Monday, January 17, 2011

Presiden NUJ mangsa hipokrit 1Malaysia

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Jan: Walaupun menjadi pembela nombor satu dasar 1Malaysia Datuk Seri Najib Razak tetapi Presiden Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ), Hata Wahiri dipercayai bakal menjadi mangsa pertama dasar yang hipokrit itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya berkata, apabila Hata dilantik sebagai Presiden NUJ sebelum ini, beliau adalah pembela utama konsep 1 Malaysia untuk diamalkan oleh semua media di negara ini.

Menurut Lim, antara kenyataan Hata yang awal adalah meminta semua media utama di Malaysia khasnya Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star untuk kembali kepada fungsinya yang sebenar iaitu memberikan maklumat yang tepat kepada umum dan bukannya menjadi alat propaganda kerajaan atau mana-mana parti politik atau individu untuk kepentingan peribadi mereka.

"Walaupun dia adalah wartawan Utusan, mana boleh dia dikenakan tindakan oleh Utusan di atas apa yang dia nyatakan sebagai Presiden NUJ yang mana satu pandangan dengan konsep 1 Malaysia yang dikemukakan Najib," kata Lim Kit Siang.

Gantung mulai hari ini

Hata Wahari digantung kerja mulai hari ini hingga proses siasatan dalaman oleh majikannya Utusan Melayu Bhd berhubung komen-komennya di media selesai.

“(Saya) dah kena gantung kerja tak boleh pergi pejabat lagi dan tak boleh keluar dari rumah,” tulis Hata dalam SMS kepada Malaysiakini.

Hata enggan mengulas lanjut tetapi menghantar sesalinan surat penggantungan kerja yang bertarikh 11 januari lalu.

“Setelah mengambilkira keadaan sekeliling dan keseriusan dakwaan salah laku tuan, maka Syarikat akan menggantung perkhidmatan tuan bermula dari 17 Januari 2 011 hingga proses siasatan dalaman terhadap tuan selesai,” petik surat yang ditandatangani oleh pengurus besar, jabatan sumber manusia, Utusan Melayu.

Menurut surat itu lagi, sepanjang tempoh penggantungan kerja, Hata tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis Utusan Melayu kecuali jika beliau dikehendaki hadir untuk memberi penjelasan atau mendapat kebenaran pihak syarikat terlebih dahulu.

“Sila maklumkan kepada syarikat alamat terkini surat menyurat serta nombor telefon kediaman dan telefon bimbit sebelum tuan meninggalkan kawasan syarikat kepada ketua jabatan tuan.

azlan“Sepanjang tempoh penggantungan perkhidmatan ini, tuan diminta sentiasa berada di tempat yang boleh dihubungi oleh pihak syarikat dan tuan tidak dibenarkan keluar daripada lingkungan tempat tinggal,” petik surat itu lagi.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan sepanjang tempoh berkenaan Hata akan mendapat gajinya ataupun tidak.

Siasatan dalaman ke atas Hata dijadualkan bermula pagi ini, jam 10 pagi.

Surat Tunjuk Sebab

Sebelum ini, Hata diberi surat tunjuk sebab dan dikenakan siasatan dalaman kerana didakwa menyindir pengurusan Utusan serta memburukkan imej syarikat berikutan komennya dalam pelbagai akhbar, terutama portal berita, antaranya mengkritik Utusan Malaysia.

Selepas dipilih menjadi presiden baru NUJ, Hata membawa pendekatan berbeza berbanding penyandang sebelumnya Norlela Daud yang lebih 'diam'. Kesatuan itu mempunyai keanggotaan daripada kira-kira 1,300 wartawan.

Pandangan dan kritikan terbukanya - seperti isu pemilikan Umno, kejatuhan edaran akhbar dan 'kelemahan' pengarang Utusan - dilihat meresahkan banyak pihak, sehingga akhbar itu, memetik pihak tertentu, dilapor mempersoal sama ada Hata penyokong tegar pembangkang.

Jika dipecat, Hata bukan wartawan pertama dari Utusan yang akan menerima nasib sedemikian. Ini kerana pada 3 September 2009, Utusan turut menjalan siasatan, seterusnya memecat Presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad selepas didapati bersalah menfitnah syarikat itu susulan aduannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30384:presiden-nuj-mangsa-hipokrit-1malaysia&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...