Saturday, November 5, 2011

PENGANJUR SM AKAN DIKENALPASTI POLIS

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 5TH, 2011

Polis akan memanggil penganjur Program Seksualiti Merdeka 2011 termasuk bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S Ambiga untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program itu.Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 27A(1)(C) Akta Polis berhubung penganjuran program itu dan memanggil mereka bagi membantu siasatan.

“Kita akan panggil penganjur. Kertas siasatan itu nanti akan diputuskan Peguam Negara sama ada untuk mengenakan dakwaan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan 67 ekor lembu korban bagi kawasan Parlimen Sembrong, di Kluang, semalam.

Penganjuran program itu bertujuan menuntut hak kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang gay, lesbian, biseksual dan transeksual untuk mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka.

Hishammuddin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendirian penganjuran program itu bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang negara tetapi juga agama, adat resam dan budaya yang boleh menjejaskan ketenteraman masyarakat.

Katanya, penganjuran program berkenaan terbukti telah mendapat kecaman daripada segenap lapisan masyarakat dan majoriti masyarakat yang selama ini membisu diyakini akan bangkit menentang sekiranya program berkenaan diteruskan.

“Yang penting adalah suara orang ramai. Alhamdulillah, ramai sudah suarakan rasa tidak puas hati. Dalam memastikan ekonomi yang kukuh, menghadapi isu kos kenaikan barangan, mengapa isu sebegini dibangkitkan…orang ramai boleh menilai sendiri apa sebenarnya tujuan dan matlamat mereka (penganjur),” katanya.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar menyatakan PDRM mengharamkan semua bentuk aktiviti dan promosi program yang berunsurkan seks bebas berkuat kuasa hari ini dan mengarahkan program itu yang dijadualkan berlangsung dari 1 Nov hingga 13 Nov dihentikan serta merta.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu golongan gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dibantu kembali ke pangkal jalan secara program kesedaran dan bukan membuka ruang kepada mereka meneruskan gaya hidup songsang seperti Program Seksualiti Merdeka.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Insan) Jakim, Razali Shahabudin berkata sekiranya semua pihak serius mahu membantu, program yang dianjurkan perlu bersandar pada kaedah dapat menyedarkan mereka tentang kerosakan akhlak akibat amalan tidak sihat itu.

“Semua agensi berkaitan perlu memperkenalkan program khas kepada golongan LGBT dan bukannya memberi keistimewaan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Razali berkata perkara ini sudah diperincikan melalui buku Manual Islam dan HIV Aids dikeluarkan oleh Jakim pada 2009 untuk memberi bimbingan bersepadu kepada golongan itu memberi peluang kepada mereka menjalani gaya hidup sihat selari dengan kehendak syarak.

Beliau menegaskan, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, rujukan sepenuhnya tidak seharusnya dibuat kepada persetiaan dan konvensyen hak asasi manusia negara barat kerana acuan barat meletakkan hak asasi manusia melebihi undang-undang tuhan.

Sebaliknya Jakim berpandangan, Malaysia perlu merujuk persetiaan dan konvensyen yang dibuat oleh negara-negara Islam seperti Deklarasi Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam yang disokong oleh 57 buah negara lain, katanya.

http://www.kl-today.com/2011/11/penganjur-sm-akan-dikenalpasti-polis/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...