Monday, January 17, 2011

Umno Kedah mahu siapkan 672 'bilik perang'

umno standard





Jan 17, 11 10:58am

Umno Negeri Kedah akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya bulan depan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata Umno perlu bersedia dan bersiap dengan segera bagi memperlihatkan kesungguhan untuk menawan semula Kedah kerana masa sudah suntuk.

Katanya program Gelombang Merah akan dikerahkan bulan depan dan melakukan penambahbaikan terhadap program-program sebelum ini dengan slogan "BN Menang Kedah Senang".

"Kena gerak betul-betul. Kita juga kena siapkan "bilik perang" yang dulu dikenali sebagai bilik gerakan. Kita akan wujudkan di setiap 672 daerah mengundi. Bilik ini peringkat bahagian pun ada, negeri pun ada," katanya kepada pemberita selepas mengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri malam tadi.

Ini merupakan mesyuarat pertama sejak rombakan bagi dua jawatan tertinggi dalam Umno negeri yang menyaksikan Ahmad Bashah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri manakala Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Timbalannya berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Ahmad Bashah berkata persediaan untuk menghadapi pilihan raya ini juga akan diselaraskan dengan parti-parti komponen BN yang lain kerana mereka juga ada perancangan masing-masing.

Sementara itu, katanya, beliau belum merancang untuk melakukan rombakan kepada jawatan-jawatan lain dalam Umno negeri dan hanya berbuat demikian selepas mendapatkan pandangan ibu pejabat dan Presiden Umno.

"Jika rasa perlu, baru buat perubahan. Kita jumpa presiden dulu, sekiranya perlu perubahan kita akan adakan satu lagi mesyuarat. Bagi jawatan bendahari, masih dipegang oleh Datuk Mukhriz," katanya.

Beliau berkata Umno negeri bersedia memberi peluang kedua kepada calon-calon yang kalah pada pilihan raya umum 2008 jika mereka dilihat mempunyai peluang yang baik untuk menang pada pilihan raya akan datang.

"Mungkin dulu ada tsunami...mereka kalah. Kalau keadaan lepas ni mereka dilihat boleh menang, mereka boleh dicalonkan. Apa yang diputuskan... calon mestilah orang yang boleh menang," katanya.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/153595

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...