Friday, August 15, 2008

Buku 555 jadi bekal lawan sifu

Oleh RIZAM ZAKARIYA
mohdrizam@kosmo.com.my

ARIFF SHAH menunjukkan buku tiga lima (555) yang sering dibawa untuk mencatat aduan penduduk ketika melawat kampung di Seberang Jaya semalam.

SEBERANG JAYA - Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ariff Shah Omar Shah yakin hubungan baiknya dengan penduduk Permatang Pauh menjadi penentu kepada misi menentang sifunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seterusnya memenangi pilihan raya kecil Parlimen itu pada 26 Ogos ini.
Beliau yang ditemui pemberita di rumahnya semalam berkata, amalannya sejak 20 tahun lalu bergaul bersama penduduk kampung yang berbilang kaum menjadikan beliau lebih memahami isi hati warga Permatang Pauh.
"Saya selalu duduk dari satu kedai kopi ke kedai kopi lain untuk mendengar masalah mereka dan saya juga tidak pernah lupa untuk membawa buku tiga lima (buku 555) untuk mencatat semua aduan bagi diselesaikan oleh pusat khidmat saya," katanya.
Katanya, peluang yang diberikan sebagai calon Parlimen Perma- tang Pauh turut digunakan sepenuhnya bagi membantu semua kaum termasuklah golongan muda.
Malah Ariff Shah akan menggunakan kelebihan berbahasa Mandarin untuk mendampingi lebih 20,000 pengundi Cina.
Ariff Shah bukan asing kepada Anwar kerana mereka sama- sama bergiat dalam UMNO Bahagian Permatang Pauh pada era 80-an dan 90-an.
"Saya mungkin dianggap calon yang tidak begitu kuat (untuk mencabar Anwar), tetapi tidak gentar kerana kita bertanding untuk memberi khidmat kepada rakyat," katanya.
Ariff Shah, 52, merupakan pengikut Anwar semasa pemimpin itu menjadi Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh dari 1982 hingga 1998.

http://www.kosmo.com.my/

Halangan ‘kubu manusia’ - Lebih 2,000 penduduk bantah rumah diroboh pemaju

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
nanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN penduduk termasuk kanak-kanak berdoa semasa menghalang rumah mereka dirobohkan oleh pemaju di Kampung Baru Plentong Tengah, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Ada yang duduk, ada juga yang meletakkan lori dan kereta di tengah jalan.
Itulah tindakan lebih 2,000 penduduk Kampung Baru Plentong Tengah di sini yang membantah tindakan pemaju yang mahu merobohkan rumah mereka semalam.
Malah ramai di kalangan penduduk sanggup mengambil cuti semata-mata berkumpul dan membuat ‘kubu manusia’ sebagai penghalang.
Meskipun Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Khaled Nordin sebelum ini membuat kenyataan bahawa tanah yang diduduki mereka sejak 20 tahun lalu bukan hak mereka, tetapi milik sebuah syarikat pemaju, ramai di kalangan mereka tidak mahu berpindah.
Bermula pukul 8 pagi keadaaan menjadi kecoh apabila penduduk beramai-ramai membuat ‘kubu manusia’ di persimpangan masuk kampung tersebut.
Ia bagi menghalang lapan jentera yang diupah pemaju bagi memasuki kampung tersebut.
Sebelum ini, notis pengosongan kawasan berkenaan telah dikeluarkan pada 1 Ogos lalu mengarahkan penduduk sepatutnya mengosongkan rumah masing-masing semalam.
Walaupun tidak ada kejadian buruk berlaku, tetapi kedua-dua pihak akhirnya mencapai kata sepakat menjelang pukul 2 petang setelah pihak pemaju menangguhkan keputusan kepada 15 Oktober depan.
Setiausaha jawatankuasa bertindak penduduk, Taslim Nani berkata, pihak- nya menghargai kesudian pemaju menangguhkan keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, wakil peguam syarikat pemaju, Matthew Thomas Philip berkata, pihaknya menimbangkan penangguhan untuk merobohkan penempatan di kampung itu memandangkan sambutan Ramadan tidak lama lagi.
Bagaimanapun katanya, pihaknya bukannya berjanji untuk memberi pampasan dan membuka penempatan baru seperti yang diminta penduduk.
“Kami bertimbang rasa terhadap kesusahan penduduk terutamanya Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Keputusan sudah dibuat mahkamah sejak April 2007 lagi, justeru tidak timbul soal sama ada kami tidak mempedulikan nasib penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Nor Hasdi Hasan, 24, ternyata gembira dengan penangguhan itu meman- dangkan dia tidak perlu menangguhkan majlis persandingannya dengan Hasfazuriani Hassan, 24, pada Ahad ini.
“Mula-mula pening juga memandangkan segala jemputan dan persia- pan telah dibuat sehingga mencecah belanja RM10,000.
“Mujur keluarga sebelah perempuan memahami masalah kami, malah jika ia tidak ditangguh, roboh pun robohlah kami tetap akan meneruskan persandingan,” katanya yang telah melangsungkan pernikahan di rumah pengantin perempuan pada Mei lalu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin semasa ditemui mengesahkan kejadian tersebut sambil memberitahu tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini.

http://www.kosmo.com.my/

'Saya masih sayang keluarga' - Yazli

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my

Yazli (kanan) pada sidang akhbar bersama Ma'mor di The Mall, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - "Saya masih sayangkan keluarga, buat seketika ini terpaksa tinggalkan mereka kerana faktor keselamatan dan mahu menyelesaikan beban hutang ah long sendirian tanpa melibatkan mereka."

Demikian penjelasan Mohd. Yazli Yaacob, 38, suami kepada pelakon Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain, 40, yang rumah serta kenderaannya disimbah cat oleh ah long yang berang kerana gagal menuntut hutang daripadanya baru-baru ini.

Menurut Mohd. Yazlin, hidupnya kini dalam tertekan ekoran menjadi buruan kira-kira 30 ah long yang masih tidak puas hati meminta wang daripadanya walaupun telah menghabiskan RM300,000 dalam tempoh sembilan bulan untuk membayar bunga lintah darat itu.

"Saya pinjam ah long dalam RM35,000 sahaja pada tahun lalu namun kadar bunga yang dikenakan membuat hutang tersebut tiada menampakkan pengurangan.

"Sebaliknya saya masih berhutang lagi RM200,000 dan hampir setengah juta ringgit wang habis bayar bunga mereka,"
dakwanya pada sidang media bersama Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Ma'mor Osman di pusat membeli-belah The Mall, semalam.


http://www.kosmo.com.my/

Berani atau Kena Ugut atau Jadi Badut

Dilulus terbit pada Thursday, August 14 @ 23:05:18 MYT oleh reformis

Oleh ikhqoi"




DEMO?? atau Jalan-jalan dapat duit @ kena ugut supaya carry mark tinggi

Saya mungkin terlewat membicarakan soal adik-adik saya dari UiTM yang sebok berdemo ke S.U.K demi untuk membantah cadangan ringkas dari Y.A.B Menteri Besar Selangor berkenaan kuota 10% non-bumi kedalam UiTM.

Tapi ingin saya tegaskan, saya cukup kecewa dengan adik-adik saya ini yang seolah-olah menjadi badut kepada Ybhg Dato' Seri Dr Ibrahim Abu Shah dengan berdemo untuk suatu cadangan yang memang mustahil untuk direalisasikan melainkan kebenaran daripada Kementerian terbabit.

Dalam hal ini, Tan Sri Menteri Besar tidak pula mengatakan bahawa UiTM wajib mengambil 10% non bumi, kerana beliau tahu, itu bukan dibawah kuasa beliau untuk membenarkannya. Apa yang beliau katakan, jika ia tidak melanggari dasar, maka perkara tersebut boleh dibincangkan. Tetapi jika cadangan tersebut melanggari dasar, abaikan sahaja!!!

Apa yang difahamkan terdapat segelintir pihak yang buat duit dengan demo ini seperti
1. Menyediakan baju hitam untuk berdemo

Daripada korang (MPP) dok sebok berdemo, baik korang fikir:-

1. Krisis sosial yang menimpa student UiTM, seperti seks bebas di rumah-rumah sewa student UiTM, GRO/ Pelacur Kelas Atasan, Clubbing dan minum arak dikalangan student

2. Pakaian yang tidak melambangkan budaya timur (rambut coloring, baju singkat, lengan pendek) khususnya di kalangan student perempuan

3. Runtuhnya budaya usrah di kolej-kolej kediaman

4. Budaya hedonisme dalam karnival-karnival di UiTM (Kalau karnival mesti panggil artis)

5. Terkuburnya PMI dan digantikan dengan Persatuan Mahasiswa Hadhari..

6. Banyak lagi lah

Tapi, apa nak heran, 100% MPP pro-aspirasi. Itu sebab liberal skit walaupun belajar di ipta yang hampir 100% berugama Islam.

