Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menyiasat penyertaan umat Islam dalam penganjuran program “Seksualiti Merdeka” bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997. Pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali berkata, pihaknya akan mengkajinya berdasarkan seksyen 25 (kesalahan liwat), seksyen 26 (musahaqah atau lesbian) dan seksyen 35 (menggalakkan maksiat). Siasatan itu dibuat ekoran memorandum yang diserahkannya oleh kumpulan pendesak Melayu PERKASA selepas perhimpunan di Masjid Negara awal petang tadi.
“Saya lihat apa yang disediakan kepada saya… Seksyen berkenaan adalah untuk menyelidiki dan mengkaji bagi tindakan lanjut di Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada kumpulan pendesak Melayu PERKASA.
Sebelum itu, sekumpulan umat Islam mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat di Kuala Lumpur bagi menyatakan perasaan tidak senang terhadap usaha penganjuran program kontroversi “Seksualiti Merdeka”.
Seksyen 25 dan 26 memperuntukkan mana-mana lelaki yang melakukan liwat atau mana-mana perempuan yang melakukan aktiviti musahaqah dikira melakukan suatu kesalahan.
Kedua-dua seksyen itu, jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000, dipenjara tidak lebih tiga tahun, disebat tidak lebih enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu.
Manakala seksyen 35 pula memperuntukkan mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat adalah melakukan suatu kesalahan.
Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000, dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Seksualiti Merdeka merupakan festival tahunan meraikan hak asasi pelbagai orientasi seksual dan identiti jantina anjuran sekumpulan gabungan longgar NGO, artis, aktivis dan individu sejak 2008.
Festival itu, termasuk forum, ceramah, bengkel, pelancaran buku, pameran seni dan persembahan dijangka dirasmikan oleh Pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.
Setelah dibantah banyak pihak, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar senalan mengisytiharkan pengharaman semua aktiviti yang dijadualkan pada 9 hingga 13 November ini.
Kira-kira 20 hingga 30 anggota polis bertindak menghentikan satu ceramah malam tadi di Kuala Lumpur, yang diadakan sempena festival Seksualiti Merdeka yang telah diharamkan.
Penyelaras Seksualiti Merdeka, Pang Khee Teik berkata mereka tiba di Galeri Annexe Seni Pasar pada kira-kira jam 7.30 malam.
“Ketika kami hendak tutup pintu pada jam 8 malam, polis tiba dan berkata ini adalah suatu tempat awam dan minta kami bersurai. Kami bersurai,” kata Pang.
Menurutnya, anggota polis datang dengan baik dan tidak merampas apa-apa bahan.
Pang enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai status program Seksualiti Merdeka dari 9 hingga 13 November, yang dijadual diadakan di Galeri Annexe.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar mengumumkan pengharaman program Seksualiti Merdeka.
Program itu telah diadakan sejak tahun 2008 untuk menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai masyarakat gay, lesbian, biseksual dan transgender di negara ini dan untuk mereka menghormati hak-hak mereka.
Dalam reaksinya selepas pengumuman pengharaman itu dibuat, Pang menyifatkan ia sebagai “hari yang tragik bagi Malaysia”.
Walaupun beberapa pihak telah menyuarakan bantahan mereka terhadap Program Seksualiti Merdeka, beberapa badan seperti Majlis Peguam, Suaram dan Sisters in Islam menyuarakan rasa kesal mereka dengan tindakan polis mengharamkan program tersebut.
http://www.kl-today.com/2011/11/jawi-siasat-seksualiti-merdeka/
No comments:
Post a Comment