Monday, January 24, 2011

Kembalinya presiden kuku besi Haiti




SUSUK tubuh seorang lelaki lewat 50-an memakai jaket gelap kemas bertali leher melangkah keluar pesawat jet Air France mencuri tumpuan warga Haiti di Lapangan Terbang Port-au-Prince, Haiti Ahad lalu.

Pemilik nama Jean Claude Duvalier itu bukanlah penyanyi atau pelakon filem tersohor dunia sehingga menarik ratusan penyokong menanti kepulangannya di bumi Haiti.

Lelaki dengan nama timangan Baby Doc itu merupakan bekas Presiden Haiti yang digulingkan 25 tahun lalu dalam kebangkitan rakyat menentang kezalimannya ketika memerintah dari tahun 1971 sehingga 1986.

Setelah sekian lama hidup dalam buangan di Perancis, kepulangan Duvalier dilihat amat mengejutkan dan menimbulkan pelbagai persoalan. Apatah lagi ketika negara tersebut sedang bergelut krisis politik, wabak taun dan masalah pembinaan semula negara daripada tragedi gempa bumi pada tahun lalu.

Bagaimanapun ramai pemerhati melihat Duvalier bijak mengeksploitasi keadaan apabila datang ketika Haiti berdepan dengan suasana kucar-kacir.

Duvalier menjejak Haiti dengan begitu tenang bersama teman wanita yang juga ketua perhubungan awamnya, Veronique Roy.

Setelah 25 tahun hidup dalam buangan Duvalier disambut kira-kira 200 penyokong yang menanti penuh sabar kepulangan bekas diktator itu.

Sambil bersalaman dengan penyokong-penyokong setianya, Duvalier menaiki sebuah kenderaan utiliti (SUV) sebelum meninggalkan lapangan terbang menuju Hotel Karibe tanpa memberi sebarang kenyataan kepada wartawan.

“Beliau gembira dapat kembali ke negara ini. Kembali ke tanah airnya,” kata Mona Beruaveau, calon Senat daripada sebuah parti politik yang pro-Duvalier.

Beruaveau yang sempat bersua muka bersama Duvalier semasa di pejabat imigresen memberitahu beliau sangat penat selepas melalui perjalanan jauh.

Dalam pada itu, sekutu Duvalier, Henry Robert Sterlin, memberitahu wartawan, bekas diktator tersebut telah kembali ke negara berkenaan kerana ingin meratapi ulang tahun tragedi gempa bumi yang melanda Haiti pada tahun lalu dan merindui tanah airnya.

“Jiwanya sangat terluka selepas tragedi gempa bumi itu. Beliau ingin kembali untuk melihat keadaan sebenar negara dan rakyat Haiti,” kata Sterlin.

Bagaimanapun, dia tidak mengetahui mengenai perancangan bekas pemerintah berkenaan di negara itu.


DUVALIER pulang ke Haiti untuk mengubat rindu, biarpun ada yang melihat beliau cuba mengeksploitasi kekalutan politik dan sosial Haiti untuk kembali memerintah negara tersebut.


Ketika berada di Hotel Karibe, Roy berkata kepada wartawan, Duvalier akan berada di negara berkenaan selama tiga hari.

Ketika ditanya kenapa Duvalier kembali sekarang selepas 25 tahun, Roy bertanya kembali: ‘Kenapa tidak?’

Walaupun Duvalier pernah memberitahu Radio Caraibes bahawa beliau kembali ke Haiti bukan kerana politik, bagaimanapun ada yang melihat ia sekadar ucapan manis mulut daripadanya kerana dalam satu temu bual lain, Duvalier mengakui mahu membina semula Haiti.

Dinasti kuku besi

Duvalier merupakan sebahagian daripada dinasti kuku besi bapa dan anak yang berkuasa sehingga melakar detik paling hitam dalam lipatan sejarah Haiti.

Semasa pemerintahan bapa dan anak itu, mereka menyeksa dan membunuh pemimpin politik pembangkang, malah mempunyai pasukan polis rahsia, Tonton Macoute bagi memastikan suasana negara berada genggaman mereka.

Beliau telah menaiki takhta pemerintahan Haiti pada tahun 1971 sewaktu berusia 19 tahun selepas kematian bapanya, Francois ‘Papa Doc’ Duvalier.

Ia sekali gus menjadikan Duvalier sebagai presiden termuda dunia memimpin sebuah negara.

Dengan gaya hidup playboy ketika itu, bukanlah menghairankan apabila Duvalier dituduh mencopet berjuta-juta dolar wang daripada orang awam dan membawanya ke Bank Swiss, walaupun dia menafikan mencuri wang itu dari Haiti.

Bagi menampung gaya hidup mewahnya, Duvalier bijak memonopoli bisnes tembakau di Haiti. Bahkan, dia juga dikatakan menjana berjuta-juta dolar dengan penglibatan dalam perdagangan dadah.