Entahlah.. Tak paham sungguh aku dengan Mahasisiwa UiTM sekarang. Aku rasa sekarang, aku malu nk ngaku aku ni ex-UiTM


Berita berkaitan
1.Pelajar UiTM berarak protes - Serah memorandum bantah keras cadangan Menteri Besar Selangor
2. Tiada perubahan dalam polisi UiTM, kata Khaled
3.MB akui kerajaan negeri tiada hak
4.UiTM: Khalid enggan mohon maaf

Penulis merupakan
1. Ex BBA(Hons)Transport UiTM- Second Class Upper
2. Ex DBS(Transport) UiTM- Best Student Course
3. Class Representative for DBS(Transport) & BBA(Hons)Transport from 2001 - 2006
4. Ketua Pemuda Pas Jalan Yadi Sungai Udang
5. Sekretariat Pemuda Dun Selat Klang
6. Pengiring Khas Y.B Exco Dr Halimah Ali

http://mdikhmal.blogspot.com/
"


http://www.tranungkite.net/

SAJA NAK BUAT KECOH PASAL UiTM.

Oleh Pinochet Robert - Laman M@RHAEN

Betul kata Prof. Koo Kay Kim. Sebelum 8 Mac 2008 tak kecoh pun pasal 10 peratus kemasukan kuota bukan Melayu ke pusat pengajian tinggi khasnya di bawah kelolaan MARA. Sebaliknya isu ini sengaja digembar-gemburkan apabila telah wujudnya Pakatan Rakyat yang menjadi saingan kepada UMNO/BN yang sudahpun memerintah 5 Kerajaan Negeri dan cadangan itu pula keluar dari mulut pemimpin Pakatan Rakyat.
Padahal isu menetapkan kuota 10 peratus untuk pelajar bukan bumiputera ke Pusat Pengajian Tinggi sudahpun diumumkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2002 yang pada ketika itu PM nya ialah Dr. Mahathir Mohamad. Pada ketika itu tak ada sebarang bantahan daripada pimpinan UMNO sebaliknya seorang demi seorang menyokong keputusan tersebut dengan pelbagai alasan.
Bukankah MRSM itu merupakan maktab yang akan membekalkan pelajar untuk ke UiTM. Kalaulah kuota 10 peratus sudah diperuntukkan di MRSM ke mana pula perginya pelajar bukan bumiputera nak melanjutkan pelajaran kalau bukannya di UiTM?
Tanya soalan ini kepada TV3, TNC UiTM dan pemimpin UMNO yang buat komen tentang isu ini. Paling saya panas hati bila Ketua Puteri UMNO mengatakan bahawa Tan Sri Khalid “kurang ajar” dengan mimik muka yang memualkan. Kalau saya ada kat situ tak tahulah apa akan jadi. Celupar sangat.

Lihatlah arkib Utusan Malaysia atas tajuk “Pelajar Bukan Bumiputera” bertarikh seperti berikut:

1/6/2002- Matrikulasi bolehkan pelajar Melayu bersaing kaum lain - PM

2/6/2002- Kuota 10% munasabah - Ansara

6/6/2002- Kuota 10% muktamad - Aziz -- Bukan bumiputera ke MRSM perancangan perkukuhkan integrasi kaum

6/6/2002- Sahut cabaran dengan proaktif

8/6/2002- Kuota 10 peratus - Cabaran bumiputera bekerja keras

15/11/2002-MRSM - Kuota 10 peratus perlu publisiti lebih meluas

21/8/2003-MRSM - Bilangan pelajar bukan Melayu semakin kurang

2/9/2003- Pelajar bukan Melayu elak kejutan

12/9/2004-MRSM: Bumiputera isi jika bukan bumiputera tolak

19/1/2004-Bukan bumiputera - Di lima MRSM
(Kalau selepas ini Utusan Malaysia padam arkib tersebut hubungi saya untuk dapatkan soft copy)

Pinochet Robert

14.08.2008

http://www.marhaen.org/

Thursday, August 14, 2008

KDN haramkan buku profesor UKM

Aug 14, 08 1:55pm

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan dua buah buku, termasuk karya seorang ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diterbitkan oleh Sisters-in-Islam (SIS).Buku-buku itu dilarang kerana "mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenarnya", lapor Bernama.

Buku terbitan SIS berjudul Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism suntingan Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (Ikmas), Bangi.Ketua penolong setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Abdul Razak Abdul Latif berkata, sebuah lagi buku yang diharamkan bertajuk Pelik Tapi Benar Dalam Solat karya Abdul Rahman Mohamed."Kedua-dua buku ini dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan mana-mana individu yang didapati menghasilkan semula, mencetak, mengeluar atau memiliki bahan larangan tersebut boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM 20,000 atau kedua-duanya," kata KDM dalam satu kenyataan hari ini.Menurut agensi berita itu lagi, beliau berkata sekiranya penerbitan berkenaan dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam serta dikhuatiri memudaratkan masyarakat.

http://www1.malaysiakini.com/

MB S'gor enggan mohon maaf

Aug 13, 08 9:26pm

Menteri besar Selangor enggan meminta maaf berhubung cadangannya agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerima 10 peratus pelajar bukan Bumiputera walau mencetuskan kemarahan orang Melayu dan bantahan pelajar universiti itu.Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga berharap isu berkenaan tidak lagi dibesar-besarkan, lapor Bernama hari ini. "Tak ada... ini bukan ada maaf atau apa, semua ini hanya untuk menerangkan isu yang telah dipolitikkan," beliau dipetik berkata, mengulas desakan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu yang mahu beliau berbuat demikian secara terbuka.Semalam lebih 5,000 pelajar UiTM di Shah Alam dilaporkan berarak sejauh dua kilometer ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor yang menempatkan pejabat menteri besar sebagai tanda bantahan dan menyerahkan memorandum yang menyatakan rasa kesal mereka terhadap cadangan itu.Abdul Khalid dilaporkan menjelaskan, kenyataannya Ahadlepas bukanlah pendirian kerajaan Pakatan Rakyat atau PKR.Katanya, kenyataannya dibuat ketika menjawab soalan daripadamedia tentang kemasukan pelajar asing dan Bumiputera ke UiTM dalam konteks untuk mempertingkatkan mutu pendidikan tinggi sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada pelajar Melayu dan Bumiputera."Kerajaan negeri Selangor amat kesal ulasan ini dilaporkan di luar konteks asal dan lebih menjurus kepada isu perkauman," katanya.Abdul Khalid menegaskan, beliau tidak pernah bermaksud mempertikaikan hak keistimewaan pelajar Bumiputera dan sedar bahawa UiTM ditubuhkan bagi mengangkat martabat pelajar Melayu serta Bumiputera di Sabah dan Sarawak.Tambahnya, seperti dilaporkan agensi berita itu, beliau merancang mengadakan perbincangan dengan universiti-universiti di Selangor supaya mereka dapat berusaha untuk mencapai tahap universiti bertaraf antarabangsa."Salah satu ciri yang menyebabkan universiti-universiti dikenali diperingkat antarabangsa ialah keterbukaan universiti daripada segi idea dan kemasukan pelajar dan juga daripada segi penglibatan pelajar dalam perbincangan terbuka mengenai isu-isu semasa," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/

UiTM: MB S'gor, jangan kacau kami

Aug 13, 08 12:21pm

Naib canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) meminta Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar tidak mencampuri urusan pentadbiran pusat pengajian tinggi untuk Bumiputera itu.Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah berkata Abdul Khalid boleh menggunakan Universiti Industri Selangor (Unisel), kolej-kolej komuniti dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta lain jika mahu menolong golongan bukan Bumiputera.Beliau menyifatkan kenyataan Abdul Khalid baru-baru ini supaya 10 peratus kuota kemasukan ke UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing sebagai "berunsur politik semata-mata".Dr Ibrahim berpendapat menteri besar Selangor menggunakan isu itu bagi meraih sokongan orang bukan Melayu, seolah-olah kerajaan Pakatan Rakyat ini baik dan hendak menolong golongan berkenaan, lapor Bernama."UiTM merupakan salah satu daripada hak-hak istimewa orang Melayu di bawah Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan Canselornya ialah Yang di-Pertuan Agong sendiri."Apa yang pelik ialah isu pembukaan (kemasukan) ke institusi pengajian untuk Bumiputera ini kepada bangsa asing dibangkitkan oleh seorang Melayu sendiri, bukannya bangsa asing," naib canselor itu dipetik sebagai berkata dalam sidang media semalam.Cadangan Abdul Khalid untuk menambahkan kuota bukan Bumiputera bagi menjadikan pelajar UiTM lebih mesra kepada masyarakat berbilang bangsa di luar kehidupan kampus dan kemudian menyediakan mereka kepada suasana pekerjaan dan meningkatkan daya saing hanyalah pandangan ahli politik itu dan bukannya fakta, kata Dr Ibrahim."Kes dia ini (Abdul Khalid) pada anggapan saya mungkin ada kaitan dengan pilihan raya kecil akan datang di Pulau Pinang (kawasan parlimen Permatang Pauh) supaya semua orang Melayu menyokong (penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan menang agaknya."Saya mungkin silap (tetapi) rayuan saya kepada rakan-rakan bukan Melayu supaya jangan mudah terpengaruh dan jangan berfikir secara sempit," katanya.Ratusan pelajar UiTM telah berhimpun di depan bangunan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pagi semalam bagi menyerahkan memorandum bantahan mereka mengenai isu itu kepada Abdul Khalid.Dr Ibrahim menambah, beliau percaya kira-kira 119,000 penuntut UiTM di seluruh negara dan 350,000 ahli alumninya juga tersinggung atau marah dengan kenyataan Abdul Khalid."Insya Allah saya akan mengadap Canselor (UiTM) Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memaklumkan baginda mengenai perkembangan ini," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

http://www1.malaysiakini.com/

Siswa UiTM mahu temui Khalid segera

Jimadie Shah Othman Aug 13, 08 12:16pm

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan beberapa syarat, termasuk ia dibuka kepada pihak media.Semalam, Abdul Khalid berkata, beliau mahu mengadakan pertemuan dengan wakil pelajar UiTM berhubung saranannya supaya pusat pengajian tinggi itu turut dibuka kepada bukan bumiputera.

