KOTA BHARU, 3 Julai: Mampukah Perdana Menteri berbangga dengan kehadiran seperti didakwa media harian mencecah 20,000 orang di Pasir Puteh dan Machang semalam, sedangkan sebenarnya penjawat awam dipaksa hadir?
Buktinya semua kakitangan pusat dan guru-guru diberi kad jemputan supaya hadir pada majlis bersama rakyat di Sekolah Kebangsaan Sri Aman. Dan kad jemputan tersebut perlu diserah semula sebagai rekod kehadiran.
Ramai ketika ditemui merungut kerana mereka dipaksa seperti budak-budak. Taktik serupa pernah digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melawat Kelantan, sekarang diulang semula Datuk Seri Najib Razak.
Begitu juga program di Machang dikerah semua pelajar UiTM kampus Machang dan kakitangan awam pusat hadir pada program majlis pemimpin bersama rakyat.
Pada majlis makan malam di Wisma Persekutuan pula Umno mengerahkan semua kakitangan pusat dan guru-guru yang tinggal di sekitar Kota Bharu hadir.
Jabatan kerajaan mewajibkan kakitangan yang disenarai hadir, di mana mereka juga perlu menandatangani kedatangan. Ada jabatan mengerahkan sehingga 70 kakitangan hadir. Ada juga jabatan mewajibkan sekurang-kurangnya 10 orang wakil.
Imam masjid, peniaga dan pemimpin badan bukan kerajaan juga menerima surat jemputan hadir pada program berkenaan.
Wisma Persekutuan yang menempatkan semua jabatan dan agensi kerajaan pusat seolah-olah menjadi markas Umno kerana dihiasi bendera BN.
Biar pun ramai dikerah hadir pada program di Sekolah Kebangsaan Sri Aman di Pasir Puteh, namun ramai pulang selepas menyerahkan kad jemputan kepada pihak urusetia.
“Saya lihat ramai pulang biar pun Perdana Menteri belum sampai. Ada yang datang ke program itu seawal jam 7 pagi.
“Ketika rombongan Datuk Seri Najib Razak sampai orang ramai yang sudah berbondong-bondong keluar dari pagar sekolah,” dakwa seorang penduduk.
Seorang bekas anggota keselamatan pula memberitahu kenyataan Perdana Menteri kononnya keluarga kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyertai Umno di majlis itu tidak lebih sebagai gimik politik.
Katanya, orang ramai di Pasir Puteh kenal siapa Raja Abdullah Raja Mahmud yang didakwa mempunyai hubungan keluarga dengan Menteri Besar Kelantan.
“Orang itu bekas tentera dan sekarang berniaga di pasar malam. Dia mahu mengaibkan keluarga Tok Guru Nik Abdul Aziz untuk mempopularkan dirinya,” kata beliau.
Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, Raja Abdullah dan Saidi Hussin sudah beberapa kali mengisytihar menyertai Umno termasuk di Jertih, Terengganu.
Katanya, mereka bukan ahli PAS, sebaliknya sebagai penyokong dari jauh dan pernah menyokong Semangat 46.
”PAS Pasir Puteh kesal kerana dia cuba mengaitkan nama Tok Guru Nik Aziz. Saya percaya kalau ada menteri lain datang dia sekali lagi akan berada di pentas bagi mengisytiharkan keluar PAS,” katanya.
Sekitar 5,000 hadir
Kata beliau juga kehadiran pada program Perdana Menteri tidak sampai 5,000 orang biar pun media harian yang dekat dengan Umno mendakwa 20,000 orang.
Ketika lawatan di Pasir Puteh juga Perdana Menteri mengunjungi stesen kereta sewa.
Najib dalam ucapannya di situ mendakwa kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mahu menjual tapak perhentian teksi di Pasar Lama Pasir Puteh setelah lebih 20 tahun beroperasi.
Beliau juga berjanji menyediakan pejabat baru kepada Persatuan Pemandu Teksi Pasir Puteh. Hadir sama di majlis itu Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Mengulas isu tersebut anggota Exco kerajaan ngeri, Datuk Husam Musa berkata, kenyataan Perdana Menteri tersebut tidak berasas sama sekali.
Katanya, PKINK tidak pernah menjual tapak berkenaan, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di Pasir Puteh.
”Walaupun sebelum ini PKINK mengenakan sedikit bayaran tetapi kini bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran.
”Apa yang berlaku pernah ada pihak memohon membeli tapak berkenaan untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut ditolak PKINK,” katanya di sini.
Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, sepatutnya sebagai seorang pemimpin negara, Perdana Menteri patut malu apabila orang ramai yang dikatakan hadir meraikan kedatangannya sebenar dipaksa hadir sehingga perlu menandatangani kedatangan.
”Amat malang lawatan yang penting itu hanya dimeriahkan kerahan secara paksa pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan.
”Buktinya semuanya dibekalkan baju merah terlebih dahulu. Ramai menerima kad jemputan lebih awal supaya hadir di majlis tersebut,” ujarnya.
Menurutnya lebih menggelikan hati apabila bangunan kerajaan di Wisma Persekutuan dipenuhi bendera Umno dan BN.
Kata beliau ternyata kedatangan Perdana Menteri telah mencemarkan lagi konsep pemisahan antara parti dan kerajaan.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4147-pegawai-merungut-dipaksa-hadir-program-pm
No comments:
Post a Comment