Monday, July 4, 2011

Bersih 2.0 berusaha menghadap Agung

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Julai: Jawatankuasa penganjur Bersih 2.0 sedang berusaha untuk menghadap Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum Sabtu ini sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perhimpunan itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh sekretariat Bersih 2.0, "Kami akan berkomunikasi dengan Yang Dipertuan Agung sebelum membuat keputusan akhir."

Pagi ini Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Srevanasan bertemu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan situasi sekarang, kata satu kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Bersih melalui Twitter mereka.

Petang semalam Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengeluarkan titah agar diadakan rundingan antara pihak Bersih dan kerajaan.

Baginda juga mengarahkan kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana serta menyelesaikan masalah dengan rundingan.

Titah ini dikeluarkan baginda seminggu menjelang perhimpunan Bersih 9 Julai ini dengan kira-kira 100 orang sudah ditangkap kerana dikaitkan dengan perhimpunan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara pula telah mengeluarkan kenyataan pintu rundingan sudah ditutup dan akan menahan pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini.

Menurut Tuanku Mizan, baginda mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Bantah tahan PSM

Sementara itu, Bersih 2.0 dalam kenyataannya mengecam keras tindakan polis menahan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Akta Dharurat.

"Ia sama seperti ditahan di bawah ISA," kata satu kenyataan Bersih 2.0.

Semalam, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan (gambar) membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan timbalannya Datuk Khalid Abu Bakar kerana melemparkan tuduhan palsu terhadap lima aktivis parti itu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar.

Selain Michael, turut ditahan di bawah Ordinan Darurat adalah M Saraswathy, Choo Chon Kai, M Sukumaran, A Letchumanan dan Sarat Babu.

Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam Dan Mencegah Jenayah) 1969 yang membolehkan ditahan selama 60 hari tanpa perbicaraan.

Kata Arutchelvan (gambar), sebelum ini kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan iaitu dakwaan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong namun telah dibebaskan daripada tuduhan itu.

“Kemudian semalam polis membuat tangkapan semula di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat kerana kononnya terdapat sebab-sebab untuk mempercayai yang mereka telah bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan ketenteraman awam.

“Ini adalah tindakan salah guna kuasa di mana polis bersembunyi di belakang undang-undang zalim ala ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Polis dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) juga tahu bahawa ISA tidak lagi popular sehingga terpaksa mengunakan undang-undang darurat yang ramai orang tidak mengetahuinya,” katanya dalam laporan polis itu.

Tegas Arutchelvan, Ordinan Darurat digunakan ke atas individu yang melakukan jenayah berat dan bukan berunsur politik.

“Mereka berenam ini adalah tahanan politik pertama dituduh di bawah Ordinan Darurat yang masih digunakan di zaman tidak ada darurat.

“Maka tujuan sebenar Ordinan Darurat digunakan adalah untuk menghindar orang dari menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0. Semua alasan dan kenyataan lain adalah tipu muslihat dan agenda memperbodohkan rakyat,” katanya.

Minggu lalu kesemua mereka ditahan berhubung Himpunan Bersih 2.0 bersama 25 yang lain


http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/4166-bersih-20-berusaha-menghadap-agung

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...