Berikutan itu, para pelajar UiTM telah berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam pagi semalam untuk menyerah memorandum kepada Khalid sebagai membantah syor tersebut.Yang Dipertua (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa pihaknya mengena syarat tersebut supaya media dapat melaporkan perkara yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut.
Katanya, ini bagi mengelak berlaku percanggahan kenyataan yang diberikan kepada pihak media selepas pertemuan itu diadakan.
Satu lagi syarat, katanya, ialah pertemuan tersebut mesti dihadiri oleh menteri besar dan exco pendirikan, Dr Halimah Ali.
"Ini kerana menteri besar yang mengutarakan saranan membuka UiTM kepada bukan bumiputera, manakala Dr Halimah sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap pendidikan di Selangor," katanya.Di samping itu, katanya, memandang pertemuan tersebut terbuka kepada semua pihak, maka ia sesuai diadakan dalam kawasan kampus UiTM bagi mengelak berlaku sebarang provokasi."Dengan kehadiran orang luar, jika berlaku sebarang provokasi, ia boleh menjejaskan imej pelajar UiTM," tambahnya.

Saranan jumpa minggu ini

Luqmannulhakim berkata, kalau boleh, pihaknya mahu pertemuan itu diadakan dalam minggu ini kerana semangat pelajar sedang berkobar-kobar untuk bertemu dengan Abdul Khalid.Semalam, menteri besar Selangor itu berkata, beliau serta para exco kerajaan negeri bersedia mengadakan pertemuan itu selepas pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh hujung bulan ini."Sepatutnya dipercepatkan kerana kita hanya perlukan masa satu jam sahaja untuk mengadakan pertemuan tersebut," kata Luqmannulhakim lagi.

Ditanya sekiranya Abdul Khalid tidak dapat menemui mereka minggu ini, beliau berkata: "Tengoklah, selepas pilihanraya kecil itu, jika ada masa kita jumpalah."Katanya, ia kerana sebagai pelajar, mereka juga perlu mengikut pengajian masing-masing.
Kelmarin Menteri Besar Selangor dilaporkan mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM, dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing.Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.


Khalid digesa jangan ulang lagi...

Abdul Rahim Sabri Aug 12, 08 5:27pm

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan menyarankan supaya 10 peratus tempat di UiTM diperuntukkan kepada bukan bumiputera.Yang Dipertua (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris berharap Abdul Khalid "kesal dan insaf" di atas kenyataan yang dibuatnya itu.Pagi tadi, sekumpulan pelajar UiTM berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam untuk menyerah memorandum kepada Khalid sebagai membantah syor tersebut.Mereka mula berkumpul sejak jam 7.30 pagi tadi tetapi dimaklumkan bahawa menteri besar tiada di pejabat.Mereka kemudiannya menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil pejabat menteri besar Hasril Abu Hassan dan beredar secara aman.Semalam Menteri Besar Selangor dilaporkan mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.

Tingkat daya saing

Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Luqmannulhakim berkata, pendirian menteri besar Selangor itu supaya UiTM dibuka kepada bukan bumiputera telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar.Katanya, UiTM adalah benteng akhir untuk pelajar cerdik untuk menilai isu yang berlaku."UiTM berperanan untuk mengimbang golongan profesional Melayu dan bukan Melayu," katanya.

Keserasian kaum

Ditanya apakah rancangan MPP seterusnya berhubung isu tersebut, Luqmannulhakim berkata, pihaknya menunggu maklumbalas selanjutnya daripada menteri besar berhubung memorandum tersebut.Sementara itu, memorandum tujuh halaman itu, antara lain, menegaskan bahawa langkah membuka 10 peratus kemasukan pelajar bukan bumiputera ke UiTM bukanlah langkah terbaik untuk meningkatkan kualiti dan dayasaing pelajar bumiputera serta memupuk keserasian antara kaum.Menurutnya, ini kerana jika dilihat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPT swasta, yang membuka ruang kepada bukan bumiputera, masalah keserasian antara kaum masih lagi terjadi."Malah, jika kita dilihat di Kolej Matrikulasi dan MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), masalah pelajar berpuak-puak mengikut kaum masih terjadi."Oleh itu, langkah membuka UiTM kepada bukan bumiputera tidak banyak membantu proses keserasian antara kaum. "Apa yang lebih penting ialah langkah mendidik pelajar supaya dapat menerima satu sama lain dan belajar hormat-menghormati tanpa mengira kaum dan agama," kata memorandum tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/

MB S'gor mahu temui pelajar UiTM

Jimadie Shah Othman Aug 12, 08 5:00pm

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan wakil pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhubung saranannya supaya pusat pengajian tinggi itu turut dibuka kepada bukan bumiputera.Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan para pelajar UiTM yang berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam pagi ini untuk menyerah memorandum kepada Khalid sebagai membantah syor tersebut.Kumpulan pelajar tersebut mula berkumpul sejak jam 7.30 pagi tadi tetapi dimaklumkan bahawa menteri besar tiada dipejabat.Mereka kemudiannya menyerahkan memorandum bantahan itu kepada wakil pejabat menteri besar Hasril Abu Hassan.Menurut Abdul Khalid lagi, pelajar berkenaan mungkin belum faham sepenuhnya saranan yang dikemukakan oleh beliau itu.Oleh itu, katanya, beliau ingin berjumpa dan mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan wakil pelajar UiTM untuk kebaikan bersama.Katanya, beliau serta para exco kerajaan negeri bersedia untuk menghadapi perbincangan dengan wakil pelajar UiTM itu.

Berkongsi pengalaman

Menteri besar berkata perbincangan tersebut dijangka diadakan selepas pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh hujung bulan ini.Abdul Khalid juga berkata, beliau percaya universiti telah semakin terbuka dan beliau berharap dapat bertemu pelajar bagi berkongsi pengalaman tentang pengurusan negeri tersebut.Beliau juga diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa beliau (Khalid) tidak berhak membuat saranan seumpama itu."Memang saya tidak ada hak. Saya rasa Pak Lah pun sama juga," katanya.Sebaliknya, tambah Abdul Khalid lagi, beliau cuma memberi pandangan dan "kalau tak diterima tak apa..."Bagaimanapun, menteri besar menegaskan bahawa beliau ikhlas dalam membuat saranan tersebut."Tetapi dalam pandangan saya, lebih baik terima sebab kita sekarang berada dalam suasana global dan antarabangsa," tambahnya.
Semalam Menteri Besar Selangor dilaporkan mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.


http://www1.malaysiakini.com/

Gambar sekitar perarakan membantah cadangan membuka UiTM kepada bukan Bumiputera

Pelajar UiTM menandatangani memorandum bantahan semasa berkumpul di Padang Kawad UiTM

Perarakan bermula dari Dataran Shah Alam menuju ke Bangunan SUK

Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengetuai perarakan

Sebahagian pelajar UiTM memegang sepanduk dalam perarakan memprotes di hadapan Bangunan SUK

Laungan ’selamatkan UiTM’ oleh peserta perarakan

YDP MPP, Luqmannulhakim berbincang dengan pegawai keselamatan mengenai hasrat untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor

Memorandum bantahan diserahkan kepada Pegawai Ahkbar Menteri Besar, Hasril Abu Hassan



