Sunday, February 27, 2011

Ibu lalok gabra



SUBANG JAYA – Gara-gara terlalu cuak apabila premis hiburan yang dikunjungi diserbu pihak berkuasa, seorang pengunjung wanita gagal memberikan sampel air kencing bagi ujian saringan awal dadah yang dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Selangor awal pagi, semalam.

Hanya selepas lima jam menunggu, sampel terbabit akhirnya diperoleh selepas dan ujian mendapati wanita berusia 28 tahun terbabit positif dadah jenis ekstasi.

Difahamkan, wanita yang juga ibu kepada empat anak itu berkunjung ke premis hiburan terbabit bersama suami dan seorang rakannya dari Tampin, Negeri Sembilan untuk berhibur sempena cuti hujung minggu.

Wanita terbabit adalah antara 11 yang ditahan dalam serbuan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa (Kanan), Mazrul Zahar Mohd dengan kerjasama AADK bermula jam 1 pagi semalam.

Dalam serbuan itu, 87 pengunjung rata-rata dalam lingkungan umur 20-an diperiksa 16 anggota penguat kuasa AADK yang diketuai Penolong Pegawai Antidadah Cawangan Operasi AADK Selangor, Hasmi Manawar.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, serbuan dilakukan sebagai langkah pencegahan mengelakkan penyalahgunaan dadah dalam premis hiburan.

Katanya, dengan bantuan 25 anggota penguat kuasa dan tiga pegawai penguat kuasa MPSJ, premis berkenaan dikepung dan pengunjung menjalani ujian air kencing yang dilaksanakan.

“Kesemua yang ditahan positif dadah jenis ketamin, syabu dan ganja dalam ujian saringan awal diserahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya dan bakal disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 kerana disyaki mengambil dadah.

“Tindakan penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa dengan kerjasama agensi lain,” katanya.


http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story8810174.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...