Monday, July 4, 2011

Ambil amah terus dari Indonesia


PARA majikan kini boleh mengambil pembantu rumah secara terus dari Indonesia tanpa perlu berurusan dengan ejen. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR – Majikan di negara ini tidak lama lagi boleh memilih sama ada untuk mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia secara terus tanpa perlu menerusi ejen.

Bagaimanapun, urusan itu perlu mematuhi garis panduan dan prosedur mengikut memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui antara Malaysia dan Indonesia pada Mei lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, pihaknya kini sedang menyiapkan prosedur dan syarat yang perlu dipatuhi oleh majikan bagi memudahkan urusan itu kelak.

“Sebagai contoh, jika ada pembantu rumah sudah tamat tempoh permit dan ingin pulang ke Indonesia dan ada ahli keluarga pembantu rumah itu yang ingin ambil alih tugas itu, majikan boleh urus sendiri urusan ambil pembantu baru berkenaan.

“Dengan mengikut syarat dan prosedur yang akan ditetapkan nanti, majikan tidak perlu lagi melalui kerenah ejen dan boleh terus bawa pembantu rumah dari Indonesia itu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Subramaniam memberitahu, sebelum ini memang ada dalam kalangan majikan yang mencari sendiri pembantu rumah di Indonesia tetapi selepas ini mereka perlu mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.

“Sebelum ini tiada garis panduan. Apabila ia sudah lengkap nanti, semua majikan perlu ikut syarat kerajaan bagi mengelak penipuan dan sebagainya,” ujar beliau.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...