Monday, January 17, 2011

Usah ganggu Kelantan, pulih ekonomi negara dulu

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Jan: PAS mengharapkan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussin menumpu usaha untuk memulihkan ekonomi Malaysia yang semakin parah, bukan sibuk mengganggu Kelantan.

“Sepatutnya mereka berdua ini memerah otak untuk fikir macam mana hendak meningkatkan taraf ekonomi negara yang mengalami defisit sejak 12 tahun berturut-turut dan 10 tahun berturut-turut gagal mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, harga barang semakin naik, akibat subsidi untuk rakyat ditarik, tetapi untuk kroni terus diberikan oleh BN.

“Bukankah mereka berdua ini pakar ekonomi, sepatutnya sudah tentu boleh memikirkan untuk menaikkan taraf hidup rakyat di negara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, perlu diingat mereka bukan menteri untuk menjaga Kelantan, tetapi untuk menguruskan Malaysia di mana Mustapa adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri manakala Awang Adek pula Timbalan Menteri Kewangan.

“Kenapa mereka berdua tidak menegur kerajaan pusat yang diskriminasi terhadap Kelantan, seolah-olah Kelantan berada di planet Pluto?” soalnya.

Menurutnya, sejak Rancangan Malaysia Keenam 1991, sebanyak 118 projek telah disekat daripada sampai ke bumi Kelantan.

Beliau menambah, sikap dendam sesama bangsa dan agama terbukti apabila Pusat menyekat wang royalti, minyak dibiarkan mendarat di Songkla Thailand, walaupun tidak ekonomik kerana yang penting kerajaan yang dipimpin oleh PAS mesti dinafikan.

Katanya, walaupun dinafikan dalam konteks federalisme, namun atas kebijaksanaan pemimpin yang bertaqwa dan bertanggungjawab kepada rakyatnya, Kelantan boleh mentadbir dengan baik.

Buktinya, kata beliau kadar kemiskinan di Kelantan menurun pada 4.1% tahun 2008 berbanding 7.2% pada 2007 dan 10.4% pada 2004 sedangkan kadar kemiskinan di peringkat negara 3.8% sahaja.

Maknanya, tambah beliau Kelantan lebih tinggi 0.3% sahaja di samping kadar kemiskinan tegar di Kelantan hanya 0.6% di mana lebih rendah kadar jumlah kemiskinan tegar peringkat kebangsaan 0.8%.

Perkara itu, katanya didedahkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika rombongan Kelantan berunding mengenai teras asas dan pemulihan projek bagi pelaksanaan RMK10 pada 25 Jan 2010.

Tambahnya lagi, kenyataan pemimpin umno Kelantan yang mengatakan Umno mampu untuk mengatasi masalah banjir berbanding dengan PAS adalah satu kenyataan yang angkuh.

“Kenyataan yang sama pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Shahidan Kasim ketika kempen pilihanraya kecil Pengkalan Pasir yang mengatakan kerajaan Kelantan tidak pandai urus perparitan sehingga kerap berlaku banjir, dengan takdir Allah tidak berapa lama hampir separuh negeri Perlis banjir sehingga lumpuh pentadbiran negeri,” ujarnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30381:usah-ganggu-kelantan-pulih-ekonomi-negara-dulu&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...