel dan gas, sehingga memberikan tekanan pada mereka yang berpendapatan rendah.

“Harga minyak masak dahulu kita dapat beli RM0.80 sekilo, kini RM2.50 sekilo. Mereka tidak rasa kesusahan rakyat kerana berpendapatan tinggi, tetapi jika mereka berada di tempat kami, apa perasaan mereka.

“Saya mendapat untung sehari tidak sampai RM10. Belum lagi sewa rumah sebanyak RM380 sebulan, terus terang saya katakan semenjak harga barang semakin naik, saya begitu tertekan kerana sudah dua bulan sewa rumah tertunggak.

“Alhamdulillah anak-anak mampu berfikir dengan baik dan mereka sanggup membantu saya mencari duit lebih agar dapat membiayai bil-bil tertunggak, sedikit demi sedikit bebanan saya terungkai juga,” katanya.

Manakala Rohana Nasir, 44, berkata, walaupun perniagaan menjual nasi berlauk, ikan bakar dan sebagainya semenjak 2006 agak berkembang, namun dia tidak dapat lari daripada kenaikan harga sebegini.

“Hakikatnya keperitan saya sebagai peniaga, sewa kedai sebayak RM500, keperluan dapur seperti bawang besar ketara kenaikannya iaitu sebanyak RM16 hari ini, esok pula, pemborong bawang naikkan RM18 seguni.

Empat hari sebelumnya saya membeli dengan harga RM7 seguni sahaja. Begitu juga dengan harga minyak semakin naik dan pagi ini saya puas mencari minyak masak namun tiada stok jualan. Suami terpaksa mencari stok minyak di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, perbelanjaan untuk membeli keperluan barang dapur sebelum ini hanya RM200, namun kini meningkat dua kali ganda dan keadaan ini agak sukar diterima.

Justeru, dia berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) dapat memantau harga barangan dengan lebih kerap agar penjual dan pemborong tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya.

Bagi pengusaha restoran, Roslee Mohd Tahir, pula berkata, rakyat kini terpaksa reda dengan kenaikan harga barangan termasuk ura-ura dengan kenaikan harga air 37 sebanyak peratus.

“Untuk membeli santan kelapa dahulu hanya RM4.80 sekilo, kemudian naik RM5.20. Ada sekali kenaikan sebanyak RM7 sekilo santan. Saya betul-betul terkejut kerana isteri saya meniaga nasi lemak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Selayang Indah, Masrom Kapil berkata, dia sering menerima rungutan penduduk sekitar Selayang menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kenaikan harga barang dapur yang keterlaluan.

http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story8587127.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...