Monday, July 4, 2011

Kejayaan rakyat Mesir 'membersihkan' Hosni Mubarak


Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my

MENURUT akhbar al-Yaum as-Sabi'e, 27 Jun 2011 terdapat laporan daripada Amerika Syarikat, Ikhwan Muslimin memainkan peranan utama untuk menerajui pakatan demokrasi parti-parti politik di Mesir pasca kejatuhan bekas Presiden Hosni Mubarak.

Kenyataan ini dibuat kerana AS dan sekutunya Israel, terpaksa mengakui bahawa rakyat Mesir hari ini, telah meletakkan kepercayaan dan harapan yang besar kepada Ikhwan Muslimin, melalui parti baru yang ditubuhkannya, iaitu Al-Hurriyah wal 'Adalah (parti Kebebasan dan Keadilan).

Sebelum ini AS dan sekutunya cuba untuk menyekat pengaruh Ikhwan Muslimin. Mereka cukup takut dengan pengaruh Ikhwan. Mereka cuba mengusahakan cadangan untuk meminta Perlembagaan Mesir sebelum diadakan pilihan raya.

Melihat peluang mereka tipis untuk menyaingi pengaruh Ikhwan, juak-juak AS yang diketuai bekas Ketua Pengarah Atom Antarabangsa, Mohamad al-Bardaie cuba untuk mengetengahkan idea supaya pilihan raya ditangguhkan untuk diadakan pindaan Perlembagaan terlebih dahulu.

Namun, pada 26 Jun, Timbalan Perdana Menteri Mesir, Dr Yahya Jamal mengunjungi pejabat parti Al-Hurriyah wal 'Adalah bagi mengucapkan tahniah di atas penubuhan parti, menegaskan bahawa pilihan raya umum tetap akan diadakan pada bulan September 2011.

Sebenarnya perkara pokok yang difikir AS dan Israel adalah bagaimana hendak memastikan pemerintah baru Mesir, selepas kejatuhan Hosni Mubarak, dapat dijadikan hamba mereka, bagi melindungi kepentingan Israel untuk terus menjajah bumi umat Islam Palestin.

Selepas pemerintahan beraja Mesir yang diperintah Raja Farouk diguling pada tahun 1952 dan digantikan dengan pemerintahan republik, Mesir terus menerus menjadi rakan paling akrab AS dan Israel.

Presiden Mohamad Najib, seorang bekas pemimpin tentera yang menggantikan Raja Farouk dijatuhkan oleh Gamal Abdul Nasser kerana agak lunak dengan rakyat.

Gamal Abdul Nasser digantikan dengan Mohamad Anwar Sadat dan kemudiannya Hosni Mubarak selama 30 tahun sejak 1981 sehingga digulingkan.

Semua Presiden Mesir selepas kejatuhan Raja Farouk sehingga Hosni Mubarak adalah dari kalangan pemimpin tentera. Ini bermakna hampir 60 tahun Mesir diperintah oleh pemimpin tentera. Semua pemimpin tentera ini adalah kalangan mereka yang menindas, memenjara dan membunuh pemimpin Ikhwan Muslimin termasuk antaranya yang syahid di tali gantung, Mohamad Abdul Kadir Audah dan Syed Qutb.

Olehitu Pilihan Raya Umum Mesir selepas kebangkitan (tsaurah) rakyat tahun ini akan menyaksikan situasi yang amat berbeza. Iaitu, Mesir bakal diketuai dari kalangan orang awam (civilian) yang tidak pro-AS atau Israel.

Masalah utama kepada Mesir selepas pemerintahan Raja Farouk bukan soal siapa yang menerajui negara. Soal utama adalah kemiskinan rakyat dan pengagihan kekayaan untuk kroni dan anak-beranak Hosni Mubarak. Dan yang utama sekali, Presiden Mesir adalah khadam kepada Israel dan AS.

Sebab itu sepanjang 30 tahun Hosni Mubarak memerintah lebih 40 juta rakyat Mesir dibiarkan dalam keadaan miskin. Mesir mempunyai 85 juta rakyat, 75 juta beragama Islam manakala 10 juta Kristian Qibti.

Daripada 40 juta rakyat Mesir yang miskin, berdasarkan statistik lebih 20 juta rakyat hanya berpendapatan kira-kira RM60 sebulan.

Kemiskinan ini juga menyebabkan ramai rakyat Mesir yang merempat dengan kadar buta huruf yang tinggi sehingga mencecah 40 peratus.

Hosni Mubarak menjadikan kemiskinan sebagai alat untuk memeras rakyat, bagi mengekalkan kuasa pemerintahan diktator. Ini yang dikehendaki AS dan Israel, biarpun Presiden Mesir zalim dan diktator, biarpun rakyat miskin, asalkan pemimpin tersebut menjalankan agenda mereka.

Oleh sebab itu AS dan Israel cukup takut dengan kejatuhan Hosni Mubarak. Daripada laporan, terdapat banyak kenyataan daripada Zionis Yahudi beberapa minggu sebelum berlakunya revolusi rakyat.

Zionis mengatakan bahawa kerajaan Hosni Mubarak adalah merupakan 'kanzan isratijian lil amnil Israel' atau perbendaharaan khazanah yang paling strategik untuk keselamatan Israel.


