Wednesday, October 12, 2011

JAIS SAHKAN TAHAN BOB LOKMAN

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 11TH, 2011

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan penahanan penulis lirik, pengacara, pelawak dan pelakon terkenal Bob Lokman (gambar) atas kesalahan memberi ceramah tanpa tauliah di Masjid Sungai Lui, Hulu Langat malam Isnin.Pengarah Jais, Marzuki Hussin berkata, Bob Lokman ditahan di bawah Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.“Bob Lokman didapati tidak mempunyai tauliah dan tidak pernah memohon tauliah daripada Jais.

“Beliau ditahan berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam,” katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas yang dihantar pada Selasa.

Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor memperuntukkan mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau menyampaikan apa-apa perkara mengenai Islam tanpa tauliah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Difahamkan penulis lirik lagu ‘Isabella’ nyanyian kumpulan Search itu ditahan selepas menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 70 jemaah di Masjid Kampung Sungai Lui.

Turut ditahan Jais ialah Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS, Mohd Sany Hamzan dan nazir masjid yang menghadiri majlis berkenaan.

Mereka kemudiannya telah dibawa ke Balai Polis Batu 18 Hulu Langat untuk diambil keterangan sebelum dilepaskan.

Bob turut dilaporkan memberikan kenyataan kepada Jais di pejabat daerah Hulu Langat pada tengah hari Selasa.

Sementara itu, Bob berkata, kehadirannya tidak mempunyai agenda tersembunyi mahupun mempengaruhi orang ramai menyokong parti politik tertentu.

“Saya hairan mengapa susah untuk berkongsi ilmu agama, lagi pun perjuangan saya bukan untuk mengejar glamor.

“Tambah pula apa yang saya lakukan sekarang tidak menyusahkan orang lain dan tidak salah disisi agama,” katanya.

Pada 19 Februari lalu, Bob telah menyerahkan borang menjadi ahli PAS kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan yang juga Menteri Besar Kedah pada majlis himpunan 30,000 Pemuda PAS di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Alor Setar.

September lalu, Jais menegaskan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan tauliah kepada ahli politik yang berceramah atau menyampaikan tazkirah di masjid dan surau di negeri berkenaan.

Marzuki dipetik sebagai berkata, tindakan tersebut adalah selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang enggan membenarkan surau dan masjid sebagai tempat berpolitik.

Antara ahli politik dan tokoh agama yang pernah ditahan kerana menyampaikan ceramah tanpa tauliah oleh Jais ialah bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Jabatan agama itu juga sebelum ini telah menarik balik tauliah yang diberikan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad.

http://www.kl-today.com/2011/10/jais-sahkan-tahan-bob-lokman/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...