Sunday, March 20, 2011

Libya berdepan tindakan ketenteraan


SEKUMPULAN pemberontak menaiki sebuah kereta kebal yang dirampas daripada tentera Libya di Benghazi semalam.


PARIS - Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya sedang bersedia untuk mengenakan tindakan ketenteraan ke atas Libya berikutan kedegilan pemimpin Libya Muammar Gaddafi yang terus menyerang kubu kuat pemberontak di Benghazi dan melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengenakan zon larangan terbang di sana.

Presiden AS, Barack Obama memberi amaran bahawa Gaddafi bakal berdepan tindakan keras jika tenteranya tidak berhenti menyerang dan berundur dari bandar yang dikuasai oleh puak pemberontak.

Syarat Obama dilihat lebih spesifik berbanding apa yang terkandung dalam resolusi PBB yang diluluskan pada Khamis lalu. Kapal-kapal AS di Laut Mediterranean dikatakan bersedia untuk menyerang pangkalan udara Libya bagi membuka jalan kepada tentera Eropah dan Arab untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di seluruh Libya.

Pesawat pejuang dari Perancis, Britain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bertumpu di pangkalan-pangkalan udara di seluruh Itali sebelum memulakan operasi di bawah arahan dan kawalan AS serta pangkalan tentera lautnya di Naples.

"Syarat-syarat ini tidak boleh dirunding. Jika Gaddafi tidak mematuhi resolusi PBB, masyarakat dunia akan mengenakan tindakan. Resolusi ini akan dilaksanakan menerusi tindakan ketenteraan," kata Obama.


SEORANG pejuang wanita memegang senapang AK-47 di sebatang jalan di kubu kuat pemberontak, Benghazi.


Enam buah pesawat pejuang F-16 milik Denmark dikatakan telah mendarat di stesen udara tentera laut AS di Sigonella, Sicily. Itali menawarkan tujuh pangkalan tentera laut dan udaranya yang sudah pun menempatkan tentera AS, NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan Itali.

Menteri Pertahanan Itali, Ignazio La Russa menyatakan Itali bukan sekadar meminjamkan pangkalan tenteranya, malah bersedia memberi sokongan ketenteraan.

Sementara itu, Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg menyatakan bahawa pihaknya sedia untuk menyumbang enam pesawat pejuang F-16 bagi operasi ketenteraan ke atas Libya. "Pesawat tersebut akan tiba dalam tempoh beberapa hari lagi," kata Stoltenberg.

Pesawat pejuang dari Britain, Perancis dan UAE dijadual berlepas dari pangkalan tentera Corsica, Perancis. Perbincangan untuk mempercepatkan tindakan ketenteraan ke atas rejim Gaddafi turut disuarakan di Eropah dan Amerika Utara. Negara-negara seperti Sepanyol dan Kanada mula menggerakkan peralatan ketenteraan sebagai persediaan untuk menyerang.

Cameron mengakui bahawa United Kingdom sudah memulakan persiapan untuk menggerakkan pesawat pejuangnya. Dalam beberapa jam lagi, tenteranya akan digerakkan ke pangkalan-pangkalan udara untuk 'tindakan sewajarnya.' Sepanyol dan Kanada juga menyatakan mereka akan menyediakan tentera dan jet pejuang.

Tindakan itu akan disegerakan jika Gaddafi meneruskan operasi ketenteraannya. Gaddafi diberi masa sehingga tengah hari semalam untuk mematuhi resolusi tersebut. Semalam, pemimpin dunia bertemu di Paris untuk membincangkan tindakan ke atas Libya.

Mesyuarat yang merupakan inisiatif Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy itu turut dihadiri oleh Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton dan Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Presiden Perancis.




Canselor Jerman, Angela Merkel yang dijangka tidak akan ambil bahagian dalam sebarang tindakan ke atas Libya juga menghadirkan diri. Jordan, Maghribi, Qatar dan UAE merupakan antara negara Arab yang menghadiri mesyuarat sama. Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari akan hadir selaku Ketua Liga Arab. Setiausaha Agung badan tersebut, Amr Moussa juga mengambil bahagian.

Semalam, duta-duta dari 28 buah negara anggota NATO bermesyuarat di Brussels mengenai penglibatan NATO untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya. Namun, tiada keputusan dicapai bagi menunggu hasil mesyuarat di Paris.

Dalam satu sidang akhbar di Tripoli, jurucakap kerajaan, Moussa Ibrahim membacakan surat daripada Gaddafi kepada Obama dan pemimpin Barat yang lain.

"Libya bukan hak anda. Libya adalah hak rakyat Libya. Resolusi Majlis Keselamatan tidak sah," jelas surat yang ditujukan kepada Sarkozy, Cameron dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon.

Ini bukanlah kali pertama Barat masuk campur dalam hal ehwal negara yang berdaulat. Sebelum ini, AS dan tentera sekutunya pernah menceroboh Iraq, Afghanistan dan Somalia.

Antara alasan signifikan kenapa AS dan sekutunya bersungguh-sungguh mahu menceroboh Libya ialah kerana negara itu kaya dengan sumber minyak dan gas asli. Negara seluas 679,359 meter persegi itu memiliki populasi seramai 6.42 juta orang. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...