Saturday, November 5, 2011

KG BARU: MB SELANGOR TIADA KUASA

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 5TH, 2011

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata Menteri Besar Selangor tidak punya kuasa merombak kepimpinan tertinggi Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baharu. Katanya, MAS tidak berada dalam bidang kuasa kerajaan Selangor kerana pengerusinya sekarang adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur dan kuasa merombak keanggotaan lembaga tersebut terletak di bawah kerajaan Persekutuan.Raja Nong Chik berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baharu, Ahmad Zambri As’ad Khuzami yang mahu merombak MAS dengan menggunakan kuasa Menteri Besar Selangor.

“Saranan kepada kerajaan Selangor majukanlah kawasan Melayu di negeri itu sebab banyak lagi kawasan yang mundur serta perlu diperjuangkan. Tidak payahlah kacau kerajaan pusat dan kelirukan rakyat di Kampung Baharu.

“Dalam soal Kampung Baharu ini, kerajaan Barisan Nasional tiada agenda politik kerana niat kita bangunkan Kampung Baharu untuk orang Melayu dan berharap kerajaan Selangor tidak masukkan isu politik kerana apa yang penting sama ada kawasan itu akan dibangunkan atau tidak,” katanya.

Sementara itu Raja Nong Chik berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas sebagai persiapan menghadapi banjir di sekitar Kuala Lumpur menjelang ketibaan musim tengkujuh hujung tahun ini.

Katanya, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Alam yang dikendalikan DBKL kini diletakkan dalam keadaan siap sedia menggerakkan bantuan bagi menyelamat orang awam sekiranya banjir berlaku.

“Disebabkan hujan yang kita terima tahun ini melebihi 30 peratus berbanding tahun lepas dan keadaan cuaca yang sukar diramalkan, persiapan bantuan telah dibuat menghadapi bencana ini.

“Jawatankuasa ini sedia memberi bantuan kepada negeri lain yang terlibat dengan banjir sekiranya diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lembu korban dan sumbangan kewangan masjid serta surau di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di sini.

Pada majlis itu, Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Lembah Pantai menyumbang 70 ekor lembu untuk diagihkan bagi melaksanakan ibadah kurban di masjid dan surau sekitar Parlimen Lembah Pantai.

Selain lembu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM121,000 kepada masjid dan surau untuk kegunaan qariah setempat menjalankan ibadah itu serta sambutan Aidil Adha.

Beliau berkata daripada jumlah itu RM3,000 masing-masing disumbangkan kepada setiap masjid utama dan lima buah surau diberi tauliah menjalankan sembahyang Jumaat, manakala RM2,000 tiap satu diberikan kepada 44 buah surau lain.

http://www.kl-today.com/2011/11/kg-baru-mb-selangor-tiada-kuasa/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...