Sunday, July 10, 2011

Mohamad Sabu, Mahfuz, Salahudin dibebas malam tadi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Julai: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan kedua-dua Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub yang ditahan di balai polis Jinjang semalam dibebaskan antara jam 9.30 hingga 10.30 malam tadi.

Turut dibebaskan bersama mereka, Setiausaha Politik presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.

Mohamad ditahan polis semalam ditahan ketika sedang membonceng motosikal menuju ke perhimpunan Bersih 2.0 berhampiran Masjid Negara.

Motosikalnya didakwa dilanggar pihak polis sebelum beliau ditahan.

Beliau merupakan salah seorang daripada 91 individu dilarang memasuki kawasan ibu negara hari ini.

Mahfuz dan Salahudin pula ditahan ketika sedang berjalan di KL Sentral kira-kira jam 12.10 tengahari semalam, manakala Shamsuri ditahan bersama Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga ketika berada di KL Sentral.

Sementara itu, bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Mahfuz berkata beliau dan Salahudin sedang meneliti dari aspek undang-undang berhubung penahanan mereka.

Beliau mendakwa penahanan mereka bertentangan dengan perintah larangan Mahkamah Majistret yang menghalang mereka berada di beberapa lokasi di Kuala Lumpur tetapi tidak termasuk KL Sentral.

"Saya dah minta peguam untuk mengkajinya, dan kita tengok sama-ada kita boleh failkan saman atau tidak," katanya.

Kedua-dua mereka juga adalah termasuk dalam 91 nama yang dilarang berada di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur ekoran himpunan Bersih 2.0 semalam.

Dalam pada itu, kesemua 1401 orang yang ditahan pihak polis sepanjang perhimpunan Bersih semalam difahamkan telah dibebaskan selewat-lewatnya awal pagi tadi.

Mereka termasuk ahli jawatankuasa penganjur Bersih, pemimpin PKR dan DAP serta orang awam yang turut menyertai himpunan itu.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4281-mohamad-sabu-mahfuz-salahudin-dibebas-malam-tadi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...