Monday, January 24, 2011

'Terima kasih BAM'

Oleh Mohd Hilmie Hussin

JUARA Seluruh England 2003, Muhd Hafiz Hashim mula mencongak masa depan sebagai pemain profesional selepas mendapat lampu hijau daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meninggalkan majikannya itu bermula 1 Februari ini.

Hafiz yang dihubungi semalam gembira dan lega kerana permintaannya mendapat kelulusan BAM dan berakhir dengan baik buat kedua-dua pihak.

“Saya berterima kasih kepada BAM kerana tolong saya, beri banyak peluang kejohanan pendedahan selama ini,” kata Hafiz.

“Saya sentiasa bersedia menyarung jersi negara bila-bila masa. Selama ini ketika bersama Nusa Mahsuri saya juga sering mewakili negara bila dipanggil.”

Hafiz berkata, dia akan mula mengadakan perbincangan dengan beberapa kelab di Indonesia yang menawarkan kontrak untuk bermain di kejohanan Antara Kelab di sana bermula 19 hingga 27 Februari ini.

“Bila dapat lampu hijau daripada BAM, baru saya boleh berbincang dengan beberapa kelab yang menawarkan kontrak. Saya akan pilih tawaran terbaik,” kata Hafiz mengakui tiga kelab di Indonesia berminat mendapatkannya.

Bermain di Indonesia adalah rancangan jangka pendek Hafiz selepas dia kembali dari aksi Siri Super Premier Terbuka Korea minggu ini.

“Terbuka Korea adalah kejohanan terakhir saya bersama BAM, saya akan cuba lakukan yang terbaik,” kata Hafiz yang bertolak ke Korea malam tadi.

Sebagai bakal bergelar profesional, Hafiz juga mula mencongak perancangan mencari penaja kerana kontrak tajaan individu antara dia dan Yonex berakhir selepas meninggalkan BAM.

“Saya akan jumpa wakil Yonex meminta untuk terus menaja saya kerana lebih senang menggunakan barangan Yonex dan tidak pernah menggunakan jenama lain sebelum ini.

“Begitupun ia bergantung kepada tawaran, jika Victor atau Apacs sudi taja saya dengan tawaran lebih baik mungkin saya bersama mereka. Saya perlu pilih yang terbaik kerana kini bergelar profesional.”

Sementara itu, Hafiz berharap ada penaja besar sudi menajanya kerana mahu beraksi di Siri Super Seluruh England dan GP Emas Terbuka Switzerland Mac depan.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh berkata, ahli Majlis bersetuju melepaskan Hafiz yang menyertai badan induk itu selepas Piala Thomas 2008 tanpa syarat.

http://www.hmetro.com.my/articles/TerimakasihBAM/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...