Monday, July 4, 2011

Saya akan berbaju kuning raya nanti


Mohd Syahir Sulaiman

Semakin lara kita didera bara, kita laungkan juga pesan merdeka, demokrasi sebenderang mentari, sehasrat hajat semurni harga diri - A. Samad Said.

Kuning melambangkan kebijaksanaan.

Tarikh 9 Julai semakin menghampiri, sana-sini cakap-cakap semakin hangat, dari masyarakat bandar Facebook hingga ke penduduk rumah panjang. Terima kasih kepada RTM dan Utusan untuk publisiti percuma.

Rakyat mampu membezakan. Satu perkara yang pasti, semua tetap menantikan perhimpunan ramai itu.

Suhakam, sebagai pelindung kepada hak asasi manusia di Malaysia, menyarankan kepada pihak berkuasa untuk membenarkan perhimpunan aman tersebut. Dan parti-parti politik yang terlibat, pastikan perhimpunan ini berlangsung dalam keadaan aman dan tertib tanpa menimbulkan sebarang huru-hara. Namun masih terdengar ayat-ayat berbunyi 'ancaman kepada negara', sebagai alasan bagi mengganggu kelancaran perhimpunan yang dirancang ini.

'Perhimpunan ini bukan sahaja mengganggu keamanan, malah menyebabkan berlakunya kesesakan lalu-lintas yang teruk,' menurut seorang pegawai atasan polis. Sebaliknya, wargakota tetap juga perlu melalui kesesakan yang sebegitu apabila tiba waktu untuk latihan perbarisan di Dataran Merdeka.

Sebagai salah seorang wargakota, saya juga turut terlibat dalam kesesakan tersebut dan tersekat di Jalan Lok Yew. Saya melalui waktu tersebut sambil mendengar siaran pagi di radio. Tiada kedengaran pun mana-mana aduan daripada wargakota. Kami memahami. Tolonglah, harap-harap tiada latihan sekatan jalan raya pada 9 Julai ini.

"Demokrasi telah menarik minat pihak pelabur asing. Kebebasan menarik minat pelancong." Maka seseorang pula telah berkata, "Para pelabur akan lari kerana keadaan huru-hara yang melanda negara."

Siapa yang hendak diperbodohkan? Para pelabur sudah tentunya sangat bijak untuk menilai keboleh-upayaan sesuatu pelaburan dijalankan dan keadaan politik semasa yang menjadi ukuran.

"Pihak penganjur perhimpunan Bersih 2.0 patut menimbang kesan perhimpunan yang diadakan kepada penjual dan pengguna di laluan-laluan yang terlibat," kata seorang menteri. Seorang jurucakap Bersih kemudian meyakinkan, 'sekurang-kurangnya RM30 juta aliran tunai akan berlaku sepanjang 3 jam perhimpunan tersebut, mengambil-kira kebarangkalian 300,000 yang akan turun pada hari tersebut yang sekurang-kurangnya mempunyai RM100 dalam poket masing-masing." Ditambah pula dengan penggunaan PLUS, MAS, AirAsia, KTMB dan operasi bas pada hujung minggu, mari kita tunggu PEMANDU bentangkan perbelanjaan pada hari tersebut.

Demonstrasi tidak melambangkan keIslaman? Bukan identiti budaya Melayu? Seorang ilmuwan Islam pernah menyebut, "Adalah suatu kewajipan bagi setiap Muslim untuk menyokong perkataan atau pendirian untuk memperjuangkan kebenaran," serta pada masa yang sama "adalah salah bagi peserta demonstrasi dan pihak polis bertindak memprovokasi sesiapa atau mana-mana pihak yang boleh menimbulkan kekecohan. Pihak polis patut sedar bahawa tujuan demonstrasi ini diadakan adalah murni dan untuk kebaikan negara, rakyat dan pihak polis sendiri. Ramai yang dipenjarakan kerana terlalu berani mengkritik pihak berkuasa untuk menegakkan keadilan di zaman nenek moyang kita dahulu. Kita adalah pewaris yang patut meneruskan perjuangan Muslim dan negara demokrasi ini.

William E. Simon pernah berkata, "Ahli politik yang jahat dihantar ke Washington oleh rakyat budiman yang tidak mengundi."

Lalu saya dapati, tiada alasan untuk saya tidak menyokong penuh Bersih 2.0, perarakan menuntut demokrasi. Ia menuntut kepada 8 tuntutan segera,

1. Pembersihan senarai daftar pemilih,
2. Reformasi undi pos,
3. Penggunaan dakwat kekal,
4. Tempoh kempen 21 hari,
5. Media adil dan bebas,
6. Pengukuhan institusi awam,
7. Hentikan rasuah dan
8. Hentikan politik kotor.

Suhakam dalam kenyataannya, menegaskan adalah menjadi hak rakyat untuk berhimpun dan menyatakan pandangan secara aman seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan juga Perkara 20 (1) dalam Universal Declaration of Human Right (UDHR).

Namun, memakai baju kuning adalah satu kesalahan di negara ini, sekurang-kurangnya sehingga 9 Julai ini.

Walau apa pun, kuning adalah warna pilihan untuk baju raya saya pada tahun ini. Harap-harap saya tidak akan ditangkap ketika mendukung anak saya, yang lengkap berbaju Melayu kuning dan bersampin serta bersongkok, berbaris menunggu duit raya dan ketupat di rumah terbuka yang akan diadakan di rumah Pak Menteri kita. Niat saya ikhlas, hanya ingin berjabat tangan dengan pendukung demokrasi negara sahaja.

Hanya satu kunjungan hormat.
------------------------------------------------------------------------------------

Mohd Syahir Sulaiman dan dua anaknya, tetap menegaskan kuning itu lambang kebijaksanaan. Beliau berpegang pada konsep Negara Berkebajikan.
Tulisan berbahasa Inggeris disiarkan dalam www.harakahdaily.net/en


http://bm.harakahdaily.net/index.php/articles/analysis-a-opinion/4102-saya-akan-berbaju-kuning-raya-nanti

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...