KUALA LUMPUR, 12 Ogos: PAS menyanggah kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyamakan rusuhan di London dengan perhimpunan aman di Malaysia, khususnya perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.
Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, Khalid seharusnya tahu membezakan di antara rusuhan dan perhimpunan aman yang dirancang rapi selain meminta kerjasama pihak polis sendiri.
"Saya menyanggah kenyataan Khalid itu. Kenyataan itu tidak tepat sebab kita bukan buat rusuhan tetapi perarakan aman yang dirancang berbulan-bulan lamanya oleh beberapa badan bukan kerajaan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Anggota Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, rusuhan yang berlaku di London ternyata berbeza dengan perimpunan Bersih 2.0 dari segi matlamat dan caranya.
Jelasnya, rusuhan di London berlaku kerana ratusan ribu penduduk hilang pekerjaan kerana kegawatan ekonomi yang mendadak dan harga barang yang meningkat sebaliknya perhimpunan Bersih 2.0 menuntut ketelusan dalam sistem pilihan raya.
"Di London mereka mengamuk secara mengejut, serta merta, tidak ada perancangan dan tidak ada orang yang beratnggungjawab.
"Di Malaysia kita ada NGO yang bertanggungjawab, kita ada pengarah dan dibincang dengan pihak berkuasa sepanjang masa dalam tempoh yang lama untuk perarakan aman," katanya.
Khalid sebelum ini menulis di laman sosial facebook seolah-olah mempertahankan tindakan polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan himpunan Bersih 2.0 kononnya untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Sementara itu, sambil membandingkan tindakan polis di London dengan di Malaysia, beliau menyifatkan polis Malaysia sebagai kejam terhadap peserta perhimpunan aman.
"Di London walaupun suasana huru hara berlaku tapi pihak polis masih tidak menggunakan kekerasan dengan membedil gas pemedih mata atau meria air.
"Mereka cuma guna cota dan ada di antara mereka tidak diberikan kelengkapan untuk menghadapi rusuhan, maksudnya mereka masih ada lagi tata susila kepolisan.
"Di Malaysia polis kejam kerana bertindak kasar walaupun perarakan dirancang awal bahkan polis diberitahu awal, kita ada pertanggungjawaban," katanya.
Rusuhan di London, terutamanya di Tottenham bermula Sabtu lalu selepas seorang seorang suspek mati ditembak polis.
Rusuhan bermula di Tottenham, kemudian merebak ke Wood Green, Enfield Town, Ponders End dan Brixton melibatkan pelbagai kelakuan ganas dan merebak ke seluruh kawasan lain di London.
Dalam rusuhan itu Polis Metropolitan London diserang manakala kedai dirompak dan bangunan dibaling batu.
Mereka membantah apabila Mark Duggan, pemuda beruisa 29 tahun ditembak polis mati ketika polis berusaha menangkap pengedah dadah kokain dan ahli 'Star Gang' sedangkan beliau tidak bersenjata.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4871-khalid-tak-tahu-beza-rusuhan-dengan-himpunan-aman
No comments:
Post a Comment