Saturday, November 5, 2011

ROS LULUSKAN PENDAFTARAN AMANAH

POSTED BY ADMIN ON NOVEMBER 5TH, 2011

Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), pertubuhan diketuai veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah yang dilancarkan empat bulan lalu, telah menerima kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan memutuskan untuk menggerakkan secara aktif agenda perjuangannya. Susulan mesyuarat formal majlis eksekutif Amanah Isnin lalu sejak memperoleh kelulusan RoS, Tengku Razaeligh dijangka mengumumkan pelan isu-isu fokus pertubuhan itu awal minggu depan, selepas sambutan Aidiladha.

“Pada mesyuarat pertama majlis (Isnin lalu) kami telah menyenaraikan isu-isu yang akan menjadi fokus buat masa sekarang dan isu-isu yang akan dibawa kemudian,” kata Naib Presiden Amanah, Wan Saiful Wan Jan.

Bagaimanapun Wan Saiful enggan berkongsi isu-isu yang menjadi keutamaan mereka buat masa sekarang atas alasan mahu ia diumumkan oleh Tengku Razaleigh sendiri.

“Tidak adil bagi saya mengatakan mengenainya. Kita tunggu pengumuman Tengku (Razaleigh),” katanya lagi.

Amanah memperoleh kelulusan awal bulan lepas, kata Wan Saiful lagi yang menyifatkan ia detik penting bagi mengembalikan keyakinan dan harapan orang ramai ke atas pertubuhan tersebut.

“Selepas laluan yang sukar, akhirnya Amanah telah menerima kelulusan. Perkembangan ini penting bagi kami bergerak dengan aktif selepas banyak pihak menganggap seolah-olah Amanah sudah hilang semangat dalam waktu yang singkat selepas Amanah dilancarkan Julai lalu,” kata Wan Saiful.

Sambil menekankan tanggapan sedemikian tidak tepat, Wan Saiful berkata, sebenarnya Amanah tidak dapat menggerakkan aktiviti dan isu mereka sebelum ini sebab masih menunggu menerima kelulusan RoS.

“Memang tanggapan sedemikian juga wujud di kalangan beberapa pemimpin dalam jawatankuasa eksekutif Amanah sendiri, tetapi sekarang semua sudah selesai.

“Perbincangan semalam sangat penting, membawa hasil perbincangan yang sungguh baik. Kami telah menggariskan banyak isu, ia akan dilaksanakan selepas ini,” kata beliau yang turut mengakui perkembangan menjelang pilihan raya umum ke-13 akan digunakan dengan baik untuk menggerakkan aktiviti dan matlamat penubuhan Amanah.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang telah melancarkan Amanah, sebuah badan bukan kerajaan bagi membawa suara rakyat menuntut kebenaran dan keadilan dalam menangani masalah rasuah, kronisme dan perpaduan antara kaum di Malaysia pada 29 Julai lalu.

“Amanah bukan sebuah parti pertubuhan politik tetapi mempunyai visi untuk membawa keadilan, kesaksamaan, kemajuan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berdasarkan kepada semangat perlembagaan Malaysia,” kata Tengku Razaleigh ketika melancarkannya.

Tengku Razaleigh, selaku Presiden Amanah berkata, barisan anggota utama jawatankuasa sementara Amanah terdiri daripada nama yang terkenal daripada beberapa parti politik dan pertubuhan sosial di Malaysia.

Enam Timbalan Presiden Amanah terdiri daripada bekas menteri penerangan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat, bekas timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Datuk Seri Bujang Ulis dan Datuk Seri Daniel Tajem.

Selain Wan Saiful, naib-naib presiden Amanah terdiri daripada Datuk Mohd Azmi Razak, Tan Sri Simon Sipaun, Ragunath Kesavan, Mohd Lukhman Ghani, Ong Hock Siew dan Dr Patau Rubis.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Gua Musang memberitahu sebelum ini pernah berkata Amanah akan merealisasikan misinya untuk menangani rasuah, krosnisme, perkauman, sikap pelampau individu sehingga menimbulkan huru-hara dan pembaziran melibatkan perbelanjaan kerajaan.

http://www.kl-today.com/2011/11/ros-luluskan-pendaftaran-amanah/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...