Foto : mSTAR Online

10,000 sertai Perarakan bantah buka UiTM kepada bukan Bumiputera

Posted by: pinkturtle2 Ogos 12, 2008










10,000 sertai Perarakan ‘Baju Hitam’ bantah buka UiTM kepada bukan Bumiputera

12-08-2008 12:59:16 PM

(Dikemas kini) SHAH ALAM: Hampir 10,000 penuntut Universiti

Teknologi MARA (UiTM) berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam pagi tadi bagi membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut, berusia lebih lima dekad, dibuka kepada bukan Bumiputera.
Tinjauan mStar Online mendapati penuntut UiTM telah mula berkumpul sejak 7.30 pagi untuk bergerak secara konvoi - menaiki bas UiTM, kereta dan menunggang motosikal bagi melahirkan pendirian bantahan mereka.
Pada awalnya pihak penganjur menjangkakan kira-kira 2,000 orang sahaja akan menyertai perarakan tersebut.
Perarakan yang diberi nama “Perhimpunan UiTM Di Hatiku” telah menyerahkan memorandum membantah syor tersebut kepada wakil Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ketika dihubungi sebentar tadi, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris berkata, pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada wakil Menteri Besar Selangor pukul 10 pagi.
“Kami mendesak agar Menteri Besar memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut (syor 10 peratus tempat di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera),” katanya.
Tindakan susulan termasuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri dan Canselor UiTM akan ditentukan selepas reaksi Khalid, kata beliau.
“Kita telah merancang pelan tindakan secara terpeinci. Susulan fasa kedua dan ketiga akan diteruskan termasuk memohon perkenan Tuanku Canselor (Tuanku Mizan Zainal Abidin) bertitah agar UiTM tidak diganggu,” katanya.
Bercakap kepada media di hadapan pintu masuk Bangunan SUK, Luqmannulhakim berkata pergerakan bantahan hari ini bukanlah atas desakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah atau mana-mana parti politik.
Tambah beliau agar isu pembukaan UiTM kepada bukan bumiputera tidak dipolitikkan oleh pihak-pihak tertentu untuk meraih simpati dan juga undi dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan nanti.
“Kita melihat ini adalah taktik pihak tertentu menjelang pilihanraya kecil di Permatang Pauh nanti.
“Sekiranya tujuannya ialah untuk itu (politik), maka tolonglah hentikan kerana telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang ditubuhkan khas untuk Bumiputera,” katanya.
Diminta mengulas mengenai pendapat yang mengatakan percampuran pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera akan mewujudkan satu persaingan yang sihat, beliau tidak bersetuju dengan pendapat itu.
“Saya amat tidak bersetuju kerana telah terbukti seperti apa yang berlaku di universiti-universiti lain setiap kaum tertentu hanya akan bergaul dengan kaum mereka sendiri.
“Ini bukan persaingan yang sihat. Keadaan ini lebih bahaya jika wujudnya perasaan mementingkan kaum sendiri walaupun belajar dalam satu institusi,” katanya.
Tegas beliau walaupun UiTM terdiri daripada kaum Bumiputera sahaja, tetapi para pelajarnya telah dididik untuk menghormati agama, adat dan kepercayaan kaum lain.
Diminta mengulas mengenai pembukaan UiTM kepada pelajar antarabangsa, beliau berkata tindakan itu adalah bagi kepentingan jangka masa panjang.
“Kepentingan kita diperingkat pelajar sekarang ialah agar dapat mewujudkan jaringan hubungan dua hala dengan pelajar antarabangsa pada masa-masa akan datang,” katanya.
Dr. Ibrahim dijadual mengadakan sidang media di pejabatnya di Shah Alam pada pukul 2 petang ini.
Sementara itu, penuntut UiTM yang membanjiri perkarangan Bangunan SUK bersorak melaungkan kata-kata seperti ‘selamatkan UiTM’, ‘UiTM untuk bumiputera’ serta ‘hidup UiTM’.
Mereka juga memegang sepanduk yang bertulis ‘kami pertahankan hak bumiputera’, ‘kami bantah buka UiTM kepada bukan bumiputera’ serta ‘UiTM hak bumiputera’.
Pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Ibrahim bagi memaklumkan tindakan mereka pagi ini.
Ketika dihubungi malam tadi, Luqmannulhakim berkata: “Kami komuniti pelajar UiTM membantah keras pandangan (membuka UiTM) sedemikian.”
“Kami mendapati alasan bahawa tindakan mengkhaskan UiTM hanya kepada masyarakat Bumiputera menyebabkan pelajar Bumiputera kurang berinteraksi dan sebagainya adalah tidak benar,” kata beliau.
Malah, pada pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah bagi memaklumkan tindakan mereka.
Kata Luqmannulhakim, pada pertemuan itu pengurusan tidak menghalang MPP untuk mengambil langkah sedemikian.
Malah, tindakan ini hanya disertai pelajar UiTM, bukannya pengurusan dan kakitangan.“Kami difahamkan pengurusan UiTM akan mengeluarkan kenyataan kemudian,” katanya.
Perarakan menyerahkan memorandum itu kepada kerajaan negeri merupakan langkah pertama, kata beliau.
“Selepas ini kami akan menyerahkan memorandum yang serupa kepada Perdana Menteri dan kemudian Yang di-Pertuan Agong yang juga Canselor UiTM. Ini akan dilakukan minggu depan,” katanya.
Mengulas lanjut, kata Luqmannulhakim, pihaknya akan menghimpunkan penuntut-penuntut UiTM di kampus induk di Shah Alam awal pagi esok sebelum berarak ke Bangunan SUK.
“Sehingga malam ini (Isnin) kami sudah memperoleh tandatangan menyokong memorandum bantahan daripada lebih 5,000 pelajar dan ia mungkin akan mencecah 10,000 orang esok,” katanya.
Kata Luqmannulhakim, pendirian kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar yang meminta 10 peratus diperuntukkan kepada penuntut bukan Bumiputera dan rakyat asing telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar.
“Memorandum ini bertujuan meminta beliau (Menteri Besar Selangor) menarik balik kenyataannya kerana bertentangan dengan prinsip penubuhan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bagi melahirkan profesional di kalangan Bumiputera,” katanya.
Perhimpunan pelajar secara besar-besaran akan diadakan esok di Padang Kawad UiTM Shah Alam seawal pukul 7.30 pagi bagi mendapatkan tandatangan pelajar sebagai bantahan.
Sementara itu Naib Canselor UiTM ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Maaf, saya tak dapat nak beri komen mengenai perkara ini sehingga Menteri Pengajian Tinggi membuat kenyataan rasmi mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau hanya akan memberi komen dalam sidang media khas yang akan diadakan di pejabatnya esok setelah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan.
Dalam pada itu, mStar Online gagal mendapatkan komen Khaled berhubung isu ini.
Menteri Besar Selangor mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.
Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.
Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.
Beliau melahirkan pandangan itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali dalam sebuah akhbar hari ini yang berpendapat UiTM perlu ‘dibuka’ kepada kaum lain jika ingin mewujudkan persaingan yang sihat.
Bagaimanapun, kata Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.

http://pinkturtle2.wordpress.com/

Perarakan ‘Baju Hitam’ bantah buka UiTM kepada bukan Bumiputera pagi ini

Dikirim pada 12 Ogos 2008 oleh mujahidin



mSTAR - PETALING JAYA: Lebih 3,000 penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) mula berarak ke Bangunan SUK Selangor di Shah Alam pagi ini sebagai tanda membantah syor supaya pusat pengajian tinggi tersebut dibuka kepada bukan Bumiputera.
Tinjauan mStar Online mendapati penuntut UiTM mula berkumpul sejak 7.30 pagi tadi untuk bergerak secara konvoi melahirkan pendirian bantahan mereka.
Pada awal pihak penganjur menjangkakan kira-kira 2,000 orang akan menyertainya.
Ketika dihubungi malam tadi, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris berkata, perarakan yang diberi nama “Perhimpunan UiTM Di Hatiku” akan menyerahkan memorandum membantah syor tersebut kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.
“Kami komuniti pelajar UiTM membantah keras pandangan (membuka UiTM) sedemikian. Kami mendapati alasan bahawa tindakan mengkhaskan UiTM hanya kepada masyarakat Bumiputera menyebabkan pelajar Bumiputera kurang berinteraksi dan sebagainya adalah tidak benar,” kata beliau ketika dihubungi mStar Online semalam.
Malah, pada pukul 9 malam tadi, wakil MPP UiTM telah mengadakan pertemuan dengan Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah bagi memaklumkan tindakan mereka.
Kata Luqmannulhakim, pada pertemuan itu pengurusan tidak menghalang MPP untuk mengambil langkah sedemikian.
Malah, tindakan ini hanya akan disertai pelajar UiTM, bukannya pengurusan dan kakitangan.
“Kami difahamkan pengurusan UiTM akan mengeluarkan kenyataan kemudian,” katanya.
Perarakan menyerahkan memorandum itu kepada kerajaan negeri merupakan langkah pertama, kata beliau.
“Selepas ini kami akan menyerahkan memorandum yang serupa kepada Perdana Menteri dan kemudian Yang di-Pertuan Agong yang juga Canselor UiTM. Ini akan dilakukan minggu depan,” katanya.
Mengulas lanjut, kata Luqmannulhakim, pihaknya akan menghimpunkan penuntut-penuntut UiTM di kampus induk di Shah Alam awal pagi esok sebelum berarak ke Bangunan SUK.
“Sehingga malam ini kami sudah memperoleh tandatangan menyokong memorandum bantahan daripada lebih 5,000 pelajar dan ia mungkin akan mencecah 10,000 orang esok,” katanya.
Kata Luqmannulhakim, pendirian kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar yang meminta 10 peratus diperuntukkan kepada penuntut bukan Bumiputera dan rakyat asing telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelajar.
“Memorandum ini bertujuan meminta beliau (Menteri Besar Selangor) menarik balik kenyataannya kerana bertentangan dengan prinsip penubuhan UiTM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi bagi melahirkan profesional di kalangan Bumiputera,” katanya.
Perhimpunan pelajar secara besar-besaran akan diadakan esok di Padang Kawad UiTM Shah Alam seawal pukul 7.30 pagi bagi mendapatkan tandatangan pelajar sebagai bantahan.
Sementara itu Naib Canselor UiTM ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Maaf, saya tak dapat nak beri komen mengenai perkara ini sehingga Menteri Pengajian Tinggi membuat kenyataan rasmi mengenai perkara ini,” katanya.
Beliau hanya akan memberi komen dalam sidang media khas yang akan diadakan di pejabatnya esok setelah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengeluarkan kenyataan.
Dalam pada itu, mStar Online gagal mendapatkan komen Khaled berhubung isu ini.
Semalam Menteri Besar Selangor mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.
Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusipengajian tinggi (IPT) tersebut.
Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.
Beliau melahirkan pandangan itu ketika mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi danPembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali dalam sebuah akhbar hari ini yang berpendapat UiTM perlu ‘dibuka’ kepada kaum lain jika ingin mewujudkan persaingan yang sihat.
Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.

