Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara meluluskan perintah sekatan perjalanan dan pembekuan aset terhadap regim Muammar Gaddafi, selain tuduhan terhadapnya kerana jenayah kemanusiaan.
Undi sebulat suara 15 negara Majlis Keselamatan yang dibuat pada mesyuarat yang berlarutan lewat tengah malam semalam itu juga memerintahkan sekatan senjata dikenakan terhadap Libya apabila PBB memaklumlam lebih 1,000 orang sudah terkorban dalam serangan yang diarahkan Presiden Libya itu.
Majlis Keselamatan itu juga menuntut agar serangan kerajaan Libya terhadap orang awam dihentikan serta merta.
Larangan perjalanan dan pembekuan aset mengikut Resolusi 1970 itu hanya membabitkan presiden berusia 68 tahun itu, tujuh anak lelaki dan anak perempuannya Aisha, anggota keluarga dan pegawai tertinggi perisikan dan pertahanan yang dituduh berperanan menyerang balas orang awam.
Terdapat 16 nama dalam senarai sekatan awal selepas disenaraipendekkan daripada 22 nama ketika awal persidangan majlis itu, awal hari ini.
Tuduhan jenayah kekejaman itu akan dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa apabila majlis mendapati wujudnya serangan yang sistematik dan besar-besaran terhadap orang awam di Libya yang bertentangan dengan hak asasi.
Mengikut resolusi itu, semua urus niaga atau penjualan membabitkan senjata ke Libya mesti dihentikan serta merta.
Resolusi itu juga mengarahkan Libya menerima kemasukan bantuan kemanusiaan dan pemantauan badan hak asasi bagi melindungi orang asing di negara itu.
No comments:
Post a Comment