Sunday, March 20, 2011

Maksimum dua kad

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

NOR SHAMSIAH...guna kad debit
NOR SHAMSIAH...guna kad debit

BANK Negara Malaysia (BNM) menyemak semula syarat kelayakan pendapatan minimum bagi permohonan kad kredit kepada RM24,000 setahun daripada RM18,000 setahun berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, mereka yang mempunyai pendapatan kurang RM36,000 setahun pula hanya boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar saja.


“Bagaimanapun, kepada pemegang kad sedia ada yang memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar, mereka diberi tempoh sehingga 31 Disember ini untuk menentukan kad pilihan masing-masing,” katanya selepas pengumuman garis panduan baru kad kredit di Kuala Lumpur, semalam.

Setakat ini, terdapat 3.2 juta pemegang kad kredit dengan kira-kira 50 peratus daripadanya mempunyai pendapatan di bawah RM36,000 dan lebih kurang 30 peratus pemegang mempunyai kad kredit daripada lebih dua pengeluar.


Bagaimanapun, menurutnya, pengguna yang tidak boleh membuat permohonan kad kredit tidak perlu bimbang kerana pihaknya sentiasa memberi galakan dalam penggunaan kad debit.


“Penggunaan kad debit adalah lebih baik dan semua terminal yang menerima transaksi menggunakan kad kredit kini turut menerima pembayaran menggunakan kad debit,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, pemegang kad diberikan sekurang-kurangnya dua tahun bagi menyelesaikan baki tertunggak mereka untuk kad yang dibatalkan bagi tujuan memenuhi keperluan itu. “Malah, had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad juga tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan mereka bagi setiap kad.


“Pengeluar kad juga dinasihatkan berurusan dan berbincang dengan pemegang kad bagi membantu mereka menstruktur semula pembayaran hutang dalam usaha memudahkan pelaksanaan langkah yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, langkah itu adalah usaha berterusan bagi memupuk amalan pengurusan kewangan dan hutang yang berhemat di kalangan pemegang kad kredit.

http://www.hmetro.com.my/articles/Maksimumduakad/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...