Sunday, March 20, 2011

VIP dalang seludup wang

BACHOK: Golongan VIP dikesan menjadi dalang bagi kegiatan pemindahan wang ke luar negara secara haram yang bergiat aktif sejak beberapa tahun lalu.

Kegiatan itu dilakukan dengan mereka menjadikan agensi pengurup wang sebagai ‘keldai’ memindahkan wang terbabit secara rahsia.


Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang menjelaskan, kegiatan itu kini semakin berleluasa terutama membabitkan tempat seperti London, Dubai, Hong Kong, Singapura dan Jepun.

Katanya, kementerian sejak tahun lalu menarik balik 50 lesen agensi pengurup wang apabila dikesan terbabit dalam kegiatan haram itu.


“Kita dapati kegiatan ini semakin berleluasa dan meluas ke beberapa negara sejak kebelakangan ini.


“Kebanyakan mereka yang terbabit adalah golongan konglomerat yang memindahkan wang haram menggunakan khidmat agensi ini,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk di Pekan Jelawat, di sini, semalam.

Awang Adek berkata, kerajaan sehingga kini tidak dapat memastikan berapa jumlah sebenar wang yang dibawa keluar oleh ‘penyeludup’ berkenaan.


Katanya, sebahagian besar individu yang terbabit dalam kegiatan itu menjalankan urusan perniagaan, termasuk bagi pembelian harta benda di luar negara.

“Mereka menyembunyikan kegiatan ini secara sengaja untuk mengelak membayar cukai kepada kerajaan,” katanya.


Katanya, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana agensi selain melakukan pembekuan aset dan akaun bank jika ada individu dikesan membawa keluar wang secara haram.


“Kita kini berusaha membanteras kegiatan ini dengan lebih giat lagi menerusi Bank Negara Malaysia (BNM).


“Usaha itu termasuk memeriksa buku harian agensi pengurup wang bagi mengesan tiada aktiviti meragukan,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/VIPdalangseludupwang/Article/artikelMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...