Friday, January 7, 2011

Kenaikan harga minyak: Malaysia peroleh keuntungan berganda

SHAH ALAM – Kenaikan harga minyak di pasaran dunia tidak akan merugikan negara sehingga terpaksa melibatkan ekonomi rakyat bagi menanggung beban kenaikan harga bahan api itu.

Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Amir Hussin Baharudin berkata, kenaikan harga di pasaran dunia itu bukan sahaja tidak merugikan Malaysia malah mendapat keuntungan.

Menurutnya, keuntungan berganda hasil daripada kenaikan itu sepatutnya dijadikan pemangkin untuk mengurangkan harga yang seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara bebas daripada harga pasaran luar.

“Kalau minyak naik sepatutnya menguntungkan Petronas kerana kita negara pengeluar yang menjual minyak mentah ke pasaran dunia.

“Lagipun jika harga pasaran minyak naik, permintaan tidak akan turun. Harga dalam Malaysia sepatutnya ditetapkan berdasarkan kos Petronas. Perubahan harga minyak di luar bukan semata-mata alasan untuk menaikkan harga,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mengulas mengenai ura-ura bahawa stok minyak negara akan habis menjelang 2015, Amir berkata ia hanya andaian semata-mata.

Menurutnya, jika kenyataan itu benar sekali pun, menaikkan harga bukan jalan penyelesaian yang boleh menambahkan kuantiti minyak di negara ini.

“Jika betul andaian bahawa minyak akan habis, kerajaan boleh melaksanakan alternatif seperti penciptaan kereta hybrid. Bukan menaikkan harga. Kenaikan harga pasaran tidak memberikan kesan buruk kepada minyak kita.

Sementara itu, pakar ekonomi, Tan Sri Dr Ramon Navaratnam berkata, dari segi teknikal dan ekonomi, tindakan menaikkan harga adalah untuk mengurangkan bajet difisit negara.

Namun katanya, kenaikan harga di pasaran dunia sememangnya memberikan lebihan keuntungan kepada Petronas.

Kalau kerajaan menarik subsidi pun bukanlah bermakna Petronas akan untung. Tapi bila ada kenaikan harga di pasaran dunia, Petronas akan untung. Keuntungan ini boleh digunakan apabila Petronas bayar cukai yang tinggi kepada kerajaan.

“Cukai itulah yang boleh digunakan untuk mengurangkan bajet difisit dan selebihnya diberikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk yang lain," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8591205.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...