Kisah Benar Melayu/ Islam Berlindung Di Gereja
EKSKLUSIF
Baru-baru ini Harapan Komuniti – NGO yang menganjurkan majlis makan malam amal yang diserbu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu kerana didakwa ada kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam – tampil membuat penjelasan tentang apa yang berlaku pada malam tersebut.
Pengarah eksekutif NGO itu – yang membantu golongan miskin dan ‘melarat’ dan penghidap HIV dan AIDS – Raymond Koh berkata majlis kesyukuran/makan malam amal itu dihadiri penderma, rakan-rakan serta penerima bantuan Harapan Komuniti” sebelum ia diserbu 30 pegawai penguatkuasa JAIS dan polis.
Katanya, Harapan Komuniti adalah sebuah pertubuhan bukan keuntungan, yang berkhidmat untuk membawa kasih sayang, harapan, keamanan dan maruah kepada golongan yang memerlukan, orang miskin, kanak-kanak, wanita dan penghidup HIV dan AIDS.
Sementara peguam mereka pula, Annou Xavier berkata Malaysia sepatutnya bernasib baik kerana mempunyai pertubuhan seperti Harapan Komuniti yang memberi “harapan” kepada golongan yang memerlukan, orang miskin dan golongan terpinggir.
Bagaimanapun, katanya, pada “malam yang malang itu”, JAIS sebaliknya menyerbu majlis amal kesyukuran tersebut, atas andaian bahawa berlaku kes penukaran agama.
Sejujurnya saya tidak mahu prejudis atau berprasangka kepada mana-mana pihak, apatah lagi sekiranya mereka mendakwa mereka melakukan kerja amal dan sebagainya.
Cuma saya teringat pada satu peristiwa yang berlaku kira-kira dua tahun lepas di sebuah gereja yang terletak di atas bukit di Batu Arang, Rawang, Selangor.
Ada pihak yang mendakwa ia bukanlah gereja daripada erti kata yang sebenarnya, tetapi sudah bertukar menjadi Rumah Perlindungan HIV yang dikendalikan sekumpulan mubaligh Kristian.
Gereja ini juga dikenali sebagai White House (walaupun bentuknya jauh berbeza dari kediaman Presiden Amerika yang terletak di Washinton itu)
Ia ada salib yang besar, setiap pintu bilik digantung gambar Jesus Christ, ada kata-kata yang dipetik dari buku Bible dan terdapat sebuah dewan syarahan besar yang penuh dengan lambang agama berkenaan.
Mereka mendakwa mereka membantu para pesakit HIV/AIDS yang terbiar di jalanan, tanpa ada niat yang ‘terselindung’
Ya, saya kagum dengan usaha itu.
Cuma yang agak ‘menggerunkan’, hampir sebahagian daripada mereka yang berlindung di dalam premis itu adalah orang Melayu, orang Islam!
Selama ini saya hanya mendengar ramai anak Melayu yang berlindung di dalam gereja, majoritinya mereka yang daif dan berpenyakit.
Katanya ini kerana masyarakat Melayu atau Islam sendiri memandang keji terhadap golongan ini hingga mereka tidak tahu ke mana hendak mengadu.
Akhirnya mubaligh Kristian membawa mereka ke rumah perlindungan atau gereja seperti di White House ini.
Walaupun pihak gereja ada menyediakan bilik kecil yang mereka dakwa surau untuk membolehkan penghuni Islam beribadat, namun realitinya kehidupan penghuni Islam di situ tidak ada banyak bezanya dengan penghuni bukan Islam.
Mereka tinggal di dalam bangunan yang dipenuhi mubaligh Kristian, mereka berkumpul di dewan ‘syarahan’ Kristian, dan bilik tidur mereka juga dihiasi dengan gambar Jesus seperti mana yang saya katakan tadi.
Saya rasa penganut agama Kristian juga akan merasa tidak selesa sekiranya perkara itu terjadi kepada penganut mereka….apa perasaan mereka agaknya jika saudara seagama mereka tinggal di bangunan yang dipenuhi Ustaz, berkumpul di dewan solat dan tidur di bilik yang dipenuhi ayat suci Al-Quran yang bergantungan.
Alhamdulilah, dengan inisiatif seorang guru agama terkenal, Ustaz Muhammad Amin, pada 13 Julai 2009, saya dan rakan-rakan serta sekumpulan NGO yang diketuai oleh Muhammad sendiri bertolak ke gereja berkenaan dengan berbekalkan satu misi- mengeluarkan semua pesakit Melayu dan Islam dari gereja itu.
