Friday, August 12, 2011

Semua negeri Pakatan bayar bonus

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Semua negeri Pakatan Rakyat akan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minima sebanyak RM500 kecuali Pulau Pinang yang akan membuat bayaran minima RM600.

Keputusan ini dibuat selari dengan keputusan kerajaan Pusat yang berbuat demikian menjelang hari raya Aidil Fitri akan datang ini.

Kelantan juga mengumumkan akan memberikan bonus sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan pusat kepada kakitangan awamnya.

Pulau Pinang pula memutuskan akan memberikan bonus yang sama namun menjadikan RM600 sebagai bayaran minima berbanding pusat RM500.

Di ALOR SETAR,Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) dalam kenyataannya kepada media hari ini telah mengumumkan pembayaran bonus setengah bulan gaji dengan kadar minima RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri bulan ini.

Azizan berkata, kerajaan negeri akan mengikut langkah yang diambil kerajaan pusat dalam pemberian bonus itu selain turut memberikan bonus setengah bulan gaji kepada semua anggota dewan undangan negeri (Adun) di Kedah.

"Kita akan bayar pada 18 Ogos nanti bersama gaji bulan ini, keseluruhannya kita akan bayar lebih RM5 juta," katanya yang dipetik dari Bernama.

Beransur pulih

Sementara itu, Azizan yang ketika ini masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) semakin beransur pulih dan akan dibenarkan pulang tidak beberapa lama lagi.

"Saya dah baik tapi masih berehat, sekarang dah banyak perubahan. InsyaAllah, minggu depan saya boleh balik Alor Setar," katanya.

Beliau dimasukkan ke IJN, 29 Julai lalu selepas mengadu sakit pada bahagian jantung dan hasil pemeriksaan doktor mendapati ada saluran tersumbat dan perlu mendapatkan rawatan susulan.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4881-semua-negeri-pakatan-bayar-bonus

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...