Kunjungan Sinar Harian ke rumah suri rumah berkenaan mendapati, bayi malang berkenaan terpaksa menggunakan botol meskipun masih terlalu awal untuk menggunakannya demi mengisi perut.
Siti Jumanah Marjuki, 41, berkata, anak lelakinya, Mohamad Faiz Irfan Rozali disahkan mengalami sumbing sejak kelahiran kira-kira dua minggu lalu dan agak terkejut apabila diberitahu doktor bahawa bayi lelakinya sumbing di beberapa bahagian iaitu hidung, mulut dan gusi.
“Selepas melahirkannya, jururawat datang dan menunjukkan Mohamad Faiz Irfan kepada saya, namun disebabkan terlalu terkejut, saya pengsan. Bagaimanapun, selang tiga hari, hati saya tenang kerana dapat menerimanya dan menyusukannya.
“Pada mulanya, memang agak sukar saya untuk menerima semua ini, namun semua adalah suratan Ilahi, kami menerimanya dengan hati redha,” katanya yang ditemani suaminya, Rozali Abdul Rahman, 54.
Siti Jumanah berkata, sepanjang mengandungkan Mohamad Faiz Irfan dan setiap pemeriksaan kandungan, doktor memberitahu tiada sebarang masalah kepada bayi berkenaan.
Katanya, bayi lelakinya yang berusia hampir dua minggu itu kini terpaksa bergantung kepada botol susu kerana tidak dapat menyusu secara normal seperti bayi lain.
“Mohamad Faiz Irfan terpaksa diberi susu dengan berhati-hati kerana jikalau tidak diberi susu dengan baik, dia akan tersedak kerana salur pernafasannya agak sempit dan tidak berfungsi dengan baik,” katanya.
Sehingga kini, Mohamad Faiz Irfan terpaksa menjalani rawatan susulan di sebuah hospital di Kuantan dan terpaksa dibawa ke hospital seminggu sekali untuk pemeriksaan.
Menurut Siti Jumanah, mungkin bayi lelakinya itu terpaksa dibedah, namun tarikh tepat masih belum diketahui.
“Doktor ada memberitahu, pembedahan bagi merawat kecacatan sumbing sudah tercatat dalam sejarah kejayaannya dan saya juga berharap agar pembedahan anak nanti akan turut berjaya.
“Saya turut mengakui bimbang dengan masa depan Mohamad Faiz Irfan seandainya tidak dibedah dan juga berharap agar ada pihak tampil untuk memberi sumbangan bagi menampung kos perubatan anaknya itu.
“Melihat anak lelaki saya, kadang-kadang terfikir nasib anak lelaki ini apabila mungkin berdepan risiko pembedahan yang kemungkinan pekak dan percakapan tidak jelas.
“Bagaimana nak menanggung kos pembedahan dan rawatan susulan sedangkan saya tidak bekerja. Jika sebelum ini, saya ada bekerja di kantin sekolah, namun disebabkan keadaan anak yang mahu penjagaan rapi, saya tidak dapat lagi bekerja,” katanya sayu.
Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat dan sumbangan, boleh menghubungi keluarga ini di talian 017-7040341 atau di alamat 204 Blok J, Skim Perumahan Kos Rendah (SPKR) Felda Endau, 86900, Mersing.
http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story8809844.asp
No comments:
Post a Comment