Sunday, July 10, 2011

KPN DAKWA ANWAR TIDAK CEDERA

POSTED BY ADMIN ON JULY 9TH, 2011

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menafikan dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tercedera dalam perhimpunan BERSIH hari ini.”Dia tak ada di Pudu. Di situ saja ada gas pemedih mata. Itu tidak benar,” katanya ketika ditanya sama ada Anwar tercedera. Ismail juga menjelaskan Anwar tidak ditahan polis.
Ismail mengesahkan sebanyak 1,401 orang ditahan, termasuk beberapa “ketua kumpulan”.

Mereka antaranya Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalannya Mohamad Sabu, dua naib presiden Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub.

Turut ditahan pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin dan anggota parlimen Subang Sivarasa Rasiah.

Dalam sidang media di Bukit Aman petang ini, Ismail mengambil kesempatan menafikan segala laporan negatif terhadap polis, termasuk apa yang dirujuknya sebagai “berita angin”.

Beliau menafikan polis melepaskan gas pemedih mata di kawasan Hospital Tung Sin di Jalan Pudu.

“Itu tidak benar. Itu di luar SOP (prosedur standard) kita. Jangan dengar berita angin ini. Tidak tepat,” katanya yang diasak soalan bertubi-tubi dari pemberita.

Ismail juga berkata pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan pancutan air memandangkan terdapat peserta perhimpunan BERSIH 2.0 yang cuba merempuh halangan polis.

“Kumpulan di Puduraya cuba bergerak ke Dataran Merdeka dan enggan bersurai. Mereka cuba merempuh.

“Polis tiada pilihan dengan menyuraikan dengan gas pemedih mata dan pancuran air,” katanya sambil mendakwa melepas tembakan “minimum” sahaja.

Ismail berkata, perhimpunan sebenarnya hanya berlaku di dua tempat sahaja iaitu di Jalan Pudu dan di luar Stadium Merdeka di Jalan Loke Yew.

“Kumpulan di Pudu bergerak ke KLCC dan Menara Maybank. Mereka cuba digambarkan serata Kuala Lumpur ada perhimpunan. Sebenarnya di dua tempat sahaja,” katanya.

Ditanya tentang dakwaan polis memukul peserta perhimpunan BERSIH hari ini, Ismail berkata beliau perlu melihat laporan penuh terlebih dahulu.

Beliau juga mendakwa terdapat pihak yang melakukan provokasi kepada pihak polis.

“Kalau ada (polis guna kekerasan) you buat repotlah,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota polis yang bersalah.

Ismail juga menjelaskan hanya 5,000 hingga 6,000 hadir menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 di ibu negara hari ini.

“Ia tidak besar seperti yang sudah-sudah. Juga tidak merebak,” katanya.

Menurut Ismail perkara itu disebabkan sekatan jalan raya yang dilakukan pihak polis begitu berkesan.

Jumlah itu jauh berbeza dengan anggaran BERSIH bahawa kira-kira 50,000 orang hadir menuntut pilihan raya bersih dan adil di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam sidang media di ibu pajabat polis di Bukit Aman lewat petang ini, Ismail juga berkata kesemua 1,401 orang akan yang ditahan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di ibu negara akan dirakamkan kenyataannya.

Beliau berkata, tahanan diberikan makan minum, rawatan kesihatan jika perlu dan kemudahan tempat solat.

“Keadaannya macam kenduri kahwin,” katanya sambil disambut gelak ketawa wartawan.


http://www.kl-today.com/2011/07/kpn-dakwa-anwar-tidak-cedera/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...