Sunday, February 27, 2011

Tunggu masa dihalau


KAMPUNG CHERANG LAUT – Sepasang suami isteri warga emas bersama anaknya yang sakit tidak lena tidur apabila memikirkan nasib mereka yang saban hari dihalau daripada tanah tempat dia menumpang teduh di rumah yang dibina selama ini.

Mahmud Dollah, 63, yang kini hanya bekerja mengambil upah mengopek kelapa dan menjemur ikan kering di kampungnya mempunyai pendapatan tidak kurang dari RM10 sehari untuk menampung kehidupan bersama isteri, Saujah Salleh, 50-an, dan seorang anaknya yang sakit berusia 30-an.

Menurutnya, rumah yang didiaminya di Pantai Senak di sini, adalah menumpang tanah seorang penduduk kampung berkenaan. Kini, dia bingung tidak tahu ke mana hendak tuju memandangkan lama dia bermastautin di situ.

“Pakcik tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu kerana saban hari tuan tanah akan mengarahkan kami supaya berpindah sedangkan pakcik tidak tahu ke mana lagi hendak pergi dan kami masih menebalkan muka bertahan di sini.

“Pakcik ada mendengar mengenai pemberian rumah untuk orang miskin, tetapi tidak ada orang pun datang mengambil tahu mengenai hal pakcik mungkin kerana faktor pandangan politik yang berbeza,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Mahmud berkata, sebelum ini dia pernah dimarahi seorang pemimpin tempatan kerana mengambil sumbangan atap zink dari dermawan yang bermurah hati bersedekah, tetapi ia disangka pemberian parti politik bertentangan.

Rumah yang didiaminya kini pula semakin uzur dan dengan pendapatan kais pagi makan pagi, dia tidak mampu menyediakan kediaman yang lebih baik untuk keluarganya.

“Kalau boleh pakcik hendak minta rumah daripada kerajaan memandangkan bila-bila masa sahaja kami akan dihalau keluar dari tanah ini.

“Seorang saudara juga telah sudi memberikan tapak tanahnya untuk dibina rumah jika ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan untuk membina rumah bagi kami,” katanya.

Difahamkan, Mahmud mempunyai lapan anak, tetapi masing-masing juga hidup susah. Kini dia sendiri terpaksa bekerja untuk menyara isterinya yang menghidap angin ahmar serta seorang anak lelaki yang sakit.

http://www.sinarharian.com.my/sh/kelantan/content/story8809887.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...