Friday, August 12, 2011

Umno sasar PAS untuk lindungi kejahatannya

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 12 Ogos: Para pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak menjadikan PAS sebagai sasaran dalam isu membabitkan pemeriksaan Jais ke gereja GMDU bagi melindungi kejahatan mereka sendiri dari orang ramai.

Sebaliknya, cubaan Umno untuk menjadikan PAS sebagai sasaran dan turut berusaha melagakan PAS dan DAP hanyalah sia-sia kerana PAS sudah cukup masak dengan permainan politik kotor Umno BN.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (gambar) berkata, di sebalik permainan mereka itu, orang ramai cukup faham tujuan Umno bertindak demikian adalah untuk melindungi kesalahannya sendiri kepada rakyat, terutama yang membabitkan langkah menjadikan warga asing sebagai pengundi di negara ini.

Menurut beliau, tindakan menjadikan warga asing sebagai pengundi yang dilakukan oleh Umno BN menerusi agensi-agensi kerajaan yang bersekongkol dengannya adalah satu isu yang sangat besar.

Katanya, perbuatan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan oleh pemimpin negara kerana ia jelas satu ancaman kepada negara, satu pengkhianatan kepada negara, tetapi sanggup dilakukan oleh para pemimpin Umno BN demi kepentingan mereka sendiri.

"Kini setelah tembelang mereka diketahui oleh rakyat, mereka berusaha melindunginya dengan pelbagai cara termasuk dengan melakukan pengkhianatan terhadap PAS dengan membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadap PAS," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Usaha yang dilakukan oleh Umno BN untuk menjadikan PAS sebagai sasaran dari kejadian itu kelihatan amat jelas hari ini apabila akhbar milik Umno, Utusan Malaysia membuat laporan tidak berasas terhadap Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Dalam laporan muka depannya hari ini, Utusan Malaysia mengatakan Nasrudin kini berada dalam keadaan tertekan kerana dikecam hebat oleh pimpinan PAS, ekoran kenyataannya berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap satu majlis yang berlangsung di Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) pada 3 Ogos lalu.

Menerusi laporan itu, akhbar tersebut membayangkan wujud percanggahan antara pendirian Nasrudin dengan keputusan PAS Pusat yang mahu mendengar penjelasan dari kedua-dua pihak iaitu Jais dan pihak gereja berhubung pemeriksaan Jais itu.

Bayangan terhadap Nasrudin yang dimanipulasikan dari kenyataan beliau menerusi blognya itu sengaja dicipta untuk melaga-lagakan antara sesama pemimpin PAS dan sesama pemimpin dalam Pakatan Rakyat.

Sementara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim pula dalam akhbar Sinar Harian menghentam PAS kononnya PAS takut kepada DAP sehingga tidak berani menegakkan kebenaran dalam isu pemeriksaan Jais terhadap gereja Kristian itu.

Dalam Sinar Harian hari ini, beliau dilaporkan berkata, PAS sudah tunduk kepada DAP dan tidak lagi berjuang dengan prinsip asalnya iaitu Islam.

Menurut Abdul Ghani, kenyataan Mashitah itu ternyata tidak berasas kerana PAS tidak pernah tunduk kepada sebarang pihak dalam memperjuangkan dasar dan prinsip perjuangannya serta dalam menegakkan kebenaran.

"Tetapi sebagai pemimpin kepada parti Islam yang faham dengan apa yang patut dilakukan, pemimpin-pemimpin PAS tidak mudah mengeluarkan kenyataan tidak menentu dan tidak berasas dalam sebarang perkara termasuk dalam hal itu," katanya.

Sebelum kenyataan dikeluarkan, katanya, pemimpin-pemimpin PAS perlu mengadakan pertemuan dengan pihak gereja dan Jais terlebih dahulu bagi mendapatkan penjelasan yang sebenar berhubung kejadian itu.

Katanya, tindakan yang diambil oleh PAS itu memang tepat dan tidak sepatutnya diputarbelitkan lagi oleh Umno BN dengan membuat tuduhan seperti itu terhadap PAS dan DAP.

"Pada PAS, soal tunduk kepada DAP atau mana-mana pihak tidak timbul. Sebaliknya, PAS tidak seperti Umno yang sanggup memperkudakan MCA dan MIC demi kepentingannya.

"Kerjasama politik yang dibuat oleh PAS dan DAP adalah untuk kebaikan, bukan untuk memperkudakan sesiapa. Jadi tidak timbul soal PAS tunduk kepada DAP seperti yang didakwakan itu," ujar beliau.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4880-umno-sasar-pas-untuk-lindungi-kejahatannya-

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...