Monday, January 24, 2011

Memori rumah agam Sosilawati


BANGLO dua tingkat berkeluasan 330 meter persegi ini mempunyai 11 buah bilik.


BERDIRI di pintu pagar rumah agam dua tingkat yang tersergam di kawasan perumahan elit di Taman Harmonis, Gombak, Selangor ini, akan mengingatkan seseorang kepada pemiliknya, jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang baru-baru ini dibunuh kejam di Kuala Langat, Selangor.

Walaupun sudah tiada, kehebatan beliau sebagai seorang usahawan berjaya masih jelas kelihatan di kediaman yang kini dihuni anak-anaknya.

Kehadiran beberapa buah kereta mewah seperti Mercedes S Class dan Mercedes Brabus yang diletakkan di tempat letak kenderaan banglo itu mengesahkan tanggapan itu.

Dengan keluasan 330 meter persegi, kediaman ini dilengkapi perabot-perabot mewah berwarna emas, lukisan-lukisan dinding yang menarik perhatian dan lampu gantung yang besar berkelipan.

Menyambut kedatangan kru Jurnal ialah anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari. Beliau kini bertindak sebagai Ketua Pengarah Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Nouvelle Beauty Centre Sdn. Bhd.

11 bilik


RITA bersama sofa kesayangannya yang dibeli dari Indonesia. Terdapat meja dan laci di bahagian tengahnya.


Senang dengan panggilan Rita, beliau menjelaskan keluarganya mula menduduki rumah tersebut pada tahun 2004 setelah ibunya membeli sebuah tapak lot di taman perumahan itu beberapa tahun sebelumnya.

“Pembinaan rumah ini mengambil masa kira-kira dua tahun. Rumah ini merupakan ilham ibu, dia yang nak rumah macam ini.

“Saya ada juga sumbang idea, tapi tak banyak. Dulu saya tinggal di asrama sejak mengambil diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah di UiTM Shah Alam. Saya betul-betul tinggal di rumah ini baru tahun lepas,” katanya.

Rita menceritakan rumah yang kini didiami oleh kesemua enam orang adik-beradiknya itu mempunyai 11 buah bilik, dengan sebuah bilik digunakan untuk menonton televisyen, gimnasium dan bilik tetamu.


SERAMAI lima pelukis didatangkan khas dari Indonesia untuk membuat lukisan terus di siling dan dinding rumah.


Ruang di dalamnya yang agak sarat dengan pelbagai perabot dan perhiasan mewah sedikit sebanyak menceritakan minat dan personaliti pemiliknya.

Terdapat juga tiang-tiang besar seperti bangunan kolonial Inggeris, mungkin sekali tujuan utamanya bukan untuk menguatkan struktur rumah, sebaliknya untuk menaikkan mood dan stail seperti kediaman hartawan zaman dahulu.

“Ibu suka dengan konsep mewah. Warna emas banyak digunakan. Ia menimbulkan rasa gah. Pejabat saya di Kampung Baru pun menggunakan konsep seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, perkara yang mencuri tumpuan penulis ialah lukisan yang menghiasi dinding dan siling kediaman ini.

Berbeza dengan kebanyakan kediaman golongan berada, tidak banyak lukisan digantung di sini. Sebaliknya ia dilakar terus pada dinding dan dihiasi dengan bingkai kayu.

Lukisan siling


WAKAF kecil di depan rumah menjadi tempat Rita sekeluarga duduk berehat sambil minum petang.


Ia menghiasi segenap sudut rumah. Bilangannya pula melebihi angka 30.

“Lukisan-lukisan itu ialah hasil karya lima orang pelukis dari Indonesia.

“Mereka berkampung selama tiga bulan di rumah ini untuk menyiapkannya,” katanya.

Kediaman ini memiliki banyak perabot dan kerusi pelbagai jenis. Difahamkan selain daripada minat mendalam pemiliknya dengan perabot, ia juga memudahkan ahli keluarga dan sanak-saudara datang berkunjung.

“Ibu memang minat dengan dengan benda macam ini. Dia selalu bawa saya dan adik yang bongsu ke kedai untuk melihat perabot-perabot baru.

“Ibu akan tanya pada kami, cantik ke pilihan dia. Susah juga memilih perabot, kena ukur dulu, nak tahu sesuai atau tidak.

“Mula-mula saya tidak begitu minat, tapi lama-kelamaan minat itu timbul,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan perabot dan perhiasan itu dibeli dari Indonesia, walaupun ada juga sesetengahnya dibawa dari Itali.

“Antara semua perabot dalam rumah ini, saya paling suka ialah sebuah kerusi yang dibeli dari Indonesia.

“Pada mulanya kami hanya tengok melalui gambar, tapi kemudian berkenan. Nampak cantik, fesyen baru. Ada meja dan laci di tengah-tengahnya dan boleh letak barang seperti gelas minuman.

“Berbulan kami tunggu perabot itu disiapkan. Bila sampai, hendak bawa masuk ke dalam rumah pun susah sebab ia berat dan besar,” katanya.

Selain itu, halaman rumah pula diserikan dengan tanaman pokok hiasan dan air pancut.

“Kami sekeluarga sering duduk berehat di wakaf di hadapan rumah untuk menghirup udara petang, sambil minum dan bercerita bermacam-macam perkara.

“Walaupun nampak macam panas, tapi ada kipas dan agak selesa juga,” katanya.

Rita memberitahu bahawa keadaan dan hiasan rumah ini adalah sama seratus peratus seperti mana yang ditinggalkan oleh arwah ibunya, tanpa ditukar dan diubah walau sedikit pun.

“Saya memang tak bercadang untuk tukar atau ubah keadaan dalam rumah ni, biarlah ia sama seperti sekarang.

“Kalau nak tukar pun mungkin hanya bahagian kecil seperti perabot,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_05.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...