kalidevi@hmetro.com.my
GEORGETOWN: Cubaan untuk melarikan diri bersama kekasih membawa padah kepada seorang pembantu rumah warga Indonesia apabila terjatuh dari tingkat lapan sebuah kondominium di Paya Terubong, di sini, semalam.
Mangsa yang bekerja di rumah milik sepasang warga emas dikatakan cuba meloloskan diri dari rumah majikannya kira-kira jam 11 malam kelmarin dengan alasan mahu membuang sampah.
Bagaimanapun, majikannya melarang dia berbuat demikian kerana sampah sudah dibuang lebih awal. Selang tiga jam kemudian, amah berusia 33 tahun itu tekad untuk lari dari rumah majikannya dengan turun melalui tingkap menggunakan selimut, tuala dan lampin yang dipintal.
Malangnya, ikatan itu terlerai, menyebabkan wanita itu terjatuh dari tingkat lapan kondominium berkenaan.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah kira-kira jam 2.30 pagi di pekarangan kondominium oleh orang ramai.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan lanjut mendapati ikatan kain lampin yang digunakan sebagai ‘tali’ yang diikat pada tingkap itu terlerai ketika mangsa sedang melurut turun.
“Siasatan awal polis mendapati mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah sejak dua tahun lalu itu cuba melarikan diri bersama teman lelakinya berdasarkan teks khidmat pesanan ringkas (SMS) yang ditemui polis dalam telefon bimbitnya,” katanya
No comments:
Post a Comment