Friday, August 12, 2011

PKFZ: Saksi tak tahu nilai tanah termasuk faedah

PKFZ: Saksi tak tahu nilai tanah termasuk faedah
Ogos 12, 11 3:06pm


Seorang pegawai kanan Kementerian Pengangkutan hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak mengetahui bahawa penilaian tanah sebanyak RM25 sekaki persegi adalah termasuk faedah, sehinggalah diberitahu oleh pegawai polis tahun lalu.

NONEBekas Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Maritim, Kementerian Pengangkutan P Chandrasekaran (kiri), 56, berkata selain ASP Mohd Rosni Mohd Lazim yang memaklumkan mengenai perkara itu, beliau juga mendapat maklumat yang sama menerusi akhbar.

Chandrasekaran berkata Mohd Rosni telah memberitahunya bahawa pemahamannya mengenai penilaian tanah itu yang tidak termasuk faedah adalah salah, dan mendorongnya bersetuju dengan Mohd Rosni.

Beliau menyatakan demikian ketika disoal balas peguam Wong Kian Kheong yang mewakili bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Saksi juga turut memberitahu mahkamah bahawa perkara itu hanya diketahuinya pada tahun lepas dan tidak bertindak untuk menulis sebarang surat kepada Kementerian Kewangan atau pihak terlibat bagi menyatakan mengapa kesilapan tersebut berlaku.

Chandarasekaran adalah pegawai yang bertanggungjawap menulis surat berhubung projek Pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kepada ketuanya Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, kementerian itu Datuk Abdul Rahman Mohd Noor sebelum surat tersebut diajukan kepada bekas Menteri Pengangkutan Dr Ling.

NONETerdahulu Chandrasekaran berkata pada 14 Oktober 2000, beliau telah memaklumkan kepada Dr Ling (kanan) menerusi memorandum bahawa Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) membuat penilaian tanah di Pulau Indah berasaskan 'special value' pada kadar RM25 sekaki persegi (skp) bagi tempoh bayaran balik 10 tahun.

Menerusi memorandum yang sama, beliau turut menyatakan bahawa jumlah keseluruhan pembayaran kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) untuk tanah seluas 830 ekar (332 hektar) adalah dianggarkan RM903.8 juta tidak termasuk kadar kupon (faedah) enam peratus.

Selain itu saksi berkata tiada sebarang pembetulan dibuat mengenai nilaian tanah tersebut sebelum dan selepas surat diserahkan kepada Dr Ling, malah Abdul Rahman juga tidak pernah memintanya memperbetulkan maklumat tersebut bahawa nilai tanah itu tidak termasuk faedah hinggalah beliau bertukar ke jabatan lain pada 2004.

Saksi kelima pendakwaan itu turut memberitahu bahawa surat KDSB kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan juga mengambil nilaian yang sama.

Chandrasekaran yang kini bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Udara, kementerian itu turut memberitahu bahawa Abdul Rahman juga tidak pernah memberitahunya bahawa surat cadangan untuk membeli tanah yang dihantar kepada Dr Ling pada 2 Oktober 2000 adalah termasuk jumlah faedah.

Ketika ditanya Wong, adakah anak guamnya ada berbincang dan terlibat di dalam komuniti untuk membeli tanah tersebut, Chandrasekaran berkata: "Tidak."

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894, yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000, sedangkan dia tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga berdepan dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung 12 Sept depan.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/172801

klang pkfz pricewaterhousecoopers port klang freezone map detail layout of the area 280509

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...