Saturday, November 5, 2011

PEMIMPIN LEMAH PUNCA KETIRISAN KEWANGAN

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 5TH, 2011

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mengambil perhatian terhadap Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini terutamanya yang menyentuh soal amanah.Pengerusi Jawatankuasa Masyarakat Madani Ikram, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pemimpin seharusnya memelihara amanah atau kepercayaan yang diberikan kepada mereka.Katanya, Laporan Ketua Audit Negara merupakan semakan kepada amanah yang diserahkan kepada pemerintah, penjawat awam dan mereka yang berurusan dengan mereka.

Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit penyata kewangan, pengurusan kewangan, aktiviti Kementerian/Jabatan serta pengurusan syarikat Kerajaan Persekutuan dan mengemukakan laporan mengenainya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan baginda supaya laporan tersebut dapat dibentangkan di Parlimen.

Katanya, Ikram begitu prihatin terhadap dapatan-dapatan yang dilaporkan berhubung kelemahan pengurusan kewangan kementerian/jabatan, agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang berkenaan seperti berlakunya pembaziran dalam perbelanjaan, pembelian harga barangan dan perkhidmatan yang berganda-ganda lebih tinggi daripada harga pasaran dan lain-lain bentuk ketirisan kewangan yang saban tahun dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

“Ikram berpandangan punca utama ketirisan kewangan ialah kurangnya penghayatan terhadap sifat amanah yang dituntut untuk dilaksanakan sepenuhnya,” ujarnya kepada Harkahdaily.

Begitu juga, katanya kelemahan-kelemahan yang sama dilaporkan masih berlaku seolah-olah tiada kesedaran dan tindakan proaktif yang bersungguh-sungguh di pihak yang berkenaan bagi mempertingkatkan tahap pengurusan kewangan agar lebih berakauntabiliti, efisien dan efektif.

Salah satu persoalan yang ditimbulkan, ujarnya ialah pembelian 257 buah kereta perisai oleh Kementerian Pertahanan yang didakwa harganya 6 kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran di mana Kementerian Pertahanan membayar sebanyak RM7.55 bilion atau RM29.4 juta sebuah sedangkan nilai pasaran yang sepatutnya hanyalah RM1.15 bilion atau RM4.5 juta sebuah sahaja.

Ini, ujarnya adalah sebagaimana soalan yang ditimbulkan oleh salah seorang Ahli Parlimen kepada Menteri Pertahanan di sidang Parlimen baru-baru ini.

“Namun agak menghairankan apabila Datuk Seri Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan mendakwa beliau tidak tahu menahu tentang hal ini sedangkan beliau sendiri hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian urusniaga itu di Ankara, Turki pada bulan Februari 2011 lalu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Ikram mencadangkan penambahbaikan dan peningkatan kawalan dalaman terhadap urustadbir dan pengurusan kewangan negara ke arah yang lebih baik seperti berikut:

1. Menghayati dan mengamalkan sifat amanah dalam setiap urusan kewangan negara dan kerajaan

2. Mengamalkan sikap telus dan bertanggungjawab dengan menghapuskan sistem pembelian dan pemerolehan secara tertutup sebaliknya mengamalkan sistem pembelian dan pemerolehan secara terbuka

3. Menghapuskan sistem pembelian dan pemerolehan barangan dan perkhidmatan melalui agen atau orang tengah sebaliknya membuat urusan secara terus dengan pembekal atau pengilang

4. Mengambilkira pandangan pakar dalam proses pembelian dan pemerolehan barangan dan perkhidmatan yang khusus seperti peralatan kejuruteraan tinggi (high precision engineering), peralatan perubatan, robotik dan sebagainya bagi mengelakkan pembaziran melalui pembelian yang tidak perlu

5. Mengambil tindakan untuk melaporkan atau merujuk kes-kes penyelewengan kuasa dan kelemahan-kelemahan yang ketara dalam urustadbir dan pengurusan kewangan yang melibatkan kerugian kewangan seperti mana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak polis untuk membolehkan siasatan dijalankan

6. Memperkasakan SPRM sebagai satu badan yang bebas dengan memperuntukkan kuasa pendakwaan turut diberikan kepada mereka dan bukan hanya kepada Pejabat Peguam Negara

7. Mempertingkatkan kemampuan anggota penyiasatan yakni SPRM dan pihak polis di dalam menjalankan siasatan berhubung salah laku pengurusan kewangan dengan menguasai teknik-teknik terbaru sepertiforensic auditing atau forensic accounting.

8. Memperkenalkan polisi whistle-blowing dan menggalakkan samada anggota pekerja sektor awam atau swasta maju ke hadapan melaporkan kepincangan dan penyelewengan dalam urusan kewangan yang berlaku kepada pihak berkuasa di mana mereka ini dilindungi oleh satu undang-undang khas serta diberikan ganjaran yang setimpal hasil daripada maklumat yang diberikan.

Beliau berkata, Ikram percaya dengan sifat amanah yang diterapkan dan langkah-langkah penambahbaikan yang dicadangkan di atas diharapkan kelemahan-kelemahan yang sama yang saban tahun dilaporkan oleh Ketua Audit Negara di dalam laporan tahunannya akan dapat diminimumkan seterusnya menyumbang ke arah urustadbir kewangan negara yang lebih berakauntabiliti, efisien dan efektif.

http://www.kl-today.com/2011/11/pemimpin-lemah-punca-ketirisan-kewangan/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...