Monday, January 24, 2011

Hafiz sah berpisah dengan BAM





PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menerima hasrat pemain perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim (gambar) untuk keluar daripada badan induk tersebut.

Keputusan itu dibuat ketika berlangsungnya mesyuarat ahli-ahli majlis BAM yang diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh berkata, selepas mengambil kira daripada pelbagai aspek, ahli-ahli majlis badan induk itu telah sebulat suara menerima hasrat Hafiz.

Malah, BAM melepaskan bekas juara Seluruh England 2003 itu tanpa sebarang syarat meskipun kontrak Hafiz hanya akan tamat pada penghujung tahun depan.

Ekoran daripada keputusan itu, kontrak Hafiz akan tamat serta merta berkuatkuasa pada 1 Februari depan.

"Selepas mengambil kira pelbagai aspek, kami (BAM) telah membuat keputusan menerima permintaan Hafiz untuk keluar daripada BAM.

"Hafiz telah banyak memberi sumbangan kepada negara menerusi penyertaannya dalam kejohanan-kejohanan di pentas antarabangsa.

"Malah, dia juga pernah mengharumkan nama negara apabila muncul selaku juara dan kami menghormati keputusannya itu," kata Nadzmi.

Pada Rabu lalu, Hafiz secara mengejut mengeluarkan kenyataan untuk keluar daripada BAM apabila mendapati dirinya kini sudah tidak mampu memberikan sumbangan serta kejayaan buat negara sejurus tamat aksi pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011.

Pada perlawanan tersebut Hafiz tewas di tangan pemain China, Chen Long 21-14, 21-16.

Bagi Hafiz, lebih baik sekiranya dia keluar daripada BAM untuk mencari 'angin' baru bagi meningkatkan prestasi dirinya.

Bagaimanapun, keputusan yang dibuat BAM kali ini jelas berbeza ketika hasrat yang sama disuarakan seorang lagi pemain perseorangan negara, Tan Chun Seang.

Ini kerana, Hafiz tidak dikenakan sebarang penggantungan manakala Chun Seang pula digantung selama tiga bulan daripada beraksi pada kejohanan-kejohanan di pentas antarabangsa.

"Seperti yang saya maklumkan tadi (semalam), kami mengambil kira pelbagai aspek termasuklah sumbangan Hafiz kepada negara sebelum ini.

"Hafiz juga menyatakan hasratnya itu dengan cara yang baik dan biarlah ia diselesaikan dengan baik," kata Nadzmi.

Chun Seang membuat keputusan untuk keluar daripada BAM pada September tahun lalu namun kembali semula ke pangkuan badan induk tersebut sebaik hukuman penggantunganya tamat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...