Monday, January 17, 2011

Pakatan iktiraf wanita bawa suara rakyat

Hazayani Zakaria

LABIS, 17 Jan: Wanita Pakatan Rakyat menyifatkan pemilihan Normala Sudirman sebagai calon PAS di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang sebagai satu pengiktirafan kepada golongan wanita yang bersungguh-sungguh untuk berjuang dalam membawa suara rakyat.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Salleh berkata, Pakatan Rakyat tidak teragak-agak untuk melatakkan calon wanita kali ini kerana yakin dengan kemampuan wanita yang ditunjukkan oleh wakil rakyat wanita yang sedia ada.

"Saya bagi pihak PAS mengucapkan terima kasih di atas pemilihan ini dan ini adalah satu kepercayaan Pakatan Rakyat kepada wanita dan ini sebenarnya telah ditunjukkan oleh wakil rakyat-wakil rakyat wanita kita.

"Oleh kerana Pakatan Rakyat berpuas hati dengan wakil rakyat wanita kita dan nampaknya insya Allah ia akan menambahkan lagi wanita dalam Pakatan Rakyat.

"Ini memang bukan suatu yang mudah tetapi insya Allah pihak kami akan mengembleng tenaga dan usaha kita untuk mencapai kemenangan ini," kata beliau dalam sidang media selepas pengumuman calon di Dataran Wayang Pacak, dekat sini malam tadi.

Nada yang sama turut disuarakan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin.

"Bila meletakkan calon wanita di Dun Tenang, Pakatan Rakyat telah melepasi halangan bukan sahaja perkauman, dan hari ini menunjukkan Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa kita telah melepasi dari sudut gender.

"Ini satu pencapaian yang hebat oleh Pakatan Rakyat walaupun sebelum ini kita dituduh kalau PAS ini sebuah parti Islam yang tidak memberi peluang kepada wanita, dan hari ini membuktikan bahawa PAS telah melepasi itu semua dan begitu juga Pakatan Rakyat," katanya yang juga ahli Parlimen Ampang.

Sementara itu, Timbalan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, pemilihan Normala yang merupakan wanita muda membuktikan bahawa PAS tidak pernah ketandusan muka-muka baru yang berwibawa.

"Pemilihan Normala sebagai calon ini juga merupakan satu pengiktirafan pimpinan terhadap golongan wanita muda.

"Bagaimana peranan yang dimainkan wanita muda juga penting dalam pembangunan negara melihatkan bahawa PAS tidak ketandusan calon yang mana kita ada ramai muka-muka baru yang berkaliber dan kita yakin dengan kemenangan kita di Dun Tenang ini insya Allah membawa nafas baru dalam Dun Johor sekaligus membuktikan wanita mampu memikul amanah ini," katanya yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang.

Naib Ketua Muslimat pula, Mumtaz Mat Nawi yang juga Ahli Dewan Negara menegaskan bahawa Normala dipilih berdasarkan merit di atas pencapaian beliau sebelum ini.

"Ini pemilihan berdasarkan merit, ia bukan pemilihan berdasarkan jantina dan kita lihat tadi bagaimana pemilihan Normala sebagai calon diterima baik di semua peringkat parti sama ada lelaki mahupun wanita.

"Ini merupakan satu pendirian oleh Pakatan bahawa kita akan memilih calon yang benar berwibawa dan mampu melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Normala sendiri ketika ditanya mengenai faktor beliau dipilih berkata, ia melambangkan pengiktirafan terhadap wanita dan golongan muda berdasarkan kemampuannya.

"Saya percaya dan penuh optimis bahawa pemilihan saya sebagai calon melambangkan pengiktirafan daripada PAS dan juga Pakatan Rakyat kepada wanita muda untuk menerajui landskap politik negara pada masa akan datang demi kelangsungan anak bangsa," katanya penuh yakin.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30389:pakatan-iktiraf-wanita-bawa-suara-rakyat&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...