Dosa-dosa Hosni Mubarak kepada umat Islam

Profesor Dr Muhammad ‘Imarah, pemikir Islam Mesir dalam rencana terbarunya selepas tsaurah menggariskan beberapa sebab yang menyebabkan Hosni Mubarak dijatuhkan rakyat Mesir.

Antaranya, kerajaan Hosni Mubarak adalah pemimpin Arab utama yang mendesak AS dan Barat supaya menyerang Iraq pada tahun 2003 dan sokongan terbuka beliau kepada serangan AS dan Barat ke atas Afghanistan 2001, sekalipun Presiden AS, George Bush ketika itu menyatakan perang tersebut adalah 'perang salib' ke atas Islam dan umat Islam.

Hosni Mubarak ditentang kerana memberi sokongan penuh serangan kerajaan Kristian Etophia ke atas negara umat Islam Somalia.

Selama 30 tahun Presiden Mesir menjadikan dirinya sebagai pejuang untuk memerangi kemaraan Islam dan pengawal kepada keselamatan Israel. Beliau terbabit secara langsung atau tidak langsung menyokong serangan Israel terhadap Lubnan pada 2006 dan Gaza pada 2008 dan 2009.

Hubungan Hosni Mubarak dengan pemimpin Israel sangat akrab sehinggakan sebelum tentera Zionis menyerang Gaza, mereka memaklumkan hal tersebut kepada beliau terlebih dahulu.

Hosni Mubarak harus dikecam dan tidak sesekali harus dimaafkan kerana beliau berdosa melakukan kepungan yang zalim ke atas 1.5 juta penduduk Gaza kerana benci kepada gerakan Islam Hamas yang menang atas pilihan rakyat.

Kepungan ini merupakan khidmat terbaik kepada Israel. Kepungan bertahun-tahun ini menyebabkan ramai yang mati kerana sakit dan mati kerana lapar.


Dosa-dosa Hosni Mubarak kepada rakyat Mesir

Selepas Hosni Mubarak dijatuhkan pada 13 Februari 2011, terbongkar suatu rahsia besar bahawa Hosni Mubarak, anak-beranak dan kroninya membekalkan gas asli Mesir ke Israel dengan harga 1/3 kurang daripada harga pasaran dunia.

Kerajaan pimpinan Hosni Mubarak menghancurkan persatuan sekerja dan juga parti-parti politik Mesir di samping berusaha memusnahkan sistem kehakiman Mesir.

Akibat daripada kemiskinan, ramai rakyat Mesir, khususnya dari kalangan pemuda-pemuda terpaksa mempertaruhkan nyawa dengan menaiki perahu bot kecil untuk menyeberangi Eropah untuk mencari penghidupan. Akibatnya, ramai yang mati kerana bot karam, semata-mata untuk mencari sesuap roti.

Tidak kurang juga akibat daripada kemiskinan yang menjerut, ada kalangan rakyat Mesir yang menjadi perisik yang dibayar Israel. Mereka menjadi agen Israel dengan mengkhianati rakyat Mesir dan umat Islam Palestin akibat tekanan kehidupan.

Di sebalik kemiskinan dan kemelaratan rakyat, Hosni Mubarak, anak-beranak, kroni dan ahli-ahli politik daripada Al-Hizbul Al-Watani (Umno Mesir) hidup dengan penuh kemewahan.

Mereka melimpahkan negara Mesir dengan arak yang berkualiti, bersantai di villa mewah di Sharm as-Sheikh. Kerajaan Hosni Mubarak juga, membelanjakan berbilion untuk membina istana, villa kepada segelintir golongan kaya di utara Mesir yang tidak diduduki sedangkan 20 juta penduduk tinggal di atas kubur dan kawasan setinggan.

Mereka dari pimpinan Al-Hizbul Al-Watani melaksanakan dasar pengswastaan, dengan menjual kilang-kilang milik kerajaan yang berpotensi dengan harga yang terlampau murah. Dasar penswastaan yang menzalimi rakyat dengan pro kepada syarikat kroni, tanpa mengira harga bangunan kilang yang dijual jauh lebih meurah dari harga tanah.

Hal ini menyebabkan sebilangan kecil perompak yang kaya raya, iaitu sekitar 5 juta perasuah konglomerat besar menguasai 80 peratus kekayaaan di Mesir.

Terakhir sekali parti Al-Hizbul Watani bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihanraya Mesir untuk menipu dalam pilihan raya untuk mengekalkan penguasaannya selama 30 tahun. Namun kejahatan Hosni Mubarak yang dilindungi AS dan Israel terlalu banyak untuk dicatat. Lebih banyak yang akan dibongkar selepas ini

Oleh sebab itu akibat kejahatan ini semua, tahap kesabaran rakyat sudah tidak mampu dibendung. Mereka bangkit menolak Hosni Mubarak dan 'membersihkan' negara Mesir dari anasir-anasir yang menjelekkan.

Gerakan rakyat untuk 'membersihkan' kejahatan pemerintah zalim tidak akan berakhir selagi pemerintahan yang bebas dan adil tidak dinobatkan selepas PRU Mesir September ini.

Mudah-mudahan cerita keangkuhan dan kezaliman Hosni Mubarak dapat kita hayati untuk mengelakkan perkara sebegini berlaku kepada bumi bertuah Malaysia.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mohd-rashidi-hasana/4118-kejayaan-rakyat-mesir-membersihkan-hosni-mubarak

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...