Menurut Arijah, biarpun berat hati untuk melepaskan anak sulung dan bongsu itu, namun dia terpaksa akur demi kepentingan anak-anaknya.
“Ibu mana yang sanggup menyerahkan anaknya kepada orang lain, namun keadaan tidak mengizinkan. Mujurlah ahli keluarga lain sanggup untuk menjaga anak saya, jadi saya tidaklah terlalu bimbang terpaksa berpisah dengan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Kampung Cherok Paloh, di sini.
Katanya lagi, kehidupan mereka sekeluarga bergantung pada pendapatan suami yang hanya melakukan kerja-kerja kampung.
“Pendapatan RM300 sebulan memang tidak cukup untuk menyara kami sekeluarga. Yuran persekolahan anak-anak juga masih belum dibayar kerana tidak cukup wang.
“Bagaimanapun, setakat ini kami belum pernah terputus makanan. Biarpun sedikit, namun saya akan pastikan anak-anak makan setiap hari,” katanya.
Kini, apa yang membimbangkan Arijah, penyakit jantung yang dihidapi suaminya semakin hari semakin buruk.
“Kebelakangan ini suami saya kerap sakit dan tidak dapat melakukan kerja. Saya bimbang kerana pendapatan kami sekeluarga bergantung kepadanya. Jika dia sudah tidak mampu bekerja lagi, siapa yang akan menyara hidup kami.
“Bukan saya tidak mahu bekerja, tetapi setiap kali suami sakit, sayalah yang menjaganya memandangkan anak-anak masih kecil. Tidak sampai hati rasanya ingin meninggalkan suami yang sedang sakit dengan anak-anak,” katanya.
Ketika Sinar Harian serta Pejabat Penerangan Daerah Kuantan dan Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan membuat lawatan ke rumahnya, suami Arijah masih berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.
“Kini, saya hanya mampu berdoa supaya kesihatan suami kembali pulih. Jika tidak, saya terpaksa mencari jalan lain untuk mendapat sumber pendapatan demi untuk menyara anak-anak,” katanya.
Bagaimanapun, kesengsaraan Arijah sedikit terubat apabila menerima sumbangan kewangan daripada Pejabat Penerangan Daerah Kuantan yang disampaikan oleh wakil Pegawai Daerah Kuantan, Nurul Asyikin Ros Azizi.
Arijah merupakan seorang daripada lima penerima sumbangan sempena Program Info dan Khidmat Komuniti 1Malaysia bersama Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cherating anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kuantan.
http://www.sinarharian.com.my/sh/pahang/content/story8809947.asp
No comments:
Post a Comment