Lebih kejam, Duvalier turut dikatakan menjual organ-organ penduduk Haiti yang meninggal dunia kepada negara-negara luar.

Kemarahan rakyat juga turut disemarakkan melalui perkahwinan mewah Duvalier. Ketika rakyat terhimpit dengan kemiskinan, Duvalier menyunting seorang wanita, Michele Bennett dalam sebuah perkahwinan bernilai AS$3 juta (RM9.16 juta)

Tatkala Duvalier digulingkan pada tahun 1986, rakyat Haiti merai pemergian diktator itu dengan menari di jalanan sambil melihat beliau berlepas ke negara buangan Perancis.


PERKAHWINAN Duvalier dengan Bennet pada tahun 1980 menelan belanja sebanyak RM9.16 juta.


Harapan buat Baby Doc

Bagaimanapun, semasa dalam buangan Duvalier bijak mengatur strategi dalam meraih sokongan warga Haiti. Menggunakan Yayasan Francois Duvalier, pertubuhan amal yang ditubuhkannya untuk cuba meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan penduduk kulit hitam Haiti.

Ia dilihat serampang dua mata dalam mempromosikan sisi positif Duvalier sebagai seorang presiden.

“Kami mahukan beliau menjadi presiden kerana tidak mempercayai sesiapa lagi dalam pilihan raya kali ini. Beliau pernah melakukan perkara buruk dalam pemerintahannya tetapi sejak hidup dalam buangan, negara ini tidak mempunyai sebarang kestabilan.

“Kita mempunyai lebih ramai rakyat tanpa pekerjaan dan rumah,” kata penyokong Duvalier, Haiti Belizaire, 47, yang berada di luar Lapangan Terbang Port-au-Prince, Haiti.

Jean Cafatima, 64, yang melihat era Duvalier sebagai era belle epoque (zaman kegemilangan) berkata: “Sejak 25 tahun lalu, Haiti telah menderita akibat kerajaan yang tidak berfungsi dengan baik.

“Beliau sepatutnya berkuasa dan membetulkan negara ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, penghuni kem bencana alam, Joel Pierre, 34, memberitahu, dia tidak begitu mengenali Duvalier tetapi pernah mendengar mengenai kebaikan yang dilakukan terhadap negara ini.

“Saya berharap beliau akan melakukan perkara yang baik lagi untuk Haiti,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak yang menetap di kem berkenaan, Marline Joseph, 42, juga melahirkan harapan tinggi kepulangan Duvalier.

“Beliau sudah kembali dan ia sesuatu yang baik. Kini, apa yang akan dilakukannya untuk negara?” katanya.

Amarah rakyat Haiti

Bagaimanapun, kepulangan Duvalier secara mengejut masih memberi gelombang kejutan kepada negara itu kerana ramai bimbang kehadirannya akan membawa semula keganasan politik lampau.

Kumpulan hak asasi manusia di Haiti dan Amerika Syarikat (AS) menuntut penangkapan Duvalier.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michel Montas turut menggesa penangkapan Duvalier atas kesengsaraan yang dilalui penduduk Haiti.

“Saya sangat marah dan terkejut dengan kepulangan Duvalier,” kata Montas yang merupakan bekas wartawan dan pemilik stesen radio yang menghabiskan masa enam tahun dalam buangan selepas dipenjara selama 10 hari sebelum diusir pada 1980 oleh presiden diktator itu.

Sementara itu, bekas bintang bola sepak, Bobby Duval pernah merasai keperitan kekejaman Duvalier apabila menjadi tahanan selama 17 bulan tanpa sebab di kubu Dimanche.

Dia yang pernah menyaksikan orang dipukul, diseksa dan dibunuh marah apabila pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap Duvalier.

“Beliau merupakan pembunuh dan pencuri,” kata Duval yang mengendalikan sekolah latihan olahraga untuk kanak-kanak.


KEADAAN politik, ekonomi dan sosial Haiti semakin buruk sejak tragedi gempa bumi tahun lalu.


Nasib Baby Doc

Desakan pemimpin utama Haiti menyebabkan selepas dua hari berada di Haiti, Duvalier ditahan dan didakwa atas tuduhan rasuah, kecurian dan penyalahgunaan dana semasa pemerintahannya.

“Nasibnya kini dalam tangan hakim penyiasat. Kami telah membuat dakwaan terhadap beliau,” kata Ketua Pendakwa Port-au-Prince, Aristidas Auguste.

Dakwaan tersebut akan disiasat oleh hakim yang akan menentukan sama ada kes jenayah perlu diteruskan.

Selepas disoal siasat selama beberapa jam Duvalier telah meninggalkan pejabat pendakwa tetapi diperintah agar kekal di negara berkenaan mengikut kecenderungan pihak berkuasa kehakiman.

Persoalannya, apakah masih ada peluang bagi Duvalier untuk memegang kembali tampuk kuasa presiden yang pernah dipegangnya 25 tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...