APA KOMEN ANDA ?

http://gerbanginformasi.wordpress.com/

Pentadbir IPTA 'lebih senduk daripada kuah'

Jimadie Shah Othman Aug 11, 08 2:31pm

kemaskini 10:37pm Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dijadual dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang tidak membantu meluaskan ruang kebebasan ahli akademik dan pelajar. "Masalah di universiti, penguasaan golongan pentadbir yang lebih senduk daripada kuah," kata pensyarah kanan di jabatan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman hari ini. "AUKU tidak apa. (Persoalannya) pegawai yang cenderung kepada parti (kerajaan) berubah atau tidak?"Beliau menambah, kebebasan di universiti tidak bergantung kepada pindaan AUKU, sebaliknya "sebahagian pentadbir yang prokerajaan mengambil sikap mengawal aktiviti pelajar dan pensyarah".Dr Ahmad Nidzamuddin memberitahu Malaysiakini, jika pentadbir institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak bersikap memihak, kebebasan kampus akan lebih baik.


Penguasaan golongan pentadbir ini ketara di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), jelasnya.Ini menurut maklum balas daripada ahli akademik dan pelajar di kedua-dua pusat pengajian itu, tambahnya.Pindaan AUKU, tambahnya, jika ingin benar-benar berkesan harus menilai cara penguasaan golongan ini di universiti.Pelajar dan pensyarah yang menganjurkan aktiviti melibatkan pembangkang akan "dipanggil menghadap" dan diberikan amaran, jelasnya. Bagaimanapun, menurut pensyarah politik itu lagi, dalam pertemuan pentadbir dengan kakitangan akademik itu, tidak ada apa-apa tindakan diambil. "Cuma, kalau banyak kali panggil, tidak berani buat lagi," katanya. Bagi pelajar pula, kata Dr Ahmad Nidzamuddin, permohonan menyambung tinggal di asrama tidak diberikan.Mengulas pandangan ahli akademik UKM itu, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata sikap pegawai-pegawai pentadbiran IPTA terbentuk hasil penguatkuasaan akta itu selama ini.


"Pihak pentadbiran universiti adalah produk AUKU. Maka untuk mengubah corak pentadbiran, kita perlu mengubah akta yang wujud," katanya ketika dihubungi.Beliau bagaimanapun menganggap pindaan akta itu sekadar "perubahan kosmetik" dan tidak menyelesaikan permasalahan dasarnya iaitu masalah kekangan yang wujud terhadap hak pelajar dan warga akademik. Nurul Izzah, yang dipertanggungjawabkan mengkaji pindaan ini bagi pihak ahli-ahli parlimen PKR, menambah autonomi IPTA mesti dikembalikan seperti sebelum pindaan Akta Universiti Malaya 1961. "Kita perlu mengembalikan hak dan kebebasan pelajar (dan pensyarah) seperti yang terkandung dalam Akta UM 1961. Teliti dan selesaikan masalah pokok iaitu ketiadaan autonomi (kampus)," katanya.Tambahnya, pindaan kepada Seksyen 15 boleh mendorong penyalahgunaan kuasa menteri. Tambahan lagi, keputusan melantik Naib Canselor masih di dalam tangan Menteri, walau atas nasihat jawatankuasa. Justeru isu pelantikan berbau politik akan terus mempengaruhi budaya universiti-universiti tempatan.


Sementara seorang lagi wakil rakyat PKR Yusmadi Yusoff (foto kanan) pula menyifatkan pindaan tersebut hanya menyentuh aspek "remeh" seperti soal-soal administratif dan "menguatkan kuasa menteri".Dalam seksyen 9, menurut wakil PKR itu, pindaan supaya ketua kampus cawangan dilantik oleh menteri tidak boleh diterima, sepatutnya dibuat oleh naib canselor."Sudahlah naib canselor dilantik oleh menteri. Lepas itu tiada kepercayaan kepada naib canselor (melantik ketua kampus cawangan)," kata ahli parlimen Balik Pulau, yang juga seorang pengamal undang-undang.Pindaan-pindaan lain, tambahnya, seperti memberi kebenaran kepada ahli politik yang menyambung pelajaran bergiat dalam politik sebaliknya tidak perlu dipinda kerana perkara itu dijamin perlembagaan.Beliau berkata, akta untuk universiti haruslah mementingkan kebebasan akademik, termasuk kebebasan berpersatuan. Dalam AUKU, masalah paling ketara dalam seksyen 15 yang menyentuh kebebasan mahasiswa berpersatuan, katanya.Beliau mencadangkan, pindaan AUKU sepatutnya menetapkan kriteria naib canselor dan memberikan kuasa autonomi kepada universiti.



Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pula berpendapat, akta kontroversi itu tidak perlu dipinda tetapi terus dimansuhkan seperti juga Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA)."Tidak perlu buat akta, (kemudian) pinda sana sini," kata koordinator badan pejuang hak asasi itu, Nalini E (foto kiri).Lulusan UKM itu menambah, sewaktu masih belajar, beliau melihat banyak tokoh daripada parti pemerintah dibenarkan terlibat dalam program universiti tetapi pemimpin pembangkang menerima nasib sebaliknya.Beliau menyifatkan perkata itu sebagai pilih kasih.


Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) "amat berharap" Seksyen 15 (4) yang berhubung soal bidang kuasa naib canselor diperhalusi semula kerana mempunyai ruang berlakunya "pilih bulu" dalam penguatkuasaannya."Sebaiknya diminimumkan kuasa naib canselor terhadap kawalan mahasiswa dalam berpersatuan. Mahasiswa harus diberi peluang memilih dan menyuarakan pandangan tanpa sekatan berdasarkan pengetahuan yang mereka ada," kata timbalan setiausaha agungnya Siti Nurul Munawirah Mohamad Roslan.Bagaimanapun, gabungan itu menyambut baik usaha Kementerian Pengajian Tinggi berhubung cadangan pindaan akta itu. "Langkah-langkah pindaan yang diambil secara tidak langsung, jika dilihat dari sudut positifnya, akan membantu memangkin kembali peranan penting mahasiswa dalam masyarakat, iaitu sebagai jurubicara ummah," katanya.Rang undang-undang AUKU dibacakan bagi kali kedua pada sesi Dewan Rakyat yang akan bermula 28 Ogos ini dijangka panas terutamanya Seksyen 15 (hak mahasiswa berpersatuan) dan bidang kuasa menteri yang disebut dalam Seksyen 9 (kuasa menteri melantik ketua kampus cawangan), dan Seksyen 12 (hak menteri meminda, mengubah, atau membetulkan sesuatu perintah kampus).Dalam seksyen baru 4(a) dan 4(b) pula, dijangka berlaku perdebatan hangat berkenaan jawatankuasa menasihati menteri bagi melantik naib canselor yang menyebut "menteri dari masa ke semasa hendaklah melantik satu jawatankuasa untuk menasihatinya mengenai perlantikan itu".

http://www1.malaysiakini.com/

Sunday, August 10, 2008

Olimpik: Brunei balik awal sebab gagal daftar atlet

Oleh Reuters
Sabtu, 09 Ogos 2008


BEIJING: Brunei disingkirkan daripada Sukan Olimpik selepas gagal mendaftarkan sebarang atlet bertanding dalam mana-mana acara, umum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) malam ini.
“Ia sesuatu yang amat memalukan dan menyedihkan kepada atlet kerana tidak dapat bertanding disebabkan pasukan mereka tidak mendaftarkan nama mereka,’’ kata jurucakap IOC, Emmanuelle Moreau dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Moreau, IOC memberi tempoh hingga tengah hari tadi untuk negara itu mendaftarkan nama atlet mereka, namun ia tidak muncul.
Dua atlet yang sebelum ini dijadual membawa cabaran Brunei di Olimpik Beijing adalah perenang 15 tahun, Maria Grace Koh dan atlet lontar peluru, Mohd. Yazid Yatimi Yusof.
Dengan keputusan terbaru ini bermakna hanya 204 buah negara akan mengambil bahagian pada Temasya yang dibuka secara rasmi malam ini, dan akan berlangsung sehingga 24 Ogos.
Sultan Hassanal Bolkiah menjadi salah seorang tetamu diraja yang dijemput menghadiri majlis pembukaan Sukan Olimpik bersama dengan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.

http://klpos.com/

Ya Allah, kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu

Kita rindu mereka yang memasuki daerah politik hanya kerana kejujuran bukan kerana ‘ketagihan kuasa’

Oleh Mohd Asri Zainul Abidin

Ahad, 10 Ogos 2008

MENENTUKAN pendirian di zaman yang penuh kekeliruan dan pancaroba ini adalah sesuatu yang amat sukar. Banyak perkara yang beritanya itu begitu banyak, tetapi untuk memastikan yang benar mengenainya bukanlah sesuatu yang mudah.
Apatah lagi barangkali zaman kita ini zaman kekeliruan dan kemunculan begitu ramai ruwaibidoh. Nabi SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat - adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya.
Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al-Ruwaibidoh.
Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?" Sabda Nabi SAW.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” (Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan asnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).

Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya. Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa).
Zaman ini mungkin, jika umat tidak berhati-hati maka ramai pengkhianat diangkat sebagai hero atau pembela masyarakat. Ramai pula yang jujur dan bercakap benar, dianggap sebagai pembohong dan pendusta.
Ramai pula yang tidak amanah ditabalkan dengan berbagai-bagai gelaran kemuliaan. Sementara yang amanah dan jujur akan dipinggirkan.
Hanya mereka yang memiliki jiwa yang luhur yang mampu membuat keputusan yang benar.
Justeru, Nabi SAW mengajar doa yang baik untuk diamalkan, terutama bagi kita pada zaman seperti ini, antaranya: Daripada Umm Salamah, katanya: Nabi tidak pernah keluar dari rumahnya sama sekali melainkan baginda mengangkat matanya ke langit dan bersabda: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada aku sesat atau disesatkan, gelincir atau digelincirkan, menzalimi atau dizalimi, bodoh atau aku diperbodohkan” (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Albani).
Baginda menunjukkan kepada kita contoh dan peringatan yang baik. Betapa hidup ini jika tidak dengan bimbingan Allah, nescaya manusia akan tersesat jalan.
Mungkin seseorang insan akan tersesat atau dia disesatkan oleh orang lain. Atau sendiri tergelincir dari jalan kebenaran, atau digelincirkan oleh orang lain. Mungkin juga dia menzalimi orang, atau orang lain menzaliminya. Atau dia bertindak secara bodoh atau orang lain menyebabkan dia menjadi bodoh. Ya! Rabb, hanya Engkau mampu melindungi.
Pada zaman ini, pelbagai berita datang dari bermacam penjuru. Bagaikan kilat, bahkan mungkin lebih pantas daripada kilat. Kemudahan teknologi telah bertukar menjadi kesusahan kehidupan yang mencetuskan segala rasa ketidaktenteraman, keraguan, kekacauan maklumat dan fitnah.
Sehingga kita kadang-kala tidak dapat lagi membezakan antara yang benar dan yang salah. Tidak dapat membezakan lagi antara berita fasik atau berita soleh atau berita lagha (sia-sia).
Jika al-Quran mengajar kita: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.(Surah al-Hujurat ayat 6).
Malangnya kita pula berada pada zaman yang walaupun era teknologi tetapi penggunanya sukar untuk dibezakan antara yang soleh dan fasik. Ramai yang menampakkan dirinya soleh, hakikat mereka ialah golongan jahat yang mencetuskan berita-berita fasik lagi bohong.
Bahkan bukan sedikit yang mengkaburkan kita dengan mendakwa segala tuduhan orang kepada dirinya semua bohong dan khianat, sementara jika dia menuduh orang lain pula semua benar dan betul.
Padahal, mungkin kesemua mereka yang bersandiwara itu hanyalah penyangak dan penyamun.

Pengganas

Jika berita itu tajaan ‘Amerika dan konco-konconya’, maka ramai pula orang yang baik dan soleh disenarai hitamkan sebagai pengganas.
Rakyat Palestin yang dibunuh saban hari dituduh sebagai pengganas kerana menentang dajal Israel yang merupakan Tuhan Politik Amerika.
Demikian mana-mana umat Islam yang bumi mereka diceroboh akan ditabalkan sebagai pengganas jika menentang pihak yang menceroboh apabila penceroboh itu bersekongkol dengan Amerika.
Wajah para pejuang yang jujur dan baik sentiasa buruk pada nilaian media tajaan Amerika dan Yahudi, jika perjuangan itu tidak mendapat restu atau berlandaskan garis panduan yang ‘diredai’ oleh Amerika.

Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.
Betapa ramai insan muslim yang tidak membuat sebarang jenayah cuba diheret oleh Amerika ke kandang orang salah hanya kerana perasaannya membenci kezaliman dan kedajalan Amerika.
Entah berapa ramai ulama yang Amerika labelkan mereka sebagai pengganas dan dipaksa kerajaan-kerajaan mereka bertindak ke atas mereka tanpa dosa yang nyata.
Dunia media Amerika penuh dengan pembohongan. Generasi kita pula, tidak semua mempunyai kemampuan membezakan antara berita yang benar diolah secara jahat, atau berita bohong yang ditipu secara terang atau berita palsu yang diriwayat secara indah. Maka terzalimlah banyak pihak.
Justeru kadang-kala kita tidak hairan apabila umat Islam yang beriman dan ikhlas sama ada di Barat atau Timur mempunyai kerisauan, atau berhati-hati atau salah sangka jika seseorang tokoh agama atau politik muslim itu begitu dipuja oleh media-media tajaan Amerika.

Dunia fasik ini amat mengelirukan kita.

Kehidupan juga demikian pada zaman ini. Entah berapa ramai yang menggunakan agama untuk membohongi orang lain. Betapa banyak serban dan jubah digunakan untuk melariskan barang atau untuk mengutip derma yang akhirnya masuk ke kocek sendiri.
Betapa ramai pula penceramah agama yang membaca nas-nas sama ada palsu atau dimanipulasikan demi melakukan barang jualannya.
Entah berapa banyak nas al-Quran dan al-Sunnah digunakan untuk mendapat kuasa dan harta.
Padahal cita-cita politik dan harta mereka tidak pula bertujuan mendaulatkan ajaran Allah dan Rasul-Nya. Ini bukan perkara baru, tetapi telah lama bermula. Firman Allah: (maksudnya): Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah”, supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).
Dalam dunia politik tanpa bimbingan wahyu, segalanya mungkin. Pembohongan bagaikan rukun politik yang tidak sah tanpanya.
Demi kuasa, segala pembohongan boleh saja ! Saya amat kagum dengan tokoh agung umat ini Sufyan al-Thauri (meninggal 161H) yang pernah berkata : “Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa).
Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262). Maka dalam soal kuasa segalanya boleh berubah.
Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Ketajaman pemikiran yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan umat telah digunakan untuk menjatuhkan sesama sendiri.
Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan. Maka tidak hairanlah jika Abu Musa ra. al-Asy‘ari menceritakan “Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW.
Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah!. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Jika mengikut prinsip Islam, semua mereka yang gila ingin mendapatkan kuasa itu, hilang kelayakan untuk memimpin umat.

Kegilaan kuasa

Kegilaan kuasa adalah lambang kedangkalan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat. Mungkin jika perkara ini disebut kepada orang politik mereka kata “itu cakap yang tidak canggih dalam politik”.