Setibanya kami di sana, kami disambut oleh Razak, antara penghuni Melayu yang telah lama tinggal di situ
Masuk saja ke dalam gereja tersebut, bau kuat ubat terus menusuk hidung, ia seolah-olah sebuah ‘mini hospital’
Di belakangnya telah menunggu tidak kurang daripada 20 orang anak-anak Melayu, kesemuanya pembawa virus HIV
Melihat saja kelibat mereka, saya hampir menitiskan airmata, kesemua mereka yang berkain pelikat menyambut kami dengan wajah yang sedih dan sayu
Ada yang bertongkat, ada yang berkerusi roda, ada yang sedang demam dan ada yang baru keluar dari wad
Hampir sejam kami mendengar keluhan hati mereka, mendengar kisah bagaimana mereka dihina, disisih, didiskriminasi dan berbagai lagi oleh masyarakat sekeliling
Pun begitu, mereka bersyukur kerana sekurang-kurangnya gereja tersebut sudi ‘mengutip’ mereka daripada terus menjadi sampah dalam masyarakat
Selepas itu, kami berkesempatan bertemu dengan salah seorang paderi di situ, beliau ternyata cukup profesional dan melayan kami dengan tanpa rasa curiga
Untuk pengetahuan anda, saya sebagai orang Islam sebenarnya sangat malu ketika berada di gereja berkenaan
Bayangkan, walaupun saudara-saudara kita itu bukan dari agama mereka, tetapi saudara-saudara kita itu dilayan bak menatang minyak yang penuh
Saudara-saudara kita itu dimandikan, diberi ubat, diberi makan sehingga ke peringkat dipakaikan lampin oleh petugas di gereja tersebut
Saya tertanya pada diri sendiri, kenapakah kita tidak boleh jadi seperti mereka sedangkan agama kita juga adalah yang terbaik, kita ada al-Quran sebagai panduan, semuanya cukup lengkap tetapi sayang ia tidak diterjemahkan dengan baik oleh para pengikutnya
Selepas kira-kira sejam di gereja tersebut, kami berjaya membawa keluar seorang demi seorang anak Melayu daripada gereja berkenaan, Alhamdulillah, paderi tersebut melepaskannya dengan rela hati.
Saya berharap dalam membantu golongan yang memerlukan, sama ada kerana penyakit, kedaifan dan kemiskinan, kita sebagai umat Islam kena betul-betul membantu dalam erti kata yang sebenarnya.
Agensi-agensi yang diberi amanah harus melaksanakan amanah mereka dengan bersungguh-sungguh.
Adalah mudah untuk mencari kesalahan tetapi itu tidak akan menyelesaikan masalah, tindakan yang pro-aktif perlu disemai dalam setiap sanubari agar golongan sebegini dapat dibantu dalam menjalani kehidupan yang singkat ini
Yang paling penting, sekiranya kita tidak mahu iman dan akidah saudara kita dipesongkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, kita sendiri terlebih dahulu kena memnghulurkan tangan dan menarik mereka keluar dari segala kesulitan ini.
Saya masih ingat kata-kata Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Ab. Aziz Mohd. Zin
Katanya memang ada kebenaran mengenai dakwaan pendekatan dakwah Islam lemah dari segi psikologi berbanding gerakan mubaligh Kristian.
Kata Dr. Abd. Aziz, Ini kerana ramai pendakwah kita melihat kerja dakwah ialah menyebar agama kepada golongan sasar tanpa melihat keperluan dan keadaan diri mereka.
Ini menyebabkan kalau keadaan itu sesuai dengan seseorang, ia akan diterima. Jika tidak, usaha itu akan gagal.
Menurut beliau, pihak kristian misalnya melihat kepada aspek keperluan.
Contohnya, gerakan kepada masyarakat orang Asli.
Mereka akan duduk bersama golongan sasar bertahun-tahun lamanya bagi mengkaji cara hidup golongan ini.
Mereka juga mempunyai satu pasukan lain untuk berdakwah kepada kumpulan sasar berdasarkan maklumat-maklumat kajian tadi.
Pendekatan begini jarang dicontohi oleh pendakwah Islam.
Selain itu, menurut Dr. Ab. Aziz, gerakan kristian mempunyai strategi suka mengambil peluang.
Ia menyebabkan kumpulan sasar akhirnya termakan akibat ‘paksaan secara halus’.
Mereka memberi perhatian kepada kebajikan dan menghulur bantuan kepada sesiapa yang memerlukan.
Akhirnya, kumpulan sasar terpaksa terima. Jika tidak, masalah tidak selesai.
Kesimpulannya jika kita tidak bertindak cepat dalam menangani permasalahan ini, jangan terkejut jika lebih ramai umat Islam di muka bumi ini akan menghuni pusat perlindungan seperti di White House…atau gereja…atau apa saja nama dan gelaran yang kita beri padanya!
Inilah cerita saya. Bukan kisah dongeng. Bukan dusta semata. Wallahualam- Oleh SYAHRIL A. KADIR (Mynewshub.my)
http://mynewshub.my/bm/2011/08/11/melayu-berlindung-di-gereja-bukan-kisah-dongeng/
No comments:
Post a Comment