Tuesday, February 8, 2011

Dua tangan hampir putus

Dua tangan hampir putus

Oleh Muhammad Saufi Hassan
am@hmetro.com.my

IPOH: Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an hampir putus kedua belah tangannya akibat ditetak sekumpulan penjenayah dalam kejadian samun di Ayer Tawar, kira-kira 60 kilometer dari sini, tengahari semalam.

Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari ketika mangsa sedang menunggu isterinya membeli-belah di sebuah kedai di pekan itu.


Jurucakap polis berkata, mangsa dihampiri kumpulan penjenayah berkenaan yang menaiki kereta sebelum mengheretnya masuk ke dalam kenderaan itu dan dibawa melalui Jalan Lumut-Ipoh.

“Ketika dalam kereta, kedua belah tangan mangsa ditetak hingga hampir putus oleh kumpulan lelaki terbabit selepas dipercayai gagal menyerahkan wang seperti diminta penjenayah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan berhampiran Kampung Banjar, Beruas, sebelum dibantu seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu dan melaporkan kejadian berkenaan kepada polis.


Katanya, mangsa yang dikatakan tinggal di Melaka dan berkunjung ke Ayer Tawar kerana bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina, pada mulanya dikejarkan ke Hospital Manjung (HM), tetapi kemudian terpaksa dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan penyambungan semula tangan yang hampir putus.

Difahamkan, mangsa dipindahkan dari HM ke PPUM menerusi penerbangan ihsan menggunakan helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang berpangkalan di sini pada kira-kira jam 3 petang.


Jurucakap polis berkata, polis kini memburu suspek dipercayai lebih daripada dua lelaki dan meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6835221.

http://www.hmetro.com.my/articles/Duatanganhampirputus/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...