Tuesday, February 8, 2011

6 korban sengketa agama

JAKARTA: Lebih 1,000 penduduk sebuah kampung semalam bertempur dengan penganut fahaman Qadiani, menyebabkan enam orang terbunuh.

Menurut laporan, penduduk kampung mengepung sebuah rumah di daerah Pandeglang awal pagi semalam untuk melarang sekumpulan penganut fahaman itu yang juga dikenali sebagai kumpulan Ahmadiyah, melakukan upacara keagamaan mereka.


Agensi berita Antara melaporkan, enam orang terbunuh dalam pertempuran itu yang meletus selepas seorang pengikut fahaman itu menikam seorang penduduk kampung.

Bagaimanapun, polis mengesahkan hanya tiga terbunuh.


“Tiga orang terbunuh dan mereka adalah anggota Ahmadiyah di Jakarta. Identiti mereka belum dikenal pasti. “Empat orang juga cedera parah,” kata Ketua Polis Daerah, Alex Fauzi Rasyad kepada Metro TV.


Beliau juga berkata, pengikut Ahmadiyah itu bersenjatakan tombak dan parang.

Kerajaan Indonesia mengharamkan kumpulan itu daripada menyebarkan ajaran mereka pada 2008, termasuk kepercayaan bahawa pengasasnya, Mirza Ghulam Ahmad sebagai nabi terakhir.


Masyarakat Islam percaya Nabi Muhmmad (SAW) adalah pesuruh Allah terakhir dan menganggap kumpulan Ahmadiyah sebagai sesat dan menghina Islam. Kumpulan Ahmadiyah mendakwa mempunyai 500,000 pengikut di Indonesia sementara pertubuhan Islam terbesar negara itu, Nahdlatul Ulama memiliki 30 juta ahli.

Perlembagaan Indonesia secara umumnya menjamin kebebasan beragama dan negara itu yang mempunyai kira-kira 240 juta penduduk, 80 peratus daripadanya Islam, adalah antara negara yang menandatangani Perjanjian Terhadap Hak Sivil dan Politik Antarabangsa.


Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berdepan dengan gesaan yang semakin meningkat supaya bertindak terhadap pelampau Islam yang sering menjadikan golongan minoriti sebagai sasaran, termasuk komunis dan golongan pondan yang terbabit dalam maksiat. - AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/6korbansengketaagama/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...