Monday, July 25, 2011

Biometrik: Bersih perlu sokong, kotor kena tolak

Rizal Tahir

KOTA BHARU, 25 Julai: PAS hanya akan membuat keputusan menyokong atau sebaliknya berhubung biometrik selepas diberi penerangan berhubung perlaksanaan perkara itu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, walaupun tidak menafikan hanya akan menyokong sekiranya perkara itu baik, namun penerangan berhubung perkara itu perlu dilakukan terlebih dahulu.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung sistem biometrik yang bakal dilaksanakan oleh SPR dalam pilihan raya umum selepas merasmikan pelan halatuju ICT negeri Kelantan 2011-2015 di Kota Darulnaim, di sini petang tadi.

Turut hadir pada majlis itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, ketua-ketua jabatan dan wakil-wakil agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, selepas mendengar taklimat perbincangan pula perlu diadakan sama ada ianya perlu menyokong atau sebaliknya.

“Perkara bersih perlu disokong, perkara yang kotor kita kena tolak. Mana-mana perkara yang rosak atau meragukan kita kena tentang,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, untuk membentuk kerajaan yang adil, ianya perlu diadakan melalui pilihan raya yang bersih dan adil.

Tambahnya, sama ada untuk mentadbir sebuah keluarga, diri, jiran tetangga, negeri atau negara perlu diadakan dengan cara bersih.

Terdahulu Pengerusi Multimedia Development Corporation (MDeC), Tan Sri Abdul Halim Ali, ketika berucap di majlis pelancaran itu berkata, portal rasmi kerajaan Kelantan menduduki tempat keenam daripada 1,145 laman web yang dinilai di peringkat kebangsaan.

Menurutnya lagi, selain itu portal rasmi kerajaan negeri juga berjaya melonjak pencapaian lima bitang di bawah program Penilaian Portal dan Laman Web kerajaan 2010.

“Saya begitu kagum dengan pencapaian ini termasuk portal kerajaan negeri turut berada di tempat ketiga dalam kategori negeri dengan 15 laman web kerajaan dan agensi negeri berjaya memperolehi status lima bintang,” ujarnya.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4550-biometrik-bersih-perlu-sokong-kotor-kena-tolak

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...