PETALING JAYA: “Saya tidak menyangka kerisauan isteri dengan kehidupan kami anak beranak selepas ketiadaannya malam sebelum kejadian tanda dia akan pergi selama-lamanya,” kata Azlan Abd Aziz, 47, suami mangsa ragut, Zabedah Abas, 46, yang meninggal dunia 12 tengah hari kelmarin di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas tiga hari bertarung nyawa.
Azlan berkata, isterinya berpesan kepadanya supaya memberitahu anak sulung mereka yang menuntut di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) supaya belajar bersungguh-sungguh.
Menurutnya, perubahan sikap isterinya sebelum ini yang mahu rumah mereka dicat baru beberapa minggu sebelum diragut juga petanda dia mahu pergi jauh.
“Anak kedua saya yang bekerja di sebuah kilang juga disuruh berhenti kerja dan membantu saya menjaga kedai makan. “Malah, dia pernah menyuarakan hasrat jika dia meninggal dunia hendak dikebumikan di kampung halamannya di Pulau Indah, Klang,” katanya ketika ditemui di pekarangan PPUM, semalam.
Beliau berkata, ketika kejadian, isterinya baru keluar dari rumah mereka di Pangsapuri Permai, Petaling Jaya, di sini, kira-kira jam 3 petang, Khamis lalu sebelum diragut dua lelaki bermotosikal menyebabkannya parah di kepala.
“Ketika kejadian, jiran memberitahu ternampak kelibat dua lelaki bermotosikal mengekori Modenas Kriss ditunggangi isteri saya.
“Jiran saya menyangka lelaki terbabit saudara kami, namun terkejut apabila mereka meragut isteri saya,” katanya.
Katanya, jiran yang melihat kejadian itu membantu isterinya yang parah sementara jiran lain yang berada di tempat kejadian cuba menangkap peragut terbabit, namun gagal.
http://www.hmetro.com.my/articles/Isterikomadiragutmaut/Article
No comments:
Post a Comment