Monday, July 25, 2011

Baharudin: Keluarga belum terima laporan post mortem

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Walaupun sudah lebih dua minggu berlalu, keluarga Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal ketika perhimpunan Bersih 2.0 masih menunggu laporan post mortem dari Hospital Kuala Lumpur untuk mengetahui apa punca sebenar kematiannya.

Ini kerana, sehingga kini mereka masih belum mendapat laporan itu walaupun sudah beberapa kali diminta dari pihak hospital.

(Tuan Guru Nik Aziz menyampaikan sumbangan kepada anak Baharudin, Nasrul ketika beliau berkunjung ke situ ketika jenazah di kebumikan)

"Saya tertanya-tanya, kenapa kami belum dapat lagi (laporan bedah siasat), tapi polis dah keluar kenyataan," kata Mohd Nasrul, 22, ketika dihubungi laman web Malaysiakini hari ini.

Baharudin meninggal ketika menyertai perhimpunan Bersih 2.0 9 Julai lalu ketika berhimpun berhampiran dengan KLCC.

Pihak polis mendakwa, Baharudin mati kerana komplikasi jantung. Namun keluarganya tertanya-tanya, apa punca empat tulang dadanya patah di samping tiga batang giginya juga patah.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid pada Jumaat lalu dilaporkan sebagai berkata, tulang rusuk mangsa yang patah itu "mungkin" disebabkan oleh rawatan kecemasan yang diberikan ke atasnya.

Gigi lelaki berusia 58 tahun itu pula "mungkin" patah disebabkan tiub yang dimasukkan ke dalam mulut lelaki berkenaan bagi tujuan "menyedarkannya semula."

Salleh turut mendakwa, tiada gas pemedih mata dilepaskan di lokasi KLCC dan tiada anggota polis berada di lokasi Baharudin meninggal dunia.

Ketika hari pengkebumiannya, anak saudara Baharudin, Azhar Kassim ketika bercakap kepada Harakahdaily melahirkan rasa ragunya atas punca tulang dada dan gigi yang patah itu akibat dari CPR yang dibuat ke atas Baharudin.

"Kenapa mereka tidak bagi laporan post mortem itu sedangkan sijil untuk mengebumikan jenazah dikeluarkan," soal beliau.

Azhar sebelum ini mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan juga kepada Ketua Polis Negara, mendakwa kecederaan yang dialami mangsa itu mungkin berpunca daripada keganasan polis.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4542-baharudin-keluarga-belum-terima-laporan-post-mortem

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...