Politik yang sepatutnya merupakan usaha menggabungkan tenaga untuk memikir kebaikan umat dan merancang masa depan yang lebih diredai untuk masyarakat dan negara telah bertukar menjadi medan ‘londeh-melondeh’ antara satu sama lain. Caci-maki, kata-nista, tuduh-menuduh telah menghiasi corak politik warisan penjajah ini. Penyakit ini dihidapi termasuklah yang menggunakan nama Islam dalam berpolitik. Akhirnya, kerana kuasa, banyak prinsip dan nas yang sudah dilupakan.
Namun mereka lupa, sistem politik perebutan kuasa warisan demokrasi penjajah yang meninggalkan keharmonian sistem Syura dalam Islam itulah yang telah membawa politik kita ke kancah permainan wang, permusuhan, pragmatisme yang melupai prinsip dan segala keburukan yang lain.
Sabda Nabi SAW: Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).
Dalam Islam, tanggungjawab kita membaiki keadaan politik, bukan menggilai kuasa politik jatuh ke tangan sendiri. Apabila kuasa itu menjadi kegilaan, maka kawan akan tikam kawan, sahabat akan bunuh sahabat, yang berpakat akan berpecah, yang berbeza prinsip dan dasar akan berpakat, yang tidur sebantal akan mimpi berbeza, bahkan mungkin membunuh kongsi dalam mimpinya. Itulah politik yang meminggirkan wahyu.
Meminta jawatan kepimpinan dalam Islam adalah dilarang melainkan dalam keadaan darurat apabila keadaan memaksa seseorang mendapatkannya untuk menyelamatkan umat. Itupun, hendaklah penuh dengan tawaduk dan merendah diri kepada Allah SWT.
Usaha untuk mendapatkan jawatan itu dijadikan ibadah yang dijaga disiplin dan peraturannya. Ini seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s. yang pernah kita sebutkan. Firman Allah ayat 55-56: (maksudnya) Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.
Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.
Dalam jiwanya insan mukmin soleh yang terpaksa mendapatkan kuasa itu bukan kegilaan kepada kuasa, tetapi tuntutan dan tanggungjawab membimbing manusia ke arah kehidupan yang berpandukan wahyu Ilahi.
Tidak kerana ingin membalas dendam, juga bukan sekadar untuk menurunkan harga barang atau menghapuskan rasuah. Tanggungjawab kepimpinan lebih daripada itu. T
anggungjawab pemimpin adalah membawa kita semua ke dataran yang diredai Allah, menyelamatkan rakyat dari kemusnahan hidup di dunia dan keburukan hidup di akhirat.
Dari diri yang insaf dan mendampingi Allah, lidah yang memuja dan memuji kebesaran-Nya dibangunkan niat dan usaha untuk membaiki urusan pemerintahan. Tidak kerana kuasa yang diidamkan, tidak juga kerana harta yang ingin dikumpulkan.
Ini dapat dilihat dalam kehidupannya secara peribadi yang berpandukan wahyu, mereka yang di sekelilingnya yang terdiri daripada insan-insan soleh dan mematuhi arahan Allah dan rasul-Nya, bukan insan-insan ‘yang dicurigai’.
Jika ini terjadi, tamatlah politik wang, maki hamun, londeh-melondeh, tuduh-menuduh dan matlamat menghalalkan cara seperti yang kita lihat pada gelagat ‘artis-artis’ politik kita pada hari ini.
Kita rindukan kuasa politik kita jatuh ke tangan insan-insan yang seperti ini. Sesungguhnya sudah sampai masanya untuk dilakukan tajdid (pembaharuan) menyeluruh kepada landskap politik kita yang kian serabut dan berselerak. Kita rindukan kempen politik yang penuh harmoni dan mengingatkan kita kepada Allah dan menjauhkan kita dari kegilaan kuasa.
Kita rindu mereka yang memasuki daerah politik hanya kerana kejujuran bukan kerana ‘ketagihan kuasa’. Kita rindukan mereka yang seperti ‘Umar bin al-Khattab yang berdoa agar Allah mengambil nyawanya sebelum dia mencuaikan tugasannya.
Kita rindukan watak ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz yang menangis bersendirian bimbang kegagalan menunaikan amanah Allah. Kita rindukan kejujuran dan amanah yang menghiasi kecepatan dan ketangkasan dalam bersiasah. Ya Allah! Kami rindukan politik di bawah naungan wahyu-Mu!

Penulis merupakan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Rencana ini dipetik daripada kolum Pena Mufti Mingguan Malaysia - Pengarang

http://klpos.com/

‘Saya rugi 2 tahun’

Amirul Hamizan Ibrahim

SELEPAS dua tahun dibelenggu penggantungan, atlit angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim tampil di Sukan Olimpik Beijing untuk mengukur setakat mana keupayaannya bersaing di peringkat tertinggi.

Badang berusia 27 tahun itu yang beraksi dalam kategori bawah 56kg akan turun di Gimnasium Universiti Aeronautik dan Astronautik Beijing dalam saingan Kumpulan A pada jam 7 malam ini. Ikuti wawancara dengannya.

“JIKA masa boleh diputar kembali, saya mahukan tempoh dua tahun saya yang hilang kerana penggantungan itu dipulangkan. Tempoh dua tahun itu cukup merugikan dan begitu mengecewakan saya. Sepanjang tempoh itu tidak banyak yang boleh saya lakukan. Saya tidak boleh berlatih secara serius dan tidak boleh mengangkat bebanan yang sepatutnya.

Saya langsung tidak boleh memberi tumpuan 100 peratus sebab tiada kejohanan, apatah lagi kebajikan saya juga diabaikan, mujurlah ada Majlis Negeri Pahang yang prihatin memberi elaun. Saya benar-benar patah hati dibuatnya. Atas sebab itulah, saya rasa lebih baik tumpukan perhatian terhadap perniagaan katering saya ketika itu.
Tapi, sebagai atlit, semangat untuk beraksi di Olimpik tetap membaradi sanubari saya. Itulah saya rasa impian setiap insan yang menjadi ahli sukan - untuk bergelar Olimpian. Atas dasar itulah saya mengetepikan perasaan kecewa itu dan bekerja keras untuk layak walaupun saya boleh dikatakan agak terlambat dan mempunyai masa singkat ke Beijing. Bayangkan saya hanya mula berlatih secara serius pada Mei 2007 dan layak Mei lalu. Bukan mudah tapi itulah hakikatnya, saya layak dalam tempoh setahun. Mungkin saya berada di tempat terakhir 11 keseluruhan peserta yang layak, tapi saya bangga kerana tiada siapa boleh menafikan hakikat yang saya layak berdasarkan merit dan bertanding di bawah Kategori A.(Amirul layak selepas berada di kedudukan ke-11 dunia berdasarkan pencapaiannya di kejohanan kelayakan di Jepun, Mei lalu. Amirul mencatat rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 262kg berdasarkan 117kg snatch dan 145kg clean & jerk di kejohanan itu).Tapi, di Olimpik ini, saya tidak berani berjanji apa-apa. Kebanyakan lawan saya sudah lama bersedia ketika saya terlepas dua tahun. Kelebihan buat mereka dan kekurangan buat saya. Saya sebenarnya berada dalam keadaan baik sebelum penggantungan itu.Mungkin tidak keterlaluan jika saya katakan, saya boleh berada dalam kelas sama dengan pencabar saya jika tidak kerana penggantungan itu kerana sukan angkat berat ini memerlukan latihan dalam tempoh lama secara berterusan.Mengenai pencabar saya di Olimpik, saya rasa kami tidak banyak berbeza. Mungkin ada tiga atau empat atlit lain di atas saya seperti dari Indonesia, Korea Selatan dan tuan rumah, China, tapi saya tidak melihat itu sebagai sesuatu yang menghalang semangat saya. Dalam angkat berat, saingan sentiasa sengit dan apa saja boleh terjadi pada hari pertandingan. Untuk hari ini, jurulatih Xin Hui menyuruh saya mengangkat jumlah maksimum, bermakna saya akan pergi untuk angkatan keseluruhan 262kg melalui angkatan pertama saya.” (Amirul mencatat rekod kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 262kg berdasarkan 117kg snatch dan 145kg clean & jerk di kejohanan kelayakan di Jepun Mei, lalu).

http://www.hmetro.com.my/

Nelayan jadi lanun diesel subsidi

Oleh WARTAWAN Kosmo! Ahad


LAKONAN semula seorang nelayan yang memerhatikan kerja-kerja memindahkan diesel subsidi di sebuah jeti di sebuah negeri di Pantai Timur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Diesel subsidi yang sepatutnya disediakan untuk golongan nelayan rupa-rupanya telah dijadikan sumber rezeki mudah kepada segelintir nelayan yang menjadi 'lanun' menyeludup bahan api itu.
Kegiatan haram itu terbukti melalui penyamaran wartawan Kosmo! Ahad sebagai nelayan di sebuah jeti nelayan di sebuah daerah di Pantai Timur yang telah sekian lama menjadi pusat perdagangan diesel di kalangan nelayan.
Menariknya, usaha untuk mengesan aktiviti pada hari pertama menemui kegagalan apabila kumpulan tonto yang mengawal kegiatan tersebut telah memaklumkan kepada semua nelayan terbabit tentang kedatangan orang luar.
Mereka memang tidak menduga kedatangan wartawan Kosmo! Ahad tetapi dari apa yang didengari, orang luar yang dimaksudkan ialah pegawai penguat kuasa dari Kuala Lumpur mahu membuat tinjauan di jeti tersebut.
Sejak pukul 3 pagi lagi, wartawan Kosmo! Ahad telah menunggu di jeti tersebut dengan sebuah bot pemancing yang disewa khas hinggalah matahari terbit, tiada apa yang berlaku seperti lazimnya.
Difahamkan, aktiviti penjualan diesel itu berlaku sebelum fajar menyingsing dan melibatkan lebih 20 orang pada satu-satu masa.
Modus operandi mereka bermula awal pagi apabila golongan nelayan laut dalam yang terdiri daripada kategori B, C dan C2, mengambil minyak tersebut di jeti-jeti pengisian minyak milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Bagaimanapun, selepas mengisi diesel pada tahap yang paling maksimum, mereka menghalakan bot ke tengah laut kononnya ingin keluar menangkap ikan tetapi sebenarnya mereka menuju ke jeti-jeti persendirian dan menuangkan kembali diesel yang diperoleh ke dalam tangki yang disediakan khas untuk tujuan tersebut.
Pada malam kedua, usaha wartawan Kosmo! Ahad berhasil apabila jeti tersebut mula dikunjungi 'peraih' sekitar pukul 1 pagi untuk menukar tong-tong yang telah diisi diesel pada siang sebelumnya dengan tong kosong.
Sebaik sahaja selesai, bot-bot peraih ini akan segera meninggalkan jeti menuju ke destinasi masing-masing.
Hubungan yang terjalin antara nelayan dan peraih minyak subsidi curi memang sedia rapat kerana tiada tawar menawar berlaku.
Peraih-peraih ini akan membawa diesel yang dibeli untuk pasaran negeri tertentu seperti Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan pada harga yang lebih rendah daripada pasaran semasa.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh, minyak diesel tersebut dijual pada harga RM1.50 seliter sedangkan harga subsidi cuma RM1 sahaja dan 'peraih minyak' pula menjual kepada orang lain pada harga RM2 berbanding harga pada pasaran sebenar iaitu RM2.58 seliter.
"Sejak subsidi diesel diperkenalkan, kegiatan ini semakin serius, kami nelayan yang benar-benar jujur selalu kecewa kerana bekalan diesel kerap habis," kata seorang nelayan yang cuma ingin dikenali sebagai Zamri.
Menurut Zamri, selain di darat, urusan jual beli turut dilakukan di kawasan perairan yang melibatkan nelayan asing seperti Thailand dan Singapura.

