Wednesday, August 17, 2011

PAS harap Jais cepat kemuka hasil siasatan

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 15 Ogos: PAS berharap Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dapat mengeluarkan hasil laporan siasatan berhubung pemeriksaan ke atas Methodist Church, Damansara Utama secepat mungkin.

Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia perlu disegerakan bagi mengelakkan kontroversi berterusan berhubung isu ini yang memberikan kesan buruk kepada masyarakat berbilang agama di negara ini.

Jais sebelum ini memberi jaminan akan mengeluarkan hasil laporan siasatannya selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Saya anggap itu tempoh masa yang lama kerana ini akan menimbulkan pelbagai kontroversi yang tidak baik kepada pelbagai pihak.

"Selagi tidak ada satu penyelesaian dan kata putus apa bentuk tindakan, maka akan timbul pelbagai kenyataan yang tidak baik yang boleh memberikan gambaran yang tidak sihat kepada masyarakat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

PAS juga, katanya tetap mahu bertemu dengan Jais bagi mendapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku.

"Kami harap selesai siasatan, Jais sedia bertemu PAS kerana kita nak dengar dari Jais apa yang berlaku pada hari itu.

"Kami nak jumpa Jais, nak jumpa gereja, nak dengar sendiri dariapda mereka sebab Jais kata tak serbu, gereja kata serbu.Jadi nak dengar daripada kedua-dua pihak," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

PAS sepatutnya bertemu dengan Jais hari ini namun terpaksa dibatalkan atas nasihat Sultan Selangor.

"Memang kita minta jumpa hari ini tetapi jawapan JAIS telah pun diberikan secara bertulis, atas beberapa perkara kerana kes itu masih dalam siasatan dan atas nasihat Sultan, Jais tidak lagi bertemu dengan mana-mana pihak untuk menjaga maklumat siasatan agar tidak terlepas kepada pihak lain," katanya.

Manakala pertemuan dengan pihak gereja akan berlangsung esok seperti yang dirancang.

Sepuluh pimpinan PAS akan terlibat dalam pertemuan dengan pihak gereja tersebut.

Mereka diketuai Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub, Setiausaha, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat Idris Ahmad, Dr. Siti Mariah Mahmod, Dr. Dzulkefly Ahmad, Dr. Mujahid Yusof dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr. Abd Rani Osman.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4935-pas-harap-jais-cepat-kemuka-hasil-siasatan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...