Majlis Gereja Malaysia pada Isnin menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan supaya tidak ada pihak akan didakwa dalam isu pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) Ogos lalu.Setiausaha Agungnya, Dr Hermen Shastri (gambar) berkata majlis berkenaan mengambil pendirian titah Tuanku telah menyelesaikan konflik dalam isu kontroversi berkenaan.
“Kami menerima dengan hati terbuka titah Sultan sebagai jalan penyelesaian terbaik dalam isu pemeriksaan ke atas DUMC,” katanya kepada The Star pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pemeriksaan yang dijalankan oleh Jais pada Majlis ‘Thanksgiving’ yang diadakan di DUMC pada 3 Ogos lalu.
“Atas semangat perpaduan, kami berharap agar tiada pihak yang cuba membuat spekulasi atau mengeruhkan keadaan sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memperkasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Jais dalam usaha memantau cubaan memesongkan kepercayaan dan akidah umat Islam di negeri itu.
Beliau berkata jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh tokoh perundangan dan pakar agama serta pegawai kanan kerajaan dan nama-nama mereka yang dipilih akan diumumkan kelak.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Khalid Samad menyifatkan titah Tuanku yang tidak mahu mana-mana individu Muslim yang menghadiri majlis makan malam di DUMC didakwa merupakan jalan terbaik untuk memulihkan kepercayaan kepada agama Islam.
“Memgambil tindakan undang-undang dan menggunakan kekerasan tidak akan dapat mengubah minda masyarakat terutamanya dalam isu keagamaan.
“Kekerasan tidak boleh digunakan untuk menilai akidah seseorang individu. Ia harus dikendalikan dengan pendekatan yang paling lembut,” katanya.
Jelasnya, titah baginda supaya 12 individu Islam tersebut menjalani sesi kaunseling adalah jalan terbaik untuk memulihkan akidah mereka.
Dalam pada itu Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata mereka akan menggunakan teknologi terkini bagi membuktikan kes mereka di mahkamah.
“Saya akan pastikan sistem pengurusan berprestasi tinggi dengan kelengkapan canggih digunakan bagi menguatkan dakwaan setiap kes yang dibawa ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata titah Sultan pada Isnin jelas menunjukkan baginda mahu Jais dan Majlis Agama Islam bertindak professional dalam setiap tugas yang dijalankan.
http://www.kl-today.com/2011/10/majlis-gereja-akur-titah-sultan-selangor/
No comments:
Post a Comment