http://www.kosmo.com.my/

Racun kecantikan - Produk kosmetik kaki lima nipiskan kulit muka

Oleh SHANIKA ABDULLATIB dan SHAWKATH AZDE
berita@kosmo.com.my


TIDAK ramai yang menyedari kesan sampingan akibat penggunaan kosmetik jalanan. - Gambar


“TIDAK sampai tiga hari guna krim tersebut, muka saya mula mengelupas dan pedih setiap kali terkena air,” ujar Sarah (bukan nama sebenar) sebak.
Lebih memeritkan apabila tompok-tompok merah sebesar tapak tangan bayi jelas kelihatan di wajahnya hinggakan beliau sentiasa tertekan apabila perlu berjumpa dengan orang ramai.
“Lepas dua bulan, suami saya suruh berhenti menggunakan produk itu bila keadaan wajah saya jadi lebih teruk. Namun walaupun telah berhenti, kesannya masih ada,” luah Sarah yang menjadi mangsa produk kecantikan jalanan.
Bagi Nazlim (bukan nama sebenar) yang turut menjadi mangsa produk jalanan ini, situasinya lebih buruk apabila mukanya membengkak selepas seminggu memakai sejenis krim malam.
“Bahagian mulut dan mata bengkak sampaikan saya tidak boleh bercakap kerana terlalu sakit di bahagian mulut,” katanya.
Sarah, Nazlim malah ratusan lagi mangsa yang tertipu dengan produk kecantikan yang dijual dengan berleluasa di kaki lima mahupun secara langsung, kini berada dalam dilema apabila kecantikan yang diinginkan bertukar sebaliknya.
Tinjauan Kosmo! Ahad di beberapa kaki lima sekitar ibu negara terutama Kota Raya, Chow Kit dan Masjid India memberi gambaran betapa penjualan produk kecantikan ini semakin meningkat.
Di sekitar Kota Raya sahaja, kira-kira 30 peniaga produk kecantikan menjual barangan daripada pelbagai negara seperti Thailand, Filipina, Indonesia dan juga buatan tempatan.
Produk seperti pembersih muka, krim pemutih, krim jerawat dan jeragat serta krim malam turut dijual pada ‘harga berpatutan’.
Namun meskipun produk ini diragui keberkesanan malah kandungan bahan kimianya, ia terus dijual secara berleluasa dan tiada tindakan diambil pihak berkuasa.
Wanita-wanita warga asing ini cukup licik. Antara cara melindungi produk mereka daripada dirampas ialah dengan memberi barangan itu tanpa kotak kepada pelanggan.
Kotak itu sebaliknya disimpan di dalam sebuah beg khas dan tidak sekali-kali diberikan kepada pembeli.
Penjual dipercayai cuba menyembunyikan sesuatu dan cara ini mungkin strategi mengurangkan kerugian apabila diserbu oleh pihak berkuasa.
Golongan pembeli yang terdiri daripada warga asing dan tempatan tidak terlepas daripada dipengaruhi mengunakan produk ini.
Menyentuh mengenai harga, barangan penjagaan wajah tersebut dijual kadangkala mencecah sehingga RM100. Di sesetengah tempat pula hanya RM5 bagi satu produk.
Seorang peniaga di situ mendakwa, produk yang dibekalkan dari Indonesia itu digunakan bukan sahaja oleh masyarakat tempatan.
“Orang Melayu, Cina, Bangladesh atau Filipina sekali pun ada yang membeli produk ini dan ia bergantung kepada kepandaian peniaga memujuk,” ujar wanita dari Filipina yang hanya mahu dikenali sebagai Charmine.
Charmine yang telah meniaga di Kota Raya selama lima tahun memberitahu, pada mula dia hanya membantu seorang rakannya. Namun apabila melihat sambutan yang menggalakkan, dia terus menjualnya sendiri.
“Pelanggan tidak kira lelaki atau perempuan namun barangan dari Indonesia memang laris,” katanya.

Pembungkusan diragui


FAHAMI label kandungan sebelum membeli. - Gambar hiasan

KANDUNGAN belum tentu selamat dan cara pemprosesan turut diragui menjadikan produk kosmetik jalanan seumpama bom waktu kepada mereka yang gemar menggunakannya.
Demikian tegas pensyarah Jabatan Farmakognosis/Kimia Farmaseutikal di Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia, Dr. Zhari Ismail. Beliau meminta masyarakat menyedari bahaya menggunakan produk itu.
Sebab itulah amat penting bagi pengguna memilih produk yang didaftarkan.”
Keberkesanan dan keselamatan ubatan atau dadah, ujar beliau, terutama yang dipasarkan secara terbuka di luar farmasi haruslah mengikut piawaian dan selamat digunakan.

















SEBAHAGIAN besar produk jalanan dijual bebas oleh peniaga warga asing. - Gambar hiasan


Seandainya dibeli di kaki atau pengedar yang tidak diketahui kesahihannya, pelbagai kesan akan timbul malah kadangkala boleh membawa maut.
Di samping itu, pencemaran bahan dan penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal akan memberi kesan terhadap kesihatan walaupun herba atau ubat tersebut telah digunakan turun-temurun.
“Di jalanan, soal pembungkusan waima asal-usul pengeluar produk tidak dapat dikenal pasti malah harga yang ditawarkan belum tentu berbaloi dengan kesan jangka panjang penggunaan produk tersebut,” jelasnya.
Tambah Zhari lagi, secara am, sekiranya maklumat mengenai bahan serta identiti pengeluar tidak disertakan bersama produk, ia menandakan seolah-olah syarikat tersebut cuba ‘menyembunyikan’ sesuatu.
“Bahan seperti asid, raksa atau logam berbahaya seringkali digunakan dan kita tidak mahu pengguna terus tertipu dengan produk jalanan ini,” tegasnya.

Selain raksa, plumbum di dalam produk jalanan, lemak babi pun ada

KOSMETIK didefinisikan sebagai sebarang inti bahan atau persediaan khusus untuk dihubung dengan bahagian luaran tubuh bagi tujuan membersih, mewangi, mengubah atau membetulkan keadaan.
Bahagian terbabit termasuk sistem kulit, rambut, kuku, mulut atau organ kemaluan. Bahan berkenaan juga dihasilkan untuk melindungi atau memastikan badan berada dalam keadaan baik.
Namun keghairahan beberapa pihak dalam mengeluarkan serta memasarkan produk kecantikan mungkin mengundang bencana apabila kandungannya tidak mengikut piawaian pihak berkuasa.



Menurut Pegawai penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim, bahan kimia yang terdapat di dalam bahan perawatan wajah yang dijual di jalanan sebenarnya amat menakutkan kita.
“Kajian CAP mendapati kandungan raksa di dalam produk tertentu melebihi dua peratus manakala hidrokuinin yang digunakan sebagai agen pemutih wajah melebihi 0.5 peratus daripada bahagian persejuta,” katanya.
Hidrokuinin ialah sejenis peluntur turut berperanan menghakis kulit.
Lebih membimbangkan, ada di antara produk tersebut menggunakan lemak babi.
Justeru, tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 terhadap peniaga yang didapati menjual kosmetik palsu serta produk berbahaya tersebut secara terbuka.
Tambah Hatijah, pihak berkuasa sentiasa tegas dalam hal ini kerana penjualan kosmetik tiruan atau barangan palsu lain jelas bertentangan dengan akta tersebut.
“Peniaga yang disabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Tambah beliau, pemilik kilang atau syarikat yang didapati bersalah mengeluarkan barang tiruan termasuk kosmetik, boleh didenda sebanyak RM250,000.

PIHAK berkuasa perlu lebih tegas menangani penjualan kosmetik yang diragui tahap keselamatannya. – Gambar hiasan

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran keras kepada peniaga yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan penjualan produk kosmetik tiruan .
Malah modus operandi seperti penggunaan pengintip dan kerap bertukar lokasi perniagaan untuk mengelakkan daripada ditangkap pihak berkuasa tidak lagi berkesan.
“Peningkatan peniaga produk kecantikan tiruan ini mungkin berpunca daripada satu sindiket dan pihak berkuasa tidak akan membiarkannya.
“Rampasan serta serbuan adalah buktinya,” ujar sumber di KPDNHEP ketika dihubungi.

http://www.kosmo